ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Wednesday, June 16, 2010

Sultan Johor Akan Pandu Lokomotif

Sultan Johor Akan Pandu Lokomotif Dalam Siri Kembara Mahkota

KULAIJAYA (Johor): Sultan Johor, Sultan Ibrahim akan mengetuai Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2010, selama dua hari mulai 26 Jun ini yang akan menyaksikan baginda menggunakan kereta api sebagai pengangkutan utama.

KMJ 2010 merupakan kembara pertama sejak Sultan Ibrahim dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 23 Januari lepas dan kali ini ia lebih menarik apabila baginda sendiri akan memandu kereta api berkenaan pada siri jelajah tersebut.

Bagi memastikan kelancaran kembara berkenaan, Sultan Ibrahim hari ini menjalani latihan pemanduan kereta api sebagai persediaan untuk memulakan jelajah sebenar yang merangkumi perjalanan sejauh 391.3 kilometer.

Sultan Ibrahim bertitah, selain berpeluang bertemu rakyat jelata, baginda juga tidak sabar untuk memperolehi lesen memandu kereta api yang akan diserahkan oleh pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pada kembara itu nanti.

"Alhamdulillah, semuanya (latihan pemanduan) berjalan lancar hari ini. Saya sentiasa memikirkan bila 26 Jun akan sampai dan tidak sabar hendak dapat lesen (kereta api)," titah baginda selepas menjalani latihan pemanduan sejauh 30 kilometer bermula dari Stesen Keretapi Johor Baharu ke Stesen Keretapi Kulai.

Sultan Ibrahim juga bertitah, baginda berpuas hati dengan latihan pemanduan yang mengambil masa kira-kira sejam itu. dan sebagai pelatih, baginda bertitah kereta api membawa lapan gerabak termasuk gerabak diraja itu dipandu perlahan walaupun baginda dibenarkan membawa pada kelajuan 100 kilometer sejam. Sepanjang pemanduan hari ini, Sultan Ibrahim berkata, baginda dapat melihat sendiri keadaan di kiri dan kanan persekitaran termasuk kebersihan kawasan-kawasan perumahan di sepanjang laluan kereta api itu.

"Aturcara sudah diaturkan oleh urusetia, pada hari kembara nanti saya cuma perlu memastikan saya punya jadual mesti betul untuk sampai ke satu tempat supaya rakyat nanti tidak menunggu terlalu lama," titah baginda.

KMJ kali ini merupakan edisi ke-12 sejak ia diperkenalkan pada tahun 2001 yang merupakan cetusan Sultan Ibrahim sendiri, yang ketika itu menjadi Tunku Mahkota Johor.

Ia bertujuan mendekatkan hubungan keluarga diraja Johor dengan rakyat. Kembara kali ini akan bermula dari Stesen Keretapi Johor Baharu hingga di Stesen Keretapi Gemas, Negeri Sembilan dan Sultan Ibrahim dijadualkan singgah di beberapa stesen termasuk Kulaijaya, Kluang dan Chamek untuk bertemu rakyat.

Sultan Ibrahim dijadualkan melakukan pelbagai aktiviti termasuk melawat Kampung Pertanian Kulaijaya, melancarkan tabung amal Simpang Renggam, demonstrasi membuat tosai dan melancarkan portal Sekolah Agama Kampung Chamek dekat Kluang.


MStar.com.my

0 comments:

Post a Comment