Karya Air Mata Raja

Hayati penceritaan Tun Seri Lanang mengarang buku Sulalatus Salatin pada tahun 1612. Juga kisah hidup 23 pewaris Sultan Mahmud Shah Melaka dari tahun 1511 sehingga 2007. Sebuah naskhah terbitan DBP yang tiada yang lain seumpamanya.

Kesultanan Melayu

Sembilan buah negeri yang masih bersultan mencerminkan sebuah institusi yang terus kukuh. Sultan Melayu lambang keagungan Empayar Melayu Islam satu waktu dahulu. Sultan tonggak agama Islam buat orang Melayu.

Pelancaran Buku Air Mata Raja (Melaka)

Dilancarkan pada 17 Oktober 2011 oleh mantan Ketua Menteri Melaka YAB Datuk Seri Mohd Ali Rustam semasa berlangsungnya Seminar Melaka Merentas Zaman. Ia dianjurkan oleh IKSEP (institut Kefahaman Sejarah dan Patriotisme Malaysia) dengan kerjasama agensi kerajaan yang lain.

Pelancaran Buku Air Mata Raja (Singapura)

Dilancarkan pada 20 September 2013 oleh Encik Hawazi Daipi (Singapore Member of Parliament) di Restoran Mamanda, Sultan Gate, dalam suasana istana yang menarik, diisi dengan persembahan seni oleh para pelajar dari Politeknik Republik. Penghargaan buat Puan Masmunah dan Tuan Zulkarnine.

Anugerah Buku PNM-RTM

Buku 'Air Mata Raja' telah memenangi Anugerah Buku PNM-RTM (Perpustakaan Negara Malaysia dan Radio Televisyen Malaysia) pada 3 Oktober 2013. Ia telah disempurnakan oleh Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia di Angkasapuri, Kuala Lumpur.

ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Tuesday, February 24, 2015

Islam Pelopori Kedaulatan Undang-Undang

Kedaulatan undang-undang adalah satu lagi prinsip dalam konsep Faham Perlembagaan. Bagi Malaysia, prinsip kedaulatan undang-undang adalah Rukun Negara yang keempat. Dalam perundangan Islam prinsip ini juga sudah diperkenal terlebih dahulu. Perkataan 'kedaulatan' bermaksud 'kekuasaan yang tertinggi'.
Oleh itu, prinsip 'kedaulatan undang-undang' bermaksud kedudukan undang-undang sesebuah negara sebagai kuasa tertinggi yang mesti dihormati dan dipatuhi oleh semua pihak atau lapisan masyarakat.
Prinsip kedaulatan undang-undang ini mengandungi dua perkara umum. Pertama, kuasa yang dilaksana oleh kerajaan hendaklah mempunyai asas atau disandarkankepada sumber yang sah (legitimate). Ini menjadikannya sistem yang mendaulatkan undang-undang, bukan sistem yang mendaulatkan individu; a government of law, not a government of men.
Kedua, badan kerajaan hendaklah bertindak mengikut undang yang mengandungi piawaian'keadilan' yang diterima oleh masyarakat bersandarkan nilai tertentu yang disepakati dalam pengisian Perlembagaan. Bagi Dicey, seorang ahli falsafah Inggeris, inti pati kedaulatan undang-undang ialah, pertama tiadanya penyalahgunaan kuasa atau tiada kuasa budi bicara yang terlalu luas.
Kedua, Dicey juga menggariskan prinsip bahawa seseorang itu tidak boleh dihukum sekiranya tiada peruntukan undangundang yang khusus dan jelas. Ketiga konsepkesamarataan di sisi undang-undang. Maksudnya hanya satu undang-undang untuk memberi perlindungan, menghukum semua orang tanpa pengecualian atau tanpa perbezaan; tidak mengira status atau kedudukan individu dalam masyarakat. Keempat, peranan mahkamah dalam menjaga hak-hak asasi.
Konsep 'natural justice'
Prinsip kedaulatan undang-undang menurut Faham Perlembagaan juga sudah dikembangkan oleh ahli falsafah lain dan juga keputusan mahkamah. Antaranya ialah prinsip undang-undang yang berkesan ke hadapan. Maksudnya undang- undang tidak boleh berkesan ke belakang.Sebagai contoh, seseorang tidak boleh dihukum dengan hukuman yang lebih tinggi daripada hukuman ketika kesalahan dilakukan. Jika hukuman ketika kesalahan dilakukan ialah pemenjaraan selama satu tahun, tetapi, hukuman itu dipinda menjadi dua tahun selepas kesalahan dilakukan, maka hukuman yang boleh dikenakan ialah hanya satu tahun, iaitu hukuman ketika seseorang itu melakukan kesalahan terbabit bukan hukuman yang dipinda. Prinsip kedua ialah, undang-undang hendaklah stabil.
Maksudnya undang-undang tidak boleh berubah-ubah sehingga mendatangkan kekeliruan kepada masyarakat. Sekiranya pindaan atau perubahan undang-undang diperlukan, ia hendaklah diumumkan kepada masyarakat dengan cara pewartaan. Konsep 'natural justice' juga menjadi inti pati kepada prinsip kedaulatan undang-undang. Walaupun konsep 'natural justice' ini agak abstrak dan tidak mudah untuk dijelaskan, pada dasarnya konsep ini memerlukan pemahaman mendalam kepada prinsip keadilan yang perlu disesuaikan dengan keadaan, masa dan tempat.
Semakan kehakiman atau 'judicial review' juga satu prinsip penting dalam kedaulatan undang-undang. Semakan kehakiman ialah proses semakan semula oleh mahkamah mengenai keputusan pihak badan pelaksana dalam apa-apa perkara. Sebagai contoh, sekiranya seorang penjawat awam tidak berpuas hati dengan tindakan pihak berkuasa memberhentikan perkhidmatannya, maka penjawat awam itu berhak membawa kes pemberhentiannya kepada mahkamah untuk semakan semula.
Perbezaan ketara
Kuasa mahkamah dalam menyemak semula keputusan atau tindakan pihak eksekutif menunjukkan wujudnya sistem semak dan imbang dan mahkamah hendaklah bebas dalam melakukan tugas ini. Oleh itu, dalam prinsip kedaulatan undang-undang, kebebasan mahkamah adalah elemen utama.
Ketika memberi kuasa kepada mahkamah, prinsip kedaulatan undang-undang juga menitikberatkan prinsip kebebasan pihak- pihak atau rakyat umumnya untuk mendapatkan pertolongan daripada mahkamah. Bagi merealisasikannya, teori kedaulatan undang-undang mahukan mahkamah yang mudah atau senang dan rapat dengan masyarakat.
Dengan kata lain, mahkamah senang dikunjungi tanpa birokrasi yang tegar atau tanpa kos yang tinggi. Jika diperhati dengan teliti prinsip kedaulatan undang-undang dalam Faham Perlembagaan yang digarap Dicey dan keputusan mahkamah ini semuanya ada dalam sistem Islam. Apa yang ketara perbezaannya ialah sumber perundangan dan konsepnya. Sebagai contoh, Islam juga mementingkan kawalan dalam penggunaan kuasa.
Justeru, Islam meletakkan syarat ketat untuk lantikan pemimpin. Syarat ketat ini secara langsung menjadi mekanisme semak dan imbang kepada penggunaan kuasa yang luas. Manakala prinsip lain, terutama prinsip keadilan, kesamarataan, undang-undang berkesan ke hadapan dan semakan kehakiman juga menjadi amalan Islam terlebih dahulu sebelum ia dikembangkan Barat dalam Faham Perlembagaan.
sumber: bh.com.my

Tuesday, September 16, 2014

Jangan Terpedaya...

Seseorang hamba Allah SWT itu masih boleh terus melangkah dalam keadaan getir kerana didokong oleh harapan. Maka kerana itulah kita digalakkan berdoa dan memohon kepada Allah SWT supaya diberikan kebaikan dunia dan akhirat.
Menjadi lumrah bagi seseorang itu bersandarkan harapan yang diberikan oleh Allah SWT sebagai motivasi meneruskan kehidupan, namun ada dalam kalangan kita yang tertipu dengan menaruh harapan melalui bisikan syaitan.
Program Pesona D'Zahra minggu lalu bersama Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin menyambung perbincangan mengenai Manusia dan Harapan. Mengikut sejarah, manusia pertama disogokkan dengan harapan yang dibisikkan syaitan adalah Nabi Adam.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan dia (syaitan) bersumpah kepada keduanya. Sesungguhnya saya adalah termasuk orang yang memberi nasihat kepada kamu berdua." (Surah al-A'raf, ayat 21)
Tiga jalan lupakan manusia kejar akhirat
Kita perlu selalu sedar syaitan musuh yang sentiasa berusaha dengan muslihatnya menyesatkan dan memesongkan kita daripada jalan Allah SWT. Ustaz Muhamad berkongsi tiga jalan sering digunakan syaitan dalam usaha menawan hati manusia supaya berharap kepada dunia dan melupakan pencarian akhirat.
Tiga jalan itu ialah mencari puas hati, ketenangan dengan jalan maksiat dan kaya dengan jalan bakhil. Raja Namrud contoh yang dapat kita lihat sebagai manusia dibisikkan untuk tidak merasa puas hati. Namrud dikuasai perasaan tidak puas hati yang meluap terhadap Nabi Ibrahim.
Dinyalakannya api yang luar biasa marak dengan tujuan mendera dan menzalimi Nabi Ibrahim sekeras-kerasnya bagi usaha mencari puas hati.
Dalam konteks hari ini, apabila rumah tangga dilanda badai, kekerasan dan helah digunakan bagi menyakiti pasangan bagi mendapatkan perasaan puas hati. Sedangkan semua tidak pernah berjaya memberikan ketenangan hakiki bagi mereka yang menurut bisikan syaitan.
Andai ketika bermuhasabah diri kita mengesan adanya sifat mazmumah, kembalilah kepada fitrah kemanusiaan iaitu mencari ubat hati. Lazimnya mereka yang menurut hawa nafsu dalam perbuatan akan hanya menyebabkan lebih banyak kekecewaan dalam kehidupan.
Islam mendidik umatnya bersabar dan Allah SWT menjanjikan darjat yang tinggi kepada orang yang sabar serta bersedia memaafkan orang yang berbuat kesalahan terhadap dirinya. Itulah yang dikatakan sebagai ubat hati.
Orang hatinya jauh daripada mengingati kekuasaan Allah SWT, tidak berpegang dengan panduan hidup yang dibekalkan kepadanya menerusi al-Quran dan jauh daripada mengamalkan panduan ditinggalkan Rasulullah SAW melalui hadisnya.
Hati kosong mudah dipengaruhi syaitan
Ini mengakibatkan hati menjadi kosong dan sunyi, yang hanya memudahkan ia dipengaruhi oleh bisikan syaitan. Fikiran dipandu suara negatif akhirnya menyebabkan perbuatan yang tidak sesuai dengan syariat Islam.
Kesunyian dan kekosongan menyebabkan seseorang itu akan mencari-cari keseronokan atau hiburan dengan harapan untuk mengisi kehampaan akibat kesunyiannya. Tidak sedikit mereka yang mempunyai kedudukan atau pangkat tinggi, kelihatan zahir mempunyai kesempurnaan tetapi mencari ketenangan dengan jalan maksiat.
Mereka tercari-cari jalan untuk mengubat hati yang kosong dan tidak tenang. Ada yang mengambil dadah, minum arak, melanggan teman sosial, namun masih tidak membawa kepada ketenangan untuk mengisi hati yang kosong.
Orang dipengaruhi harapan daripada syaitan yang menjanjikan kekayaan itu datang dengan memiliki sifat bakhil dan kedekut. Mereka mempercayai sikap kedekut dan bakhil itulah yang menyebabkan mereka dapat mengumpulkan harta sebanyak-banyaknya.
Rasulullah SAW bersabda: "Harta tidak akan berkurangan dengan sebab sedekah. Dan Allah tidak menambah kepada seseorang hamba dengan sebab kemaafan yang diberikan (kepada orang lain) melainkan kemuliaan kepadanya dan tiada merendah diri seseorang itu melainkan Allah akan mengangkat darjatnya." (Riwayat Muslim)
Amalan memberi sedekah kepada yang memerlukan amat digalakkan dalam Islam. Perlu kita fahami, rezeki yang dikurniakan kepada seseorang itu adalah milik Allah SWT dan hanya pinjaman kepada hamba-Nya semata-mata.
Seseorang Muslim seharusnya tidak terlalu sayang kepada harta benda dan tidak terikat untuk membelanjakannya kepada perkara kebaikan. Kita perlu fahami setiap pemberian yang dikeluarkan untuk jalan kebaikan akan diganti oleh Allah Taala.
Sedekah juga tidak mengurangkan harta kerana Allah SWT sentiasa menambah keberkatan dan suburnya harta, atau ganjaran dijanjikan Allah di akhirat nanti akan menggantikan harta yang disedekahkan dengan berlipat ganda.
Syaitan telah berjanji untuk menyesatkan manusia akan memperdaya hati serta fikiran seseorang supaya merasa berat mengeluarkan harta atau wang ringgitnya ke jalan sedekah dan infak. Mereka yang dipengaruhi bisikan ini akan diperhambakan dan disibukkan urusannya dengan mencari wang dan harta.
Walaupun mencari harta dan kekayaan digalakkan dalam Islam, tetapi ia perlu berlandaskan kepada usaha, ikhtiar dan seterusnya reda serta tawakal kepada Allah SWT atas pemberian-Nya. Harta dan rezeki seharusnya melapangkan dada dan bertujuan memberi khidmat kepada empunya harta itu.
Ia juga sebagai jalan kita memperoleh ganjaran pahala daripada Allah SWT dengan mengembalikan sebahagiannya ke jalan yang diredai-Nya. Usaha mencari rezeki adalah satu kewajipan manusia tetapi yang mengurniakan kekayaan itu adalah semata-mata urusan Allah SWT.
Waspada permainan syaitan
Berwaspadalah dengan mengelakkan diri daripada dipermainkan syaitan yang mahukan manusia itu melupakan akhirat melalui jalan mencintai dunia. Allah SWT memerintahkan kita bukan mencari harta semata-mata tetapi juga mencari keberkatan.
Ustaz Muhamad memberikan tiga panduan dalam menilai keberkatan harta iaitu harta itu membawa kepada kebaikan, semakin berharta semakin tenang hatinya, harta itu mencukupkannya dan banyaknya menggembirakan seseorang.
Jika harta itu sering memberi kerunsingan hati dan selalu merasa tidak cukup, periksalah semula akan jalan masuknya harta itu dan bagaimana kita membelanjakannya. Berhati-hatilah dengan harapan yang kita pertaruhkan dalam hidup ini sama ada berlandaskan iman atau bisikan syaitan.
* Penulis ialah penyampai dan Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm
sumber: bharian.com.my

Selamat Hari Malaysia

SELAMAT HARI MALAYSIA DRPD KAMI,
KUMPULAN RAJAMENANGIS. 
SEMOGA PERPADUAN KEKAL ABADI DAN NEGARA TERUS AMAN DAMAI
SERTA GILANG-GEMILANG.

Sunday, September 7, 2014

Mingguan Malaysia: Jiwa Melayu Shaharudin

Tahniah diucapkan kepada Shaharudin Datuk Ali, salah seorang pemilik blog ini dan penulis bersama buku 'AIR MATA RAJA' kerana artikel mengenai beliau muncul di dalam akhbar Mingguan Malaysia hari ini.

Menyingkap Laluan Mat Kilau

SEBUT sahaja nama Mat Kilau, ramai dalam kalangan 'orang lama' kenal siapa pahlawan Melayu itu.
Dilahirkan pada 1865 di Kampung Masjid, Pulau Tawar, Jerantut, Pahang, beliau menjadi buruan penjajah Inggeris kerana menentang peraturan memungut cukai dan mengutip hasil negeri sekitar tahun 1890-an.

Ekoran itu, beliau terpaksa menyembunyikan diri di mana-mana tempat yang difikirkan selamat termasuk di dalam hutan di tiga negeri berjiran, Kelantan, Terengganu dan Perak.

Tindakan 'melarikan diri' dan bersembunyi bukan kerana takut tetapi lebih kepada untuk mengatur strategi bagi memperkemaskan bentuk serangan yang akan dilakukan.

Untuk tujuan itu, Mat Kilau menggunakan denai hutan bagi menyukarkan pihak Inggeris mengekorinya.
Terdapat lima laluan yang pernah digunakan Mat Kilau untuk menyeberangi sempadan menuju Terengganu, Kelantan dan Perak.

Laluan dari Pahang ke Perak bermula dari Kampung Ulu Sungai, Raub ke Kampung Ulu Slim, Perak.
Laluan sejauh 34 kilometer itu mengambil masa dua hingga tiga hari untuk ditamatkan.

Penulis baru-baru ini berpeluang menyertai ekspedisi Merentas Banjaran Titiwangsa Ulu Sungai-Ulu Slim dari Raub, Pahang ke Ulu Slim, Perak. Ekspedisi itu turut disertai kira-kira 110 penduduk Kampung Cherok, Kampung Ulu Sungai dan Kampung Kela.

Tinjauan penulis mendapati laluan asal Mat Kilau yang digunakan sekitar tahun 1890-an itu masih wujud tetapi dipenuhi semak-samun yang tebal kerana tidak lagi digunakan.
"Laluan asal tidak lagi digunakan sejak laluan balak muncul. Dengan mengikut laluan balak, perjalanan disingkatkan kepada sehari suntuk sahaja.


© Utusan Melayu (M) Bhd 

Sunday, August 24, 2014

Hukum Isu Tafakur Dan Hari Berkabung MH17 Dalam Islam

Soalan Lazim
Saya ingin bertanya tentang isu tafakkur dan berkabung. Adakah dalam Islam ada amalan tafakkur sebagai tanda kedukaan atas kematian sepertimana dalam ke MH17. Begitu juga tentang amalan berkabung. Dalam Islam apa yang sepatutnya dilakukan. Mohon penjelasan. Terima kasih.
Penjelasan JAKIM
Faham bertafakkur dalam Islam tidaklah sama dengan apa yang dilakukan sekarang ini yang dipanggil ‘moment of silence’ (tunduk selama beberapa minit) bagi menghormati orang yang mati. Tafakkur membawa makna “kegiatan hati untuk memahami makna setiap perkara bagi mencapai apa yang dihajati. Tafakkur juga merupakan pancaran hati yang dengannya kebaikan, keburukan, manfaat dan kemudaratan akan menjadi jelas (al-Jurjani, Kitab al-Ta’rifat, ms.77)
Namun perbuatan tunduk selama beberapa minit (moment of silence) bagi menghormati orang yang mati tidaklah bertentangan dengan syarak kerana ia sekadar tanda penghormatan yang bersifat universal dan tidak melibatkan apa-apa ritual bacaan dan pergerakan yang menyerupai amalan keagamaan agama lain. Penekanan dalam perbuatan ‘moment of silence’ lebih kepada bagi menunjukkan kesedihan, ingatan dan penghormatan kepada mereka yang telah meninggal dunia.
Namun sekiranya perbuatan tersebut disertai dengan ritual keagamaan agama lain seperti menyalakan lilin atau bacaan-bacaan tertentu maka ia menjadi tidak selari dengan amalan Islam dan dilarang oleh syarak.
Asas terhadap keharusan tersebut boleh diambil dari perbuatan Rasulullah yang bangun menghormati jenazah seorang Yahudi yang lalu di hadapan baginda atas dasar kemanusiaan. Begitu juga dengan kisah seorang Sahabat Nabi bernama Qays Ibn Syamas yang pernah menyatakan hasratnya kepada Rasulullah untuk menghadiri majlis kematian ibunya yang beragama Nasrani, Nabi membenarkan dan menyuruhnya berjalan di hadapan jenazah sebagai tanda hormat. (Ibn Qayyim al-Jawziyyah, Ahkam ahl Zimmah, vol.2 ms. 434).
Walaupun apa yang dilakukan oleh Nabi dan Qays, tidaklah benar-benar sama dengan perbuatan ‘moment of silence’, namun kedua-dua perbuatan tersebut memberi isyarat bahawa tidak salah untuk menghormati orang yang meninggal melalui perbuatan yang tidak bertentangan dengan syariah, termasuk bukan Islam. Islam sendiri menggalakkan kita mengambil iktibar dari kematian. Namun yang terbaik untuk dilakukan bagi menghormati orang Islam yang meninggal dunia ialah dengan mendoakan mereka dan membaca ayat-ayat suci al-Qur’an.
Sementara perbuatan berkabung bagi menunjukkan tanda dukacita kepada orang yang meninggal dunia seperti mengibarkan bendera separuh tiang dan memakai pakaian berwarna serba hitam atau suram adalah dibenarkan selagi ia tidak melibatkan unsur-unsur atau ritual keagamaan agama bukan Islam yang bertentangan dengan syarak.
Dalam perbahasan para ulama amalan berkabung banyak merujuk secara khusus kepada apa yang dilakukan oleh seorang wanita yang kehilangan suami. Istilah yang digunakan ialah al-ihdad/al-hadad yang bermaksud menahan diri daripada berhias.
Menurut istilah pula, perkabungan memberi erti meninggalkan perbuatan memakai haruman, perhiasan, celak, minyak, sama ada yang harum ataupun tidak, iaitu yang khusus bagi tubuh. Namun ia boleh dikiaskan kepada konteks yang lebih besar termasuk dalam konteks masyarakat dan Negara seperti dalam kes MH17. Maka keputusan untuk menetapkan beberapa hari untuk tujuan berkabung adalah termasuk dalam perkara yang harus.
Malah dalam hal memakai pakaian berwarna hitam, terdapat perbahasan yang mengatakan bahawa Keempat-empat mazhab mengharuskan (iaitu dalam konteks wanita kematian suami) untuk memakai pakaian berwarna hitam. (Wahbah al-Zuhayli, Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, jild 7. 662
Wallahu a’lam.

Sumber: melvister.com

International Association of Historians 2014

ALOR SETAR: Sejarah negara ini perlu dikaji dengan mendalam dan kandungannya harus menjadi inspirasi bagi pembangunan dalam semua bidang, misalnya seni bina, kesenian, pendidikan, sukan, sains dan kejuruteraan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan dan Naib Presiden Persatuan Sejarah Malaysia, berkata pemodenan harus dimanfaatkan sebagai faktor pendorong bagi memastikan 'sejarah' menjadi satu disiplin yang kekal relevan, sekalipun tidak menunjukkan peningkatan dalam nilai dan permintaan.
Beliau berkata terdapat keperluan untuk menyemak semula dan mengorientasi kaedah pedagogi subjek itu supaya menjadi suatu 'subjek hidup' melalui pendekatan yang memberi penekanan terhadap kenyataan hebat bahawa 'masa depan terletak pada masa lampau'.
"Walaupun sejarah kini menjadi mata pelajaran wajib bagi pelajar sains sosial namun ahli sejarah seringkali mengajar subjek sejarah sebagai subjek 'masa lampau', tentang 'masa lampau' dan bagi 'masa lamapu'.
"Natijahnya, sejarah tidak dianggap sebagai mempunyai nilai dalam masyarakat masa kini yang pantas bergerak, dinamik dan bertenaga. Oleh itu, para pelajar misalnya, tidak nampak 'masa depan' subjek itu," katanya ketika merasmikan persidangan ke-23 Persatuan Ahli Sejarah Asia Antarabangsa (IAHA 2014) di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Muhyiddin berkata universiti mungkin perlu mengkaji langkah untuk menerapkan program yang akan membolehkan pelajar dan masyarakat umum memahami serta menghargai sejarah.
Ini, katanya, sama ada dengan mengukuhkan dan meningkatkan program sains sosial serta seni liberal yang sedia ada atau memperkenalkan program baharu yang mempunyai kaitan, misalnya falsafah.
Persidangan lima hari itu, yang bermula semalam, dianjurkan Universiti Utara Malaysia dan Persatuan Sejarah Malaysia. Antara peserta adalah ahli sejarah dari Brazil, Brunei, Bangladesh, Korea Selatan, Indonesia, Hong Kong dan Jepun.
- BERNAMA
sumber: bharian.com.my

Sunday, August 3, 2014

Hiasi Aidilfitri Dengan Kemaafan

AIDILFITRI sering dikaitkan dengan sifat bermaaf-maafan. Sifat pemaaf merupakan salah satu daripada sifat-sifat luhur yang perlu ada pada diri setiap individu Muslim. Terdapat beberapa ayat al-Quran dan hadis yang telah menekankan tentang keutamaan bersifat sedemikian yang disebutkan juga sebagai sufat orang-orang yang hampir di sisi Allah SWT.

Allah SWT telah berfirman dalam surah Ali-Imran ayat 134 yang bermaksud: Dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain, Allah mencintai orang-orang yang berbuat kebajikan.

Mereka yang bersifat pemaaf ini adalah golongan insan yang berjaya menahan nafsu amarahnya terhadap orang lain tanpa dilampias dengan rasa dendam dan rasa sakit hati. Perasaan insan pemaaf selalunya akan bebas daripada perasaan berburuk sangka dan dendam kesumat dan digantikan pula dengan sikap suka memaafkan kesalahan orang lain terhadap dirinya.

Bersempena dengan bulan Syawal yang mulia ini, golongan insan yang bersifat dan berhati mulia ini akan sentiasa mendapat ketenangan dan kebahagiaan yang akan dilimpahi oleh Allah SWT kepadanya, lantaran telah memartabatkan kemaafan bagi mengisi Aidilfitri yang begitu bermakna ini.

Salah dan silap dalam sebarang tingkah laku yang berlaku sebelum ini akan saling diberi kemaafan dengan melupakan apa jua kepahitan yang terjadi dan menganggapnya sebagai salah satu daripada mehnah (ujian) kehidupan di dunia.

Perlu difahami juga, bahawa walaupun setiap insan Muslim itu digalakkan menyuburkan dalam diri dengan sifat pemaaf, namun perlu diingatkan bahawa Allah SWT juga menegaskan bahawa seseorang yang dizalimi diizinkan untuk membela diri dan membalas kezaliman tersebut. Kejahatan perlu dibalas dengan kejahatan, tetapi setiap pembalasan itu hendaklah terhindar daripada perasaan untuk membalas dendam. Ini kerana kezaliman tidak wajib dibalas dengan perlakuan zalim juga.

Pada waktu dan saat beginilah, Allah SWT menuntut hamba-hamba-Nya agar bersegera menyemai dalam diri dengan sifat pemaaf dan bertoleransi. Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan bagi orang-orang yang dizalimi mereka akan membela diri. Dan balasan sesuatu kejahatan adalah kejahatan yang serupa. Maka sesiapa yang memaafkan dan berbuat baik, maka pahalanya adalah tanggungan Allah SWT. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang zalim. (as-Syuara’: 39-40)

Setiap individu Muslim juga perlu menyedari bahawa kebaikan kita kepada seseorang tidak seharusnya akan lenyap begitu sahaja, lantaran kejahatan orang lain kepada kita sebagaimana sikap Saidina Abu Bakar as-Siddiq sewaktu berlakunya peristiwa hadithul ifki (Berita dusta) yang menimpa anaknya Aisyah r.a. yang juga isteri Rasulullah SAW.

Umum mengakui bahawa penyebaran fitnah dan pembohongan merupakan suatu perbuatan yang amat keji yang boleh meruntuhkan kemakmuran dan keharmonian hidup insan seluruhnya. Lantaran itulah, sewaktu berlaku peristiwa tersebut, Saidina Abu Bakar begitu marah kepada orang yang membuat fitnah tersebut.
Saidina Abu Bakar juga dengan drastiknya memberhentikan layanan baik yang diberikan kepada sahabat handai dan rakan taulannya yang turut terlibat dalam peristiwa penyebaran khabar dusta itu.

Tindakan Saidina Abu Bakar itu rupa-rupanya tidak disukai oleh Allah SWT. Lalu Allah SWT telah menurunkan wahyu melalui Rasulullah SAW bagi memberi teguran tegas-Nya sebagaimana mafhum ayat 22, surah an-Nur yang bermaksud: Dan janganlah orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah bahawa mereka tidak akan memberi pertolongan kepada kaum kerabatnya, orang-orang miskin dan orang-orang yang berhijrah di jalan Allah. Hendaklah mereka sentiasa memaafkan mereka dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu? Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi.

Demikianlah tegasnya Allah SWT dalam menyempurnakan kehidupan hamba-Nya. Sesungguhnya putik-putik kejahatan yang tumbuh sebenarnya hanya akan terus membangkitkan persengketaan yang berterusan untuk tempoh masa yang lama. Sebaliknya, jika kejahatan itu dibalas dengan kebaikan, nescaya akan padamlah api kemarahan dan terlerailah rasa dendam yang terpendam dalam diri.

* PENULIS ialah Guru Pendidikan Islam di SK Sultan Ibrahim (4), Pasir Mas, Kelantan.

Artikel Penuh: www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20140731/ba_02/Hiasi-Aidilfitri-dengan-kemaafan#ixzz39JacOZwP © Utusan Melayu (M) Bhd 

Biografi 14 Raja Permaisuri Agong Malaysia.

PERMAISURI  

Buku ini setebal 220 muka surat, dipenuhi dengan gambar-gambar eksklusif  14 orang Raja Permaisuri Agong Malaysia semasa mereka mengiringi Tuanku SPB Yang diPertuan Agong menaiki  takhta..gambar-gambar  dalam pelbagai aksi dan gaya, suka dan duka telah saya rakamkan untuk buku istimewa ini. 
 
Mudah mudahan ia dapat dimanfaatkan oleh seluruh rakyat Malaysia sebagai bahan rujukan dan koleksi peribadi yang berharga dalam hidup mereka. Harga buku RM250.00 dan ada dua cara untuk membuat pembelian seperti yang dinyatakan diatas. Samada anda mengambil sendiri atau memilih untuk membuat penghantaran melalui pos harganya adalah sama iaitu RM250.00.
 
Pada yang berminat boleh membuat tempahan kepada Puan Normala Hamzah & Rosli Hanafi ditalian 03 89262999/8778/8393 atau anda boleh datang sendiri ke Utusan Karya Sdn Bhd yang beralamat di Kompleks Sri Utusan, Lot 6, Jalan P/10, Kawasan Perusahaan Bangi, Seksyen 10, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor.  

sumber: raybanlensawanita.blogspot.com
 

Wednesday, July 16, 2014

Peringatan: Bunga di Perkuburan

Umat Islam yang menziarahi tanah perkuburan sempena Aidilfitri diingatkan supaya tidak menabur bunga di kuburan kerana ia amalan Yahudi dan Kristian.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah Jabatan Agama Islam Kedah, Sheikh Ahmad Faisol Omar berkata perbuatan itu menyalahi ajaran Islam.
Beliau mengingatkan demikian dalam tazkirahnya pada Program Percambahan Ilmu anjuran bersama Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) bahagian Perlis, Pejabat Setiausaha Kerajaan Perlis dan Hotel Putra Palace di Kangar, hari ini.
Beliau seterusnya mengingatkan umat Islam agar banyak mengisi masa bulan Ramadan dengan membaca al-Quran untuk memperoleh ketenangan dan benteng menahan nafsu dan godaan iblis.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan kaum wanita Islam supaya menjaga adab berpakaian terutama pada Ramadan yang penuh dengan cabaran dan godaan.
"Mereka sepatutnya berpakaian sopan, bukan pakai yang menghairahkan," katanya.
Ahmad Faisol berkata ramai kaum wanita yang diberi nikmat kecantikan menyalahgunakan nikmat tersebut dengan mempamerkan kecantikan mereka kepada umum sehingga memberi kesan buruk terhadap diri sendiri.
Program agama itu yang dihadiri lebih 300 kakitangan awam turut membuat kutipan berjumlah RM964 untuk disumbangkan kepada Tabung Penderitaan Rakyat Gaza.
Turut hadir pada majlis itu pengerusi Cuepacs Perlis, Md Jamel Khir Ismail. – Bernama, 14 Julai, 2014.