Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, diisytiharkan Raja Negeri Perlis yang ketujuh pada 17 April 2000. Baginda diputerakan di Bandar DiRaja Arau, Perlis pada 12 Jamadilawal 1362 bersamaan 17 haribulan Mei 1943.
Pendidikan awal baginda bermula di Sekolah Melayu Arau (sekarang Sek. Keb. Tg. Budriah) sebelum ke e tahun 1955 di Sekolah Rendah Wellesley dan Sekolah Rendah Westland. Baginda memulakan pendidikan menengahnya di Penang Free School dan menyambung pengajiannya sehingga ke tahun 1963 di Wellingborough Public School, England.
Pada 30 Oktober 1960, ketika masih di alam persekolahan, baginda dilantik menjadi Raja Muda Perlis. Setelah tamat pendidikan menengah, Tuanku Syed Sirajuddin membuktikan potensi kepimpinan dan keperwiraannya apabila terpilih mengikuti kursus Pegawai Kadet Tentera Darat di Akademi Tentera DiRaja Sandhurst. Baginda dilatih-tubi sebagai bakal pegawai tentera darat mulai 7 Januari 1964 sehingga 16 Disember 1965.
Setelah tamat latihan di Sandhurst itu baginda kembali ke Malaysia, baginda telah ditauliah sebagai pegawai dalam Angkatan Tentera Malaysia dengan pangkat Leftenan Muda pada 12 Disember 1965 dengan menyertai Kor Peninjau DiRaja yang sekarang dikenali sebagai Kor Armor DiRaja. Pertukaran masuk ke pasukan itu bermula di Regimen Kedua Peninjau yang bertempat di Kem Sungala, Port Dickson.
Baginda pernah berkhidmat di Sabah dalam tahun 1966 dan juga di Sarawak pada tahun 1967. Dalam bulan Disember 1967 baginda dinaikkan ke pangkat Leftenan. Pahang merupakan negeri terakhir baginda berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia. Baginda menamatkan perkhidmatan ketenterannya pada 31 Disember 1969 dengan pangkat Kapten, untuk memberi tumpuan kepada tanggungjawab baginda sebagai D.Y.T.M. Raja Muda Perlis, serta mempelajari selok-belok pemerintahan negeri.
Sebelum itu, pada 15 Februari 1967, Tuanku Syed Sirajuddin melangsungkan perkahwinannya dengan Tengku Fauziah binti Tengku Abdul Rashid. Semangat dan jiwa kepahlawanan yang ada padanya menyebabkan perkhidmatan ketenteraan amat sebati di jiwa baginda. Oleh itu, mulai November 1970 baginda menyertai Pasukan Pertahanan Tempatan, iaitu pasukan simpanan tentera darat yang kini dikenali dengan Regimen Askar Wataniah.
Baginda ditauliahkan sebagai pegawai dengan pangkat Kapten. Berikutan dengan penyusunan semula pasukan simpanan tentera darat, baginda dinaikkan ke pangkat Kolonel dan dilantik sebagai Komander Regimen 504 (Askar Wataniah) yang memerintah pasukan yang meliputi negeri Kedah dan Perlis. Apabila Regimen 513 ditubuhkan di Kedah, Regimen 504 di bawah pemerintah baginda bermarkas di Kem Bukit Keteri.
Berikutan perlantikan baginda sebagai Raja Perlis, baginda telah dilantik sebagai Kolonel Yang Dipertua Kor Renjer DiRaja pada 19 September 2000. Dalam bidang sukan dan rekreasi, golf, tenis dan bola sepak adalah sukan yang diminati baginda. Dalam bulan Mei 1971 baginda dilantik menjadi Yang Dipertua Kelab Golf Putra, iaitu jawatan yang disandang baginda sehingga kini.
Selain itu, baginda juga menjadi Penaung Persatuan Pengadil-Pengadil Bola Sepak Negeri Perlis tahun 1967. Baginda juga pernah menjawat jawatan Yang Dipertua Persatuan Bola Sepak selama 18 tahun. Sebagai seorang Raja mesra rakyat, baginda mempunyai ciri peribadi yang disenangi rakyat dan mudah bergaul mesra. Baginda yakin pendidikan adalah asas kemajuan bangsa dan negara.
Oleh sebab itu baginda berkenan menjadi pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra mulai 1986-2000. Melalui yayasan inilah baginda dapat membantu rakyat Perlis untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pendidikan tinggi di dalam dan di luar negara.
Tuanku Syed Sirajuddin juga amat mengambil berat dalam menegakkan syiar Islam, hal ini dapat dilakukan oleh baginda melalui kedudukannya yang mengetuai Majlis Agama Islam Negeri Perlis. Baginda sentiasa memastikan fahaman agama negeri adalah berasaskan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah. Dalam menyempurnakan fahaman ini dan dakwah Islamiah, baginda sering mendapat nasihat dan pandangan para ulama negeri yang lebih arif.
0 comments:
Post a Comment