ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Friday, April 30, 2010

RAJAMENANGIS MENJUNGJUNG TITAH SULTAN SELANGOR


RAJAMENANGIS bersetuju dengan titah amaran DYMM Sultan Selangor kelmarin, seperti dilaporkan oleh Berita Harian:

Peringatan Sultan terhadap mereka yang enggan ikut peraturan:

KLANG: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, semalam mengingatkan sesiapa yang tidak bersetuju dengan peraturan dan undang-undang di negeri ini, termasuk larangan berpolitik di masjid serta surau, hendaklah mengelak daripada datang ke Selangor.

Baginda menegaskan walaupun tiada halangan bagi rakyat dari negeri lain untuk bermastautin atau mencari rezeki di negeri ini, mereka hendaklah mematuhi segala peraturan serta undang-undang di Selangor.
Sultan Sharafuddin menjelaskan baginda melarang masjid dan surau digunakan sebagai pentas politik semata-mata untuk menjaga kesucian dan keharmonian tempat ibadat itu.
“Masjid dan surau adalah tempat umat Islam berkumpul bagi melakukan amal ibadat di samping mengeratkan silaturahim sesama mereka.

“Sesetengah ahli politik mempertikaikan titah beta dan menganggapnya sebagai karut dan peninggalan penjajah,” titah baginda ketika merasmikan pertukaran nama Sekolah Agama Menengah Tinggi Jalan Kota Raja di sini kepada Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Hisamuddin.


Sultan Sharafuddin menegaskan jika masjid dan surau dibiarkan untuk digunakan sebagai pentas kempen politik, ia dikhuatiri akan disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab dengan perbuatan yang boleh mencemar kesucian masjid, seperti mencaci, memfitnah serta membuat tohmahan tidak berasas dan memburukkan keperibadian seseorang.

Sultan Sharafuddin juga menjelaskan keadaan pada zaman Rasulullah adalah berbeza kerana baginda berceramah di masjid untuk mengajak umat Islam mengukuhkan perpaduan.

“Nabi Muhammad tidak menyebar fitnah atau menghina orang lain dalam masjid seperti yang berlaku sekarang, sebaliknya menggunakan masjid untuk menyedarkan umat Islam pada masa itu kerana ia menjadi tempat umat Islam berkumpul untuk beribadah dan menguatkan silaturahim".

“Justeru, tidak munasabah bagi membandingkan peranan Rasulullah menggunakan masjid untuk berpolitik dengan keadaan sekarang, yang mana ahli politik mengambil kesempatan untuk menggunakan masjid sebagai platform untuk menyebarkan agenda politik mereka.

“Pada zaman Rasulullah juga, tidak ada kemudahan lain untuk berceramah kecuali masjid berbanding zaman sekarang seperti stadium, balai raya, pusat konvensyen dan dewan serba guna. Berceramahlah di tempat itu dan jangan menggunakan masjid,” titah baginda.



(c) Berita Harian

0 comments:

Post a Comment