Karya Air Mata Raja

Hayati penceritaan Tun Seri Lanang mengarang buku Sulalatus Salatin pada tahun 1612. Juga kisah hidup 23 pewaris Sultan Mahmud Shah Melaka dari tahun 1511 sehingga 2007. Sebuah naskhah terbitan DBP yang tiada yang lain seumpamanya.

Kesultanan Melayu

Sembilan buah negeri yang masih bersultan mencerminkan sebuah institusi yang terus kukuh. Sultan Melayu lambang keagungan Empayar Melayu Islam satu waktu dahulu. Sultan tonggak agama Islam buat orang Melayu.

Pelancaran Buku Air Mata Raja (Melaka)

Dilancarkan pada 17 Oktober 2011 oleh mantan Ketua Menteri Melaka YAB Datuk Seri Mohd Ali Rustam semasa berlangsungnya Seminar Melaka Merentas Zaman. Ia dianjurkan oleh IKSEP (institut Kefahaman Sejarah dan Patriotisme Malaysia) dengan kerjasama agensi kerajaan yang lain.

Pelancaran Buku Air Mata Raja (Singapura)

Dilancarkan pada 20 September 2013 oleh Encik Hawazi Daipi (Singapore Member of Parliament) di Restoran Mamanda, Sultan Gate, dalam suasana istana yang menarik, diisi dengan persembahan seni oleh para pelajar dari Politeknik Republik. Penghargaan buat Puan Masmunah dan Tuan Zulkarnine.

Anugerah Buku PNM-RTM

Buku 'Air Mata Raja' telah memenangi Anugerah Buku PNM-RTM (Perpustakaan Negara Malaysia dan Radio Televisyen Malaysia) pada 3 Oktober 2013. Ia telah disempurnakan oleh Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia di Angkasapuri, Kuala Lumpur.

ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI
Showing posts with label halal. Show all posts
Showing posts with label halal. Show all posts

Tuesday, September 16, 2014

Jangan Terpedaya...

Seseorang hamba Allah SWT itu masih boleh terus melangkah dalam keadaan getir kerana didokong oleh harapan. Maka kerana itulah kita digalakkan berdoa dan memohon kepada Allah SWT supaya diberikan kebaikan dunia dan akhirat.
Menjadi lumrah bagi seseorang itu bersandarkan harapan yang diberikan oleh Allah SWT sebagai motivasi meneruskan kehidupan, namun ada dalam kalangan kita yang tertipu dengan menaruh harapan melalui bisikan syaitan.
Program Pesona D'Zahra minggu lalu bersama Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin menyambung perbincangan mengenai Manusia dan Harapan. Mengikut sejarah, manusia pertama disogokkan dengan harapan yang dibisikkan syaitan adalah Nabi Adam.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan dia (syaitan) bersumpah kepada keduanya. Sesungguhnya saya adalah termasuk orang yang memberi nasihat kepada kamu berdua." (Surah al-A'raf, ayat 21)
Tiga jalan lupakan manusia kejar akhirat
Kita perlu selalu sedar syaitan musuh yang sentiasa berusaha dengan muslihatnya menyesatkan dan memesongkan kita daripada jalan Allah SWT. Ustaz Muhamad berkongsi tiga jalan sering digunakan syaitan dalam usaha menawan hati manusia supaya berharap kepada dunia dan melupakan pencarian akhirat.
Tiga jalan itu ialah mencari puas hati, ketenangan dengan jalan maksiat dan kaya dengan jalan bakhil. Raja Namrud contoh yang dapat kita lihat sebagai manusia dibisikkan untuk tidak merasa puas hati. Namrud dikuasai perasaan tidak puas hati yang meluap terhadap Nabi Ibrahim.
Dinyalakannya api yang luar biasa marak dengan tujuan mendera dan menzalimi Nabi Ibrahim sekeras-kerasnya bagi usaha mencari puas hati.
Dalam konteks hari ini, apabila rumah tangga dilanda badai, kekerasan dan helah digunakan bagi menyakiti pasangan bagi mendapatkan perasaan puas hati. Sedangkan semua tidak pernah berjaya memberikan ketenangan hakiki bagi mereka yang menurut bisikan syaitan.
Andai ketika bermuhasabah diri kita mengesan adanya sifat mazmumah, kembalilah kepada fitrah kemanusiaan iaitu mencari ubat hati. Lazimnya mereka yang menurut hawa nafsu dalam perbuatan akan hanya menyebabkan lebih banyak kekecewaan dalam kehidupan.
Islam mendidik umatnya bersabar dan Allah SWT menjanjikan darjat yang tinggi kepada orang yang sabar serta bersedia memaafkan orang yang berbuat kesalahan terhadap dirinya. Itulah yang dikatakan sebagai ubat hati.
Orang hatinya jauh daripada mengingati kekuasaan Allah SWT, tidak berpegang dengan panduan hidup yang dibekalkan kepadanya menerusi al-Quran dan jauh daripada mengamalkan panduan ditinggalkan Rasulullah SAW melalui hadisnya.
Hati kosong mudah dipengaruhi syaitan
Ini mengakibatkan hati menjadi kosong dan sunyi, yang hanya memudahkan ia dipengaruhi oleh bisikan syaitan. Fikiran dipandu suara negatif akhirnya menyebabkan perbuatan yang tidak sesuai dengan syariat Islam.
Kesunyian dan kekosongan menyebabkan seseorang itu akan mencari-cari keseronokan atau hiburan dengan harapan untuk mengisi kehampaan akibat kesunyiannya. Tidak sedikit mereka yang mempunyai kedudukan atau pangkat tinggi, kelihatan zahir mempunyai kesempurnaan tetapi mencari ketenangan dengan jalan maksiat.
Mereka tercari-cari jalan untuk mengubat hati yang kosong dan tidak tenang. Ada yang mengambil dadah, minum arak, melanggan teman sosial, namun masih tidak membawa kepada ketenangan untuk mengisi hati yang kosong.
Orang dipengaruhi harapan daripada syaitan yang menjanjikan kekayaan itu datang dengan memiliki sifat bakhil dan kedekut. Mereka mempercayai sikap kedekut dan bakhil itulah yang menyebabkan mereka dapat mengumpulkan harta sebanyak-banyaknya.
Rasulullah SAW bersabda: "Harta tidak akan berkurangan dengan sebab sedekah. Dan Allah tidak menambah kepada seseorang hamba dengan sebab kemaafan yang diberikan (kepada orang lain) melainkan kemuliaan kepadanya dan tiada merendah diri seseorang itu melainkan Allah akan mengangkat darjatnya." (Riwayat Muslim)
Amalan memberi sedekah kepada yang memerlukan amat digalakkan dalam Islam. Perlu kita fahami, rezeki yang dikurniakan kepada seseorang itu adalah milik Allah SWT dan hanya pinjaman kepada hamba-Nya semata-mata.
Seseorang Muslim seharusnya tidak terlalu sayang kepada harta benda dan tidak terikat untuk membelanjakannya kepada perkara kebaikan. Kita perlu fahami setiap pemberian yang dikeluarkan untuk jalan kebaikan akan diganti oleh Allah Taala.
Sedekah juga tidak mengurangkan harta kerana Allah SWT sentiasa menambah keberkatan dan suburnya harta, atau ganjaran dijanjikan Allah di akhirat nanti akan menggantikan harta yang disedekahkan dengan berlipat ganda.
Syaitan telah berjanji untuk menyesatkan manusia akan memperdaya hati serta fikiran seseorang supaya merasa berat mengeluarkan harta atau wang ringgitnya ke jalan sedekah dan infak. Mereka yang dipengaruhi bisikan ini akan diperhambakan dan disibukkan urusannya dengan mencari wang dan harta.
Walaupun mencari harta dan kekayaan digalakkan dalam Islam, tetapi ia perlu berlandaskan kepada usaha, ikhtiar dan seterusnya reda serta tawakal kepada Allah SWT atas pemberian-Nya. Harta dan rezeki seharusnya melapangkan dada dan bertujuan memberi khidmat kepada empunya harta itu.
Ia juga sebagai jalan kita memperoleh ganjaran pahala daripada Allah SWT dengan mengembalikan sebahagiannya ke jalan yang diredai-Nya. Usaha mencari rezeki adalah satu kewajipan manusia tetapi yang mengurniakan kekayaan itu adalah semata-mata urusan Allah SWT.
Waspada permainan syaitan
Berwaspadalah dengan mengelakkan diri daripada dipermainkan syaitan yang mahukan manusia itu melupakan akhirat melalui jalan mencintai dunia. Allah SWT memerintahkan kita bukan mencari harta semata-mata tetapi juga mencari keberkatan.
Ustaz Muhamad memberikan tiga panduan dalam menilai keberkatan harta iaitu harta itu membawa kepada kebaikan, semakin berharta semakin tenang hatinya, harta itu mencukupkannya dan banyaknya menggembirakan seseorang.
Jika harta itu sering memberi kerunsingan hati dan selalu merasa tidak cukup, periksalah semula akan jalan masuknya harta itu dan bagaimana kita membelanjakannya. Berhati-hatilah dengan harapan yang kita pertaruhkan dalam hidup ini sama ada berlandaskan iman atau bisikan syaitan.
* Penulis ialah penyampai dan Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm
sumber: bharian.com.my

Saturday, July 12, 2014

Jom Berbuka dengan juadah tradisional...

NASI ULAM
350g beras + 650ml air (tanak hingga masak, biar sejuk)
2 sb minyak
50g ikan kurau masin
30g udang kering (rendam hingga lembut)
4 sb kelapa parut (sangai keperangan)
serbuk lada hitam, garam secukupnya

Bahan Ulam (hiris halus)
6 ulas bawang merah
2 helai daun kunyit
10 helai daun kaduk
10 tangkai daun pegaga
10 tangkai ulam raja
10 tangkai daun selom
1 batang serai
1 kuntum bunga kantan
5-6 batang kacang panjang

1. Panaskan minyak, goreng ikan masin hingga masak.
2. Tumbuk ikan masin hingga hancur.
3. Tumbuk udang kering dan goreng dgn sedikit minyak hingga wangi.
4. Gaulkan nasi dengan semua bahan hingga sekata.

*Hidangkan dengan ikan bakar kuah percik & sayur keladi asam rebus.

Thursday, August 29, 2013

Pelancaran Buku AIR MATA RAJA di Singapura

Penulis buku 'AIR MATA RAJA' ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Pn Masmunah Abdullah khasnya dan Restoran Mamanda, Sultan Gate, Singapura kerana akan menganjurkan Majlis Pelancaran Buku tersebut pada 20 September 2013 yang akan datang. Sejajar dengan itu juga, turut diadakan promosi sajian Kesultanan Melayu selama tiga hari berturut-turut. Sajian ini dipetik daripada buku 'Sejarah Melayu' yang mana ianya juga disebut di dalam buku 'Air Mata Raja'. Inilah peluang keemasan untuk menikmati enam sajian yang cukup autentik dan pertama kali di dalam sejarah, dipersembahkan dalam suasana penuh indah sarat dengan kesenian Melayu, di Mamanda (Bendahara Residence). Untuk tempahan, bolehlah emel : enquiry@mamanda.com.sg

Saturday, August 7, 2010

WASPADA: Dilarang guna istilah "Bufet Ramadan"

Dilarang guna istilah Bufet Ramadan


ZAINAL (kiri) menyempurnakan perasmian Kempen 1Malaysia 1Halal sambil disaksikan Saimah (tengah) dan wakil Setiausaha Kerajaan Negeri, Kamaruddin Abdullah di Teluk Danga, Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Hotel-hotel yang tidak mempunyai sijil perakuan halal dilarang menggunakan istilah ‘Bufet Ramadan’ kerana ia boleh mengelirukan umat Islam.

Pengarah Hab Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Saimah Mukhtar berkata, hotel yang memiliki sijil perakuan halal daripada Jakim atau jabatan agama negeri sahaja boleh menggunakan istilah tersebut.

“Memang tidak boleh guna istilah Bufet Ramadan kerana ia mengelirukan umat Islam kecuali ada sijil perakuan halal,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Kempen 1Malaysia 1Halal di Teluk Danga di sini semalam.

Perasmian program itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri Johor, Datuk Zainal Abidin Osman.

Saimah berkata, pengguna perlu bijak dalam membuat pilihan produk halal serta mendapatkan maklumat berkaitannya sebelum membeli atau menggunakannya.

Mengulas tentang jumlah hotel yang mempunyai dapur dengan sijil perakuan halal, beliau berkata, terdapat peningkatan kesedaran di kalangan pengusaha hotel untuk memohon sijil berkenaan.

Beliau berkata, daripada lebih 600 hotel yang memiliki restoran di negara ini, hanya 33 hotel mempunyai sijil halal daripada Jakim dan jumlah tersebut tidak termasuk sijil perakuan halal yang dikeluarkan di negeri-negeri.


Sumber: NASRI JAMALUDIN
mohdnasri.jamaludin@kosmo.com.my