ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Thursday, October 14, 2010

MISTERI KOKKA DIBONGKAR

Kepalsuan kayu kokka dibongkar Ahli Etnologi, Dr Abdul Manan Embong, yang melakukan kajian terperinci untuk tempoh setahun bersama beberapa pakar tempatan dan antarabangsa. Mereka ialah Pakar Geomologi dan Mineral Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Hisham Hashim; Pakar Botani dari Mesir, Profesor Dr Mohammad Shakran Shuhatah; Profesor Ali Akbar Zurillah dari Bahagian Kajian Penyelidikan Geologi Turki dan penceramah bebas serta penulis, Ahmad Shukri Ghazali Siraj.

Kajian menyeluruh di negara yang dikatakan mempunyai pokok kayu kokka seperti Mesir, Jordan, Turki dan Iran mendapati tidak pernah wujud nama kokka dan apa yang didakwa sebagai kayu kokka sebenarnya diperoleh daripada spesies pokok Palma. Abdul Manan berkata, penyelidikan dilakukan secara berperingkat-peringkat, iaitu mengesan asal usul kayu kokka dan mengesan pokok yang dikatakan menghasilkan kayu kokka.

“Kami tidak dapat mengesan spesies tumbuhan yang menggunakan nama kokka di dunia. Jika ada sekalipun, nama panggilan di Jepun, ‘kokua’ iaitu sejenis pokok berbatang kecil dan menjalar yang digunakan untuk sejenis upacara keagamaan dipanggil Shinto.
“Ada juga sejenis tumbuhan palma yang sebutannya hampir dengan ‘kokka’, iaitu sebutan bagi orang Turki, ‘kuka’ daripada asal perkataan ‘Coco De Mer’ atau ‘Melanococa’ digunakan untuk menghasilkan minyak,” katanya. Menurut Abdul Manan, kayu kokka dikesan dihasilkan daripada spesies pokok palma ‘Attalea Funifera’.

Katanya, buah dan tempurung daripada pokok itu sememangnya digunakan untuk membuat tasbih, gelang, cincin dan barang permainan semata-mata untuk perniagaan. “Penyelidikan kami mendapati pokok berkenaan tumbuh di Brazil, Colombia dan Argentina. Di Brazil, pokok berkenaan dikomersialkan, malah mempunyai ladang seluas antara 20 hingga 2,000 hektar.

“Segala hasil pokok itu, seperti buah, tempurung, batang, pelepah dan kulit pokok dijadikan pelbagai barangan seperti minyak dan dieksport ke negara seperti Turki, Mesir, Iran, Syria, Libya, Amerika Syarikat, Afrika, India dan Malaysia,” katanya.
Abdul Manan berkata, kayu kokka yang dibawa masuk ke negara ini dan kemudian dihasilkan dalam bentuk tasbih, gelang, cincin, minyak dan tongkat adalah seumpama biji kelapa sawit atau biji Tamar yang dijadikan perhiasan. “Tiada bukti dapat mengesahkan pokok yang didakwa kayu kokka itu ada keistimewaan dan khasiat tertentu.

“Bagi mengaitkannya sebagai bahan digunakan bahtera Nabi Nuh as seperti diuar-uarkan sememangnya jauh tersimpang kerana pokok berkenaan tidak sesuai dibuat kapal kerana tidak mampu bertahan di atas air,” katanya. Abdul Manan berkata, pokok sebenar digunakan Nabi Nuh bagi membina bahtera dan tongkat baginda ialah kayu daripada pokok ‘Pine Cypress’ yang diperoleh di pergunungan Ararat, Turki.

Menurutnya, penemuan itu berdasarkan kajian dibuat terhadap satu fosil bongkah kayu lama berusia kira-kira 3,500 tahun milik seorang Arab Kurdis yang mendakwa dirinya keturunan ke-1750 Nabi Nuh. “Kandungan kimia dalam bongkah kayu berkenaan ialah Alpha Cellulose, Hemi Cellulose dan Holo Cellulose iaitu asid asal Alpinene. “Kandungan itu bersesuaian dengan hasil kajian dilakukan Profesor Dr Mohammad Shakran Shuhatah pada 10 Oktober 2007 di Mesir yang menemui hasil sama dengan spesies ‘Pine Cypress’.

“Daripada 19 jenis pokok Pine dikaji, spesies ‘Pine Cypress’ mengandungi kandungan kimia paling tepat sama dengan kandungan kimia serpihan lama bongkah kayu itu yang dikatakan serpihan bahtera Nabi Nuh. “Malah, hasil kajian itu juga sama dengan hasil kajian diperoleh kumpulan pengkaji Inggeris dari 1884 hingga 1954,” katanya.

Menurut Abdul Manan, kajian dilakukan Ronald Eldon Wyat pada 1954 menyatakan pokok ‘Pine Cypress’ tumbuh di pergunungan Chaldea hingga pergunungan tengah Armenia di sempadan Rusia hingga ke pergunungan Ararat, tempat bahtera Nabi Nuh dikatakan tersadai mengukuhkan lagi dakwaan itu.

“Hasil penyelidikan Ronald memperkukuhkan bukti pokok sebenar digunakan Nabi Nuh bagi membina bahtera agung baginda ialah ‘Pine Cypress’, bukan kokka,” katanya yang akan menerbitkan buku khusus untuk memperjelaskan kekeliruan masyarakat terhadap kayu kokka.

Abdul Manan berkata, fosil yang ditemui juga diuji Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia dan ia disahkan spesies Pine Cypress yang masih aktif kandungan kimianya. Katanya, dengan pendedahan itu, diharap masyarakat tidak tertipu dan terpedaya dengan keistimewaan dan kelebihan yang diuar-uarkan mereka yang tidak bertanggungjawab.

AWASI UNSUR SYIRIK JIKA GUNA KAYU KOKKA
Oleh Dato' Dr Haron Din

Saya pernah melihat kayu koka dalam semua bentuk. Pernah dihadiahkan kayu tersebut oleh beberapa orang kepada saya. Malah saya pernah membaca ada sebuah buku yang diterbitkan di Malaysia, disebutkan tentang penggunaan dan kebaikan kayu koka seperti yang saudara sebutkan. Sepanjang hidup saya, tidak pernah mendengar tentang kayu koka ini, melainkan sejak dua tiga tahun kebelakangan ini.

Ada pelajar yang pulang dari Jordan, bertemu saya dan memperkenalkan kayu koka. Beliau berhasrat menjualnya kepada saya kerana dia mengatakan sayalah orang yang paling layak memakai atau menggunakan kayu koka. Saya berbincang panjang dengan beliau, malah saya menasihatkan beliau mencari profesyen lain daripada menjual kayu koka.

Persoalan ini lama kelamaan semakin timbul. Saya melihat orang memakai cincin yang batunya diperbuat daripada kayu koka. Kebetulan saya dapati bukan kayu sebenarnya, tetapi ia buah yang terlalu keras. Oleh kerana tampung buah itu terlalu keras, maka daripadanya diperbuat pelbagai bentuk atas nama kayu koka. Ada juga yang saya jumpa ia diperbuat daripada kayu betul.

Pada saya, semua yang dikaitkan dengan kuasa makhluk-makhluk 'madi' seperti kayu, batu dan sebagainya yang dikaitkan dengan memberi bekas, kecelakaan atau kemanfaatan, inilah yang dilarang oleh Islam. Ini termasuk dalam larangan Rasulullah s.a.w. dalam bersabdanya (mafhumnya); "Sesungguhnya jampi mentara yang mengandungi kesyirikan kepada Allah SWT dan semua jenis tangkal, ilmu pengasih yang menggunakan sihir, semuanya adalah syirik terhadap Allah SWT." (Hadis sahih)

Kalau sekadar perhiasan, yang semata-mata perhiasan, seperti membuat batu cincin atau gelang, yang tidak dikaitkan dengan sebarang kemudaratan atau kebaikan daripadanya, boleh digunakan. Seperti kita menggunakan batu permata, emas dan perak, semata-mata untuk perhiasan, adalah diharuskan. Oleh kerana penggunaan kayu koka ini sudah menjadi suatu profesyen yang pembeli atau penggunanya terpukau dengan penjelasan yang menarik, maka banyak orang yang tertipu dengan penerangan, lalu membelinya.

Jika berlaku kebetulan, seorang yang sempit rezekinya, memakai kayu ini, murah rezekinya. Jika dikaitkan rezeki yang murah berpunca dari kayu tersebut, jelas berlaku syirik terhadap Allah. Tidak boleh ada kuasa lain yang memberi rezeki kepada makhluk melainkan Allah sahaja. Banyak ayat al-Quran yang menyebut bahawa Allahlah pemberi rezeki yang sebenarnya.

Kayu koka mungkin ada khasiat khusus dalam perubatan yang termasuk dalam jenis herba. Jika ia merupakan herba, dilarutkan atau dimasukkan dalam apa-apa adunan, yang mungkin sesuai mengubati penyakit tertentu, itu termasuk dalam salah satu bentuk rawatan penyakit.

Itu pun salah satu yang diharuskan kerana ada dalam hadis-hadis Nabi s.a.w. yang merujuk rawatan penyakit secara memakan ubat. Nabi s.a.w. pernah menyebut tentang madu lebah, bijirin hitam (Habbatus Saudak), jintan hitam, jenis tanaman seperti 'assina' dan 'assinut'. Dalam al-Quran disebut 'at-tiin', 'az-zaytun', 'ar-rummaan', 'an-nahiil' dan sebagainya yang merujuk kepada buah-buahan.
Ini termasuk dalam kajian-kajian untuk dijadikan ubat bagi menyembuhkan penyakit tertentu.

Persoalan saya tentang pengguna kayu kota atau apa sahaja kayu, mengapa orang yang memiliki kayu itu tidak menggunakan untuk faedah dirinya dan menjualkannya kepada orang lain. Barangkali orang tersebut tidak begitu yakin dengan apa yang didakwanya manfaat kepada pengguna kayu koka, sehingga menjualnya dengan harga yang tinggi untuk mendapat faedah kewangan.
Saya amat meragui perkara menggunakan kayu ini, terutama untuk menjadi penghadang kepada jin, syaitan dan sebagainya.

Apa yang saya tahu, jin dan syaitan akan takut dan lari lintang pukang jika dibacakan ayat-ayat al-Quran ataupun zikir kepada Allah SWT. Dalam suatu hadis disebut, Rasulullah s.a.w. pernah melintasi rumah-rumah sahabat di waktu dinihari. Baginda mendapati Umar al-Khattab r.a. membaca al-Quran dan berzikir kepada Allah dengan suara yang amat lantang.

Keesokan harinya Nabi s.a.w. bertemu Umar dan berkata kepadanya, "Aku melintasi rumahmu dan aku mendengar kamu membaca al-Quran dan berzikir dengan suara yang amat nyaring, mengapa kamu buat demikian." Umar menjawab; "Saya berbuat demikian untuk menghalau segala syaitan yang menganggu saya." Lalu Nabi berkata kepadanya, "Perlahankan sedikit."

KOMEN SAYA :
Kayu Kokka & Masalah Aqidah
Ramai bertanya kepada saya berkenaan keajaiban kayu kokka. Sebenarnya saya telah lama menyatakan berkenaan kayu kokka ini sejak dari Jordan, saya juga sempat bertemu dengan penjual utama kayu kokka semasa berada Jordan. Selepas perbincangan, penjual ini mengakui bahawa tiada sebarang hujjah yang boleh dipakai untuk mendakwa kesohihan dakwaan sejarah kayu ini. Saya juga telah berusaha mencari apa jua hadith dari beratus buah kitab-kitab hadith berkenaan kayu ini, malangnya tiada satu pun hadith berkenaannya.
Saya juga sempat bertanya kepada Al-Marhum Syeikh Atiyyah Saqar ketika menziarahi beliau di rumahnya di Mesir pada tahun 2004. Beliau menyatakan sesiapa yang mempercayai kayu ini adalah orang-orang yang jahil. Itulah yang disebut oleh Syeikh Atiyyah.
Selain itu, saya juga sempat berbincang dengan Syeikh Prof. Dr Abd Malik As-Sa'di (Ulama Iraq yang menjadi pensyarah di Univ Mu'tah Jordan), beliau mengatakan pemakai cincin kokka, rantai, tasbih dan lain-lain dengan kepercayaan akan kehebatan ghaib kayu yang boleh mendatangkan kesan baik atau menolak keburukan, ia termasuk dalam kategori tangkal yang membawa hukum syirik.

Dari sudut hukum jual beli
Ringkasnya, penjual kayu ini juga kerap mewarwarkan 'kuasa ghaib' kayu ini, menurut hukum Shariah sebegini adalah haram tanpa syak lagi kerana telah berfungsi seperti bomoh yang meramalkan hal ehwal ghaib.

Penjual kayu ini juga samada secara sedar atau tidak telah melakukan penipuan apabila menyebut kayu kokka sebagai kayu yang sama dengan Bahtera Nabi Nuh a.s ( padahal tiada saiapa yang pernah menjumpai bahtera ini, sebarang dakwaan kosong tidaklah boleh dipakai) demi untuk meyakinkan pembeli akan kehebatannya, sedangkan tiada satu hadith yang menyebutnya dan kajian saintifik juga tiada yang boleh dipakai dalam hal ini. Apabila perkara tidak sabit kebenarannya ini dijaja bagi menjual kayu ini, ia akan tergolong dalam kategori pembohongan dalam jualan.

Nabi SAW bersabda :
Sesungguhnya peniaga-peniaga adalah mereka yang jahat-jahat, sahabat bertanya : Wahai Rasulullah SAW, bukankah Allah telah menghalalkan jual beli, Nabi menjawab : Bahkan, tetapi peniaga (yang fujjar atau jahat ) ini mereka kerap bersumpah (tentang kehebatan barangan yang dijual) dan mereka berdosa kerananya, mereka juga bila bercakap ( ketika promosi ) mereka akan sentiasa berbohong. (Riwayat Al-Hakim, sohih isnadnya menurut syarat Al-Bukhari & Muslim ; Al-Baihaqi)

Demikian juga halnya dengan majoriti penjual kayu ini di ketika mereka berkempen, ada yang akan mendakwa kononnya ia adalah kayu yang sama dengan tongkat Nabi Musa a.s serta boleh menghadang Jin dan Syaitan. Semuanya tidak berasas di dalam Islam. Bagi saya, kayu ini sebenarnya lebih banyak membawa keseronokan kepada Jin dan Syaitan kerana lebih mudah merosakkan aiqdah umat Islam dengan kewujudannya.

Selain itu, sebahagian pihak penjual menaikkan harga kayu ini hanya kerana kehebatan ghaib kayu ini. Jika harganya berdasarkan kualiti dan kecantikannya sebenar sahaja, tentu ia dibenarkan oleh Shariah. Bagaimanapun jika ia dinaikkan kerana kuasa ghaib dan khasiat yang tidak boleh dibuktikan oleh kajian sains, ia tidak dibenarkan oleh Shariah kerana gharar.

Kayu atau orang yang bermasalah?
Ada yang bertanya serta memberikan pandangan kepada saya bahawa yang salah adalah kepercayaan itu dan bukannya kayu itu pada fizikalnya. Benar, saya bersetuju dari satu sudut bahawa kayu itu sendiri sudah hukumnya adalah neutral, demikian juga hukum bagi kubur. Bagaimanapun yang menjadi masalah adalah pemuja kubur, sudah tentu kubur dan jenazah yang dikuburkan itu tidak salah, tetapi yang salah adalah pemuja. Demikian juga halnya kayu kokka. Dalam Islam, jika sesuatu yang neutral itu menjadi sebab utama kepada syirik, ia turut akan diharamkan sebagai sadd az-zara'i (menutup ruang kemungkinan berlaku syirik).

Justeru, hukum memakai dan membeli kayu ini dengan tujuan hiasan semata-mata, tanpa sebarang kepercayaan ghaib tentang kehebatannya adalah harus. Bagaimanapun, amat wajar dijauhi juga, kerana apabila sudah diwarwarkan tentang keajaibannya, walaupun seseorang memakainya hanya untuk kecantikan dan hiasan, berita keajaiban itu akan bermain di sempadan syirik dan Syaitan dengan mudah boleh melintaskan perasaan keajaiban itu ketika seseorang memakainya. Islam menolak semua jenis tindakan yang bermain di sempadan syirik seperti menyimpan patung di dalam rumah, membina kubur dan dalam kawasan masjid dan banyak lagi (Al-Halal Wal Haram Fil Islam, Al-Qaradawi)

ANTARA DAKWAAN PENJUAL KOKKA :
• Sekiranya anak-anak demam, hendaklah diberi minum dengan air suam. Insya-Allah suhu badan menurun.
• Dapat menghalau jin dan syaitan serta terelak daripada dirasuk dengan menggosok atau disapu pada dahi.
• Jika disapu pada orang yang dirasuk akan meraung kepanasan dia. (Sapu sedikit sudah cukup).
• Orang tidak akan mengkhianati atau menyusahkan kita, jika kita memakai minyak ini. Insya-Allah.
• Jika minyak ini sentiasa melekat di badan kita, Insya-Allah orang akan menyayangi kita.
Sumber : http://www.freewebs.com/adeqanuar/kayukokka.htm

Bayangkan begitu karut dakwaan penjual kayu kokka ini, sehingga minyak kayu kokka dianggap boleh menjadi minyak pengasih. Sedangkan hukum minyak pengasih adalah syirik dalam islam sebagai disebut oleh nabi SAW ( Al-Halal Wal Haram Fil Islam, Al-Qaradhawi ).

Tangkal atau Tamimah yang digantung pada badan atau pada binatang atau dalam rumah terkadang dibuat dari tulang, taring binatang buas, tulisan tertentu dan lain-lain. Terkadang tamimah dibuat dari ayat Al-Quran. Para ulama' berbeza pendapat tentang tamimah dari Al-Quran. Pandangan yang lebih kuat juga melarang berbuat demikian sebab Nabi Muhammad s.a.w. melarang tamimah secara umum termasuk dari ayat Al-Quran.

Abdullah Bin Mas'ud berkata : Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda :
Ertinya : Sesungguhnya jampi yang mengandungi syirik, tangkal dan pengasih adalah syirik.( Riwayat Ahmad dan Abu Daud - Menurut Syeikh Albani : Hasan )
Daripada ‘Uqbah Bin ‘Aamir (marfu') :
Ertinya : Barangsiapa yang menggantung tangkal maka sesungguhnya syirik-lah dia.

Antara bentuk tangkal cara baru umat Islam di Malaysia ketika ini adalah seperti meletakkan pisau atau gunting di bawah tilam bayi kononnya agar tidak diganggu, memakai cincin dan rantai atau tasbih kayu kokka dengan kepercayaan bahawa ia dapat mendatangkan kebaikan dan menjauhkan keburukan, meminum air za'faran tertentu dengan yakin ia membawa kebaikan. Semua ini adalah bentuk tangkal dan boleh membawa kepada syirik. Moga Allah SWT menyelamatkan kita dari syirik dan khurafat.

Sumber : www.zaharuddin.net/aqidah-&-kepercayaan/514-kayu-kokka-a-bahaya-kesyirikan-video.html

4 comments:

  1. Masalah akan timbul apabila orang bijak pandai saintis cuna nak buat experimen dengan alam ghaib dan keistimewaan ghaib yg allah sahaja Maha mengetahui.

    Sibodoh macam saya ini memetik Surah An Naam Ayat 59 "DAN PADA SISI ALLAH KUNCI KUNCI SEMUA YG GHAIB, TIADA YG MENGETAHUYA KECUALI DIA SENDIRI DAN DIA MENGETAHUI APA YG DI DARATAN DAN DI LAUTAN..."

    Apakah santis lebih mengetahui?
    Apakah rahsia Allah itu semua dikaji oleh para nabi2 ? Bukankah ilmu Quran itu sampai kiamat pun belum tentu manusia dapat mengorek kehebatan rahsianya?

    Jadi kenapa kita perlu nak heran dgn si saintis ni? Kayu kokka mungkin juga sama denga halnya batu MAGNET ['besi berani' lah katakan]. Apa adakah mana-mana nabi yg EXPLAIN pasal magnet boleh menarik besi dan sebabnya??? Tidak tentu.

    Maka begitulah hujjah saya, Allah yg lagi tahu... bukan saintis. wallahualam.


    Si Capek
    Muar

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah, ada kupasan dan kajian dengan sokongan fakta yang jelas. Hairan juga ramai orang Islam akhir-akhir ini terpaksa cenderung ke arah makhluk halus dan alam ghaib serta sandaran dan perantara seperti kayu dan pelbagai benda lagi.


    Islam bukanlah agama yang penuh mistik malah merupakan Ad-Din, cara hidup yang menyeluruh dengan peraturan yang diperjelaskan dengan Quran dan hadis Rasulullah s.a.w.

    hamba Allah

    ReplyDelete
  3. Artikelnya bagus.

    Kalau tertarik dengan tasbih kayu, bisa dikunjungi disini Tasbih Kayu di Kayu Kayuku

    ReplyDelete