ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Thursday, April 15, 2010

Hangat: Utusan Malaysia dan blogger Rajamenangis

RENCANA UTUSAN MALAYSIA

ARKIB : 25/03/2010

Sebab, akibat 'penggodaman' Melayu
Malay Bashing menggodam Melayu


Berselindung atau berterus terang
-- Antara puncanya 'ultra kiasu' -- Sekarang ditambah oleh 'si Tenggang'.

Perbuatan 'menggodam' dan mengutuk serta merendah-rendahkan Melayu atau Malay Bashing telah semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini. Kebanyakan, jika tidak semua, perkara yang dikatakan atau dilakukan oleh bangsa Melayu untuk mempertahankan hak mereka akan dilabel sebagai racist.

Peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan negara yang dianggap 'memihak' kepada Melayu (dari segi politik, budaya dan undang- undang) cuba diputarbelitkan melalui pelbagai takrif dan hujah. Atau dengan sengaja dihalang-halang pelaksanaan dan penguatkuasaannya dengan pelbagai cara. Malah Perlembagaan itu sendiri cuba hendak diinterpretasikan tanpa mengambil kira roh dan semangat serta konteks sosial dan budayanya.

Dan lebih buruk lagi, saya terbaca dalam satu halaman web, ada penulis yang begitu lancang menyifatkan (menuduh) Perlembagaan itu sebagai racist.

Hak-hak dan kedudukan bangsa Melayu yang selama ini diiktiraf dan dihormati semakin dipertikaikan dengan berbagai-bagai cara. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi secara halus dan beransur-ansur mengalami proses peminggiran sama ada dalam sistem pendidikan begitu juga dalam bidang komunikasi awam dan swasta. Malah terdapat anggota-anggota dewan legistlatif (Parlimen dan Dewan-Dewan Undangan Negeri) yang tidak fasih berbahasa Melayu.

Institusi-institusi tradisi yang selama ini menjadi lambang kekuatan Melayu disindir secara halus. Malah pernah diperlakukan secara kasar. Institusi-institusi pemerintahan yang pimpinan dan pengurusan utamanya dikendalikan oleh tokoh-tokoh Melayu diserang secara terang-terang atau secara berselindung.

Demikian juga akhbar-akhbar atau saluran komunikasi massa yang membela Melayu, terutama Utusan Malaysia dituduh sebagai racist. Malah bidang akidah dan sistem ibadah bangsa Melayu mula ada yang hendak campur tangan untuk menambah lagi kecelaruan masyarakat Melayu.

Berlatar belakangkan semuanya itulah, seorang peguam muda (setengah umur?) mencetuskan satu perbincangan atau sesi diskusi di bawah tajuk "Malay Bashing/Penggodaman Melayu dari Perspektif Undang-undang dan Sejarah."

Namanya Shaharudin Ali (Kumpulan Rajamenangis) dan sekarang sedang melanjutkan pelajaran peringkat kedoktoran bidang undang-undang di Universiti Malaya sambil menjadi Adjunct Professor di Universiti Multi Media (MMU).

Sebelum ini beliau pernah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM). Satu pengalaman pekerjaan yang semakin 'membuka mata' dan meningkatkan keprihatinannya terhadap nasib Melayu ialah semasa Shaharudin memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Majlis Peguam Malaysia.

Dalam majlis Percambahan Fikiran Tentang Isu-isu Melayu (PFTIM) di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya itu beliau menyatakan fenomena "penggodaman Melayu" ini bukanlah isu baru. Perkara itu telah berlaku sebelum dan semasa penjajahan Barat. Serangan atau godaman orang asing itu dari dalam dan luar negara berterusan hingga zaman merdeka dan semakin menjadi-jadi secara terang-terang atau bersembunyi semasa pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Setelah DEB selesai dan alaf 21 bermula, penggodaman itu menemui dua ciri baru. Pertama, antara yang menggodam itu, di samping orang bukan Melayu, sekarang telah termasuk pula orang Melayu sendiri yang sebahagian besarnya menerima rezeki (mengalami kemajuan mobiliti sosial) daripada DEB. Ciri yang kedua, proses penggodaman itu sekarang menemui satu alat (senjata) baru, iaitu internet.

Dua ciri baru ini, tegas Shaharudin menyebabkan usaha-usaha menangkis penggodaman itu menjadi lebih sulit. Dan keadaan menjadi bertambah rumit bila ada pemimpin Melayu sendiri yang memberi bola tanggung kepada orang bukan Melayu untuk semakin berleluasa menggodam Melayu.

Berdasarkan pengalamannya memegang beberapa jawatan strategik serta ketajaman pemerhatiannya sebagai seorang yang terlatih di bidang undang-undang, Shaharudin telah menyenaraikan secara rambang 20 isu yang digunakan untuk menyerang Melayu.

Dalam senarai tersebut termasuklah petisyen Hindraf, penipuan sijil Halal, tuduhan racist terhadap Biro Tata Negara, penggunaan bahasa-bahasa lain selain bahasa kebangsaan pada papan tanda jalan, pelonggaran undang- undang murtad dan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Beliau juga telah mengenal pasti cara dan kaedah penggodaman tersebut. Ini termasuklah kaedah secara langsung dan secara tidak langsung, menggunakan hujah-hujah undang- undang dan hak asasi manusia sejagat, mengadu dombakan orang Melayu dan memanipulasikan atau menyalah gunakan proses dan prosedur yang sah, memancing orang Melayu untuk berdebat tentang isu-isu yang remeh dan bertelingkah tentang istilah dan semantik.

Kenapakah kecenderungan menggodam Melayu itu semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini? Sebab yang utama kerana orang lain melihat bangsa Melayu kini berada dalam keadaan yang lemah dan sedang berpecah belah. Orang bukan Melayu seakan-akan mendapat kekuatan baru setelah pilihan raya umum ke-12 yang lalu.

Bila Shaharudin berkali-kali membuat rujukan terhadap Perlembagaan Persekutuan (termasuk proses penggubalannya dan peruntukan-peruntukan tertentu di dalamnya), maka terserlah pula satu sebab yang lain.

Pengetahuan yang sangat cetek tentang sejarah bangsa dan Perlembagaan negara telah menyebabkan ramai orang yang 'kehilangan punca', baik orang Melayu mahu pun bukan Melayu. Semua itu bukan sahaja akan semakin berleluasanya kecenderungan menggodam Melayu malah akan bertambah sukarnya membentuk sebuah "negara bangsa", sebuah masyarakat Malaysia yang bersatu padu.

Oleh kerana itu, antara penyelesaian yang patut diberi keutamaan ialah memperkasa pengajaran dan pembelajaran sejarah asal usul negara ini serta dipertingkatkannya pengetahuan, pemahaman dan penghayatan Perlembagaan Negara.

Senator Datuk Dr. Firdaus Abdullah ialah Pakar Rujuk di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.
(C) 2010 Utusan Malaysia

0 comments:

Post a Comment