ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Saturday, June 19, 2010

DYMM SULTAN SELANGOR

Duli Yang Maha Mulia Sultan Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah adalah Sultan Selangor ke-9 dalam pemerintahan Kesultanan Selangor. Baginda merupakan anak raja yang berpengalaman luas dalam bidang pentadbiran serta gemarkan sukan lasak.

Malah apa yang telah dipraktikkan oleh Almarhum ayahandanya Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah telah diteruskan oleh Sultan Idris bagi mendekatkan diri dengan rakyat di Selangor. Malah baginda juga sering mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar dan Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco) untuk mendapatkan maklum balas terkini mengenai negeri Selangor.

Sultan Idris telah mengadakan lawatan yang diatur, menepati hajat baginda untuk bersama rakyat, melihat sendiri masalah dan kepayahan rakyat dan sentiasa bertanya khabar bagi membolehkan bantuan segera disalurkan kepada mereka yang memerlukan. Pada setiap taklimat yang dihadiri, baginda sering kali melontarkan pelbagai soalan mengenai perkembangan sesuatu projek kepada pegawai yang bertugas dan memberikan idea bernas untuk dilaksanakan segera bagi kepentingan seluruh rakyat di negeri Selangor.

Malah pada sesetengah tempat baginda sendiri turut menunjukkan kemahiran mengendalikan jentera atau mesin bagi menguji keupayaan dan kemantapan peralatan yang akan digunakan untuk kemudahan rakyat. Setiap taklimat akan diajukan dengan soalan-soalan yang bernas dan idea bagi memantapkan pentadbiran di daerah-daerah demi memberi faedah lumayan kepada rakyat sekitarnya. Itulah prinsip yang dipegang oleh baginda dalam memerintah.

Seperti juga Almarhum ayahandanya, Sultan Idris juga amat prihatin dengan masalah kaum wanita dan kanak-kanak selari dengan penekanan yang sering dikatakan baginda terhadap kebajikan golongan tersebut yang perlu diberi keutamaan. Bagi baginda, keutuhan institusi keluarga terletak di tangan wanita yang mencorak keharmonian rumah tangga dengan sokongan jitu daripada suami.

Sultan Idris Shah merupakan putera sulung Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Raja Nor Saidatul Hisham Binti Tengku Badar Shah @ Raja Lat.
Baginda dilahirkan pada 24 Disember 1945 di Istana Jema'ah Klang, Selangor (Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang).

Baginda telah berkahwin dengan Raja Zarina Binti Raja Tan Sri Zainal serta dikurniakan dua orang puteri, Tengku Zerafina dan Tengku Zatashah. Baginda bagaimanapun berpisah pada 1986. Pada 1988 Baginda berkahwin pula dengan Puan Nur Lisa Idris Binti Abdullah dan dikurniakan seorang putera, Tengku Amir. Baginda berpisah dengan Nur Lisa pada 1997. Sultan Idris kini bersemayam di Istana Mestika, Shah Alam.

Sultan Idris mendapat didikan di Sekolah Rendah Melayu Jalan Raja Muda, Kuala Lumpur dan St. John's Institution Kuala Lumpur dari 1954-1959. Baginda kemudian meneruskan pelajar ke Hale School in Perth, Australia dari 1960-1964 dan selepas itu melanjutkan pelajaran di Langhurst College di Surrey pada 1964-1968.

Baginda memiliki pengalaman kerja yang cukup mantap dan membanggakan. Pada 1968 sebaik sahaja kembali dari England baginda mula berkhidmat dengan Perkhidmatan Pentadbiran Kerajaan, antaranya di Sekretariat Kerajaan Selangor, Pejabat Daerah Kuala Lumpur dan Jabatan Polis di Kuala Lumpur.

Baginda ditabalkan Raja Muda Selangor pada 3 September 1960 ketika berusia 15 tahun. Upacara pertabalan telah disempurnakan di Istana Alam Shah dan baginda dengan rasminya bergelar Raja Muda ke-8 negeri Selangor Darul Ehsan. Setelah ayahanda baginda dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-11, baginda telah dilantik menjadi Pemangku Raja Selangor pada 24 April 1999.

Sepanjang tempoh tersebut baginda telah beberapa kali turun padang menjenguk rakyat di daerah-daerah negeri Selangor untuk mendapatkan informasi dan perkembangan terkini mengenai pembangunan dan bertanya sendiri permasalahan kepada rakyat jelata yang menemui baginda.

Sesuai dengan jiwa baginda yang gemarkan cabaran, Sultan Idris cukup meminati sukan lasak seperti perlumbaan kereta, mendaki gunung dan juga acara kegemaran baginda belayar dengan kapal layar. Sudah menyerlah sejak baginda menerajui Selangor, pelbagai aktiviti sukan diadakan di Selangor yang juga turut terkenal dengan kompleks sukan yang serba canggih dan bertaraf antarabangsa.

Minat dalam sukan lasak ini telah dibuktikan oleh baginda dengan menempa kejayaan dalam pelbagai acara yang disertai antaranya, mendaki Gunung Kinabalu (1975), Cross Country dengan Proton Saga dari Kota Kinabalu (Sabah) ke Kuching Sarawak sejauh 1,111 km yang mengambil masa dua hari (1986) dan lain-lain.

Baginda juga telah mencipta sejarah dengan mengelilingi dunia menaiki kapal layar Jugra selama 22 bulan sejauh 28,780 batu nautika serta menyertai perlumbaan Kereta Antik dari Peking ke Paris pada 1997. Perlumbaan tersebut sejauh 16,000 km melintasi 43 buah negara. Baginda telah memperolehi Silver Medal dengan memandu Vintage Car Class.

"Apabila saya sudah tua dan duduk berehat di kerusi malas sambil menggoyang-goyangkannya, saya akan bercerita kepada cucu-cucu saya bahawa saya telah melakukannya. Saya telah mengambil bahagian dalam perlumbaan kereta antik dari Peking ke Paris dan berjaya menghabiskannya!'' demikian kata Sultan Idris dalam buku From Peking To Paris yang mencatat perjalanan baginda dalam perlumbaan tersebut.

Kesemua kejayaan yang diraih, melayakkan baginda untuk disenaraikan dalam ''The Malaysia Book of Records'' sebagai The First To Sail Around The World (Yang pertama belayar mengelilingi dunia) sejauh 27,940 batu nautika dan singgah di 155 pelabuhan. Pelayaran ini mengambil masa 644 hari bermula 4 Februari 1995 hingga 6 November 1996.

Baginda juga disenaraikan dalam ''The Malaysia Book of Record'' sebagai The First To Complete Peking-Paris Motor Challenge (Yang pertama bersaing dalam cabaran bermotor Peking-Paris) sejauh 16,000 km melalui 11 negara bermula 6 September hingga 18 Oktober 1997.

Baginda turut menjadi penaung bagi Persatuan Alumni Universiti Malaya (1973), Majlis Belia Selangor (1975), Persatuan Murid Lama Johannian, bekas pelajar St. John Kuala Lumpur, Kelab Menembak Kajang, Kelab Shah Alam, Persatuan Hoki Veteran Selangor, Selangor Polo & Riding Club, Persatuan Menembak Selangor dan Kelab Pemilik-pemilik Motosikal Harley Malaysia (HMOC).

Selain meminati bidang sukan, baginda juga cukup mengambil berat tentang kebajikan dan pendidikan di negeri Selangor. Baginda sering menasihati dan mencadangkan agar kerajaan Selangor melipatgandakan usaha mendekatkan rakyat dengan dunia teknologi maklumat (IT) agar mereka turut sama menikmati pembangunan dan kecanggihan yang melanda dunia masakini.

Minat baginda tidak terhad kepada aktiviti sukan semata-mata tetapi turut menyerlah dalam bidang seni juga. Kegemaran baginda mengumpul lukisan bersandarkan kemanusiaan dan alam semula jadi sentuhan pelukis tempatan banyak membimbing baginda untuk terus mendekati dan menjiwai keperluan insan lain yang memerlukan.

Baginda juga menyimpan hobi yang cukup bermakna dengan mengumpul gambar-gambar, setem hari pertama, kereta-kereta antik dan senjata tradisional Melayu. Himpunan koleksi peribadi ini diabadikan dalam galeri khas yang baginda ilhamkan sendiri di Istana Mestika.

Seperti juga Almarhum Ayahanda baginda, Sultan Idris telah membuktikan bahawa raja dan rakyat tidak dapat dipisahkan. Semoga Sultan Idris sentiasa dalam pemeliharaan Allah dan sihat dalam memenuhi tanggungjawab terhadap seluruh rakyat negeri Selangor Darul Ehsan.

2 comments:

  1. wahabi pulak dahhhhhhhh....



    semborowo

    ReplyDelete
  2. wahabi pulak dahhhhhhhh....



    semborowo

    ReplyDelete