ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Thursday, April 8, 2010

SULTAN KELANTAN SEMAKIN PULIH

KOTA BHARU 7 April – Buat pertama kali setelah hampir setahun gering, Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra berkenan bertemu rakyat, dalam keadaan baginda yang seringkali tersenyum dan semakin sihat, pada satu majlis di Istana Mahkota di sini hari ini.

Sultan Kelantan yang berpakaian kemeja batik hitam bercorak bunga putih, berkenan untuk bertemu rakyat jelata pada 5.20 petang dengan menaiki kerusi roda dan diiringi Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid pada majlis meraikan lebih 100 anak yatim dan pemberian sumbangan zakat.
Tetamu yang hadir turut mengambil peluang itu untuk menegur dan bertanya khabar baginda.

“Alhamdulillah sihat. Terima kasih kerana datang,” titah baginda dalam suara yang tersekat-sekat kepada seorang Imam Masjid Kampung Sireh yang bertanya khabar baginda. Tuanku Ismail Petra juga sempat berseloroh apabila Tengku Anis bergurau meminta baginda menyanyikan sebuah lagu.

“Dok (tidak)... tak nak, payah....” titah baginda sambil tersenyum.
Pada majlis itu juga jelas kelihatan kemesraan baginda dan Tengku Anis yang menyuapkan makanan sambil sesekali mengelap peluh baginda. Baginda dan Tengku Anis turut berkaraoke bersama-sama beberapa kakitangan yang merawatnya dengan menyanyikan lagu Kemesraan, Menghitung Hari dan My Heart Will Go On.

Walaupun suara baginda tidak begitu jelas menyanyikan lagu tersebut, Sultan Kelantan kelihatan gembira dan ceria sepanjang sesi karaoke itu yang turut disaksikan tetamu. Pergerakan bibir baginda menunjukkan Sultan Kelantan menghafal dan menggemari lagu tersebut.

Antara yang hadir pada majlis itu ialah Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra dan bekas Pengerusi Majlis Perajaan Negeri (MPN), Tengku Abdul Aziz Tengku Hamzah dan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Hashim Wan Daud yang juga ‘Setiausaha Sulit’.
Pada majlis itu, Tengku Anis memberikan bantuan kepada anak-anak yatim dari beberapa buah sekolah termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Mas, SMK Putri dan SMK Zainab II.

Sumber : www.utusan.com.my

0 comments:

Post a Comment