ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Sunday, April 25, 2010

Kisah Raja Raja Melayu Singapura

Membaca buku ini sebenarnya adalah seperti membaca sedutan daripada Sejarah Melayu. Ini kerana tujuan utama penulis daripada Singapura ini menyusun kembali sebahagian cerita-cerita daripada karya agung itu ialah untuk memberi satu kesedaran kepada rakyat Singapura; bahawa satu waktu dahulu negara itu pernah dibuka oleh raja-raja Melayu dan pernah tertubuhnya sebuah kerajaan di sana lama sebelum ia dibuka kembali oleh pihak Inggeris.

Agus Salim turut menyesali akan kepesatan pembangunan pulau tersebut telah memusnahkan banyak bahan-bahan bersejarah seperti yang pernah diceritakan oleh Munsyi Abdullah dalam Hikayat Abdullah mengenai terjumpanya sebuah batu bersurat yang mana telah dipecahkan oleh pegawai Inggeris sebelum sempat dibuat kajian ke atasnya.

Agus Salim telah memetik kembali Sejarah Melayu dan menyusun dengan fokus kepada raja-raja yang pernah memerintah Singapura. Raja-raja tersebut ialah:

1) Sang Nila Utama (memerintah 1299-1347 M)
- Anak kepada Sang Sapurba dan Wan Sendari, anak Demang Lebar Daun (berkaitan dengan peristiwa kedal).
- Sebelum dikahwinkan, kedua-dua pihak, Demang Lebar Daun dan Sang Sapurba telah membuat waadat, seperti akujanji, bahawa satu pihak tidak akan merendah-rendahkan anak cucunya manakala satu pihak akan terus setia dan tidak menderhaka.
- Sang Nila Utama berkahwin dengan Wan Seri Bani, puteri Raja Bentan.
- Sang Nila Utama membuka Singapura dan berminat menubuhkan kerajaan di situ selepas terpegun dengan keajaiban seekor binatang yang digelar 'singa' oleh pengikutnya.

2) Raja Kecil Besar @ Paduka Seri Pikrama Wira (1347-1362 M)
- mengangkat adindanya sebagai bendahara bergelar Tun Parapateh Permuka Berjajar.
- Setelah berasa terhina dengan satu bingkisan daripada raja Majapahit berisi tatal yang digulung seperti subang, raja kedua Singapura ini telah memerintahkan seorang pawang yang mahir menarah rambut budak yang menangis dengan beliung. Beliung itu dipulangkan untuk dipersembahkan kepada raja Majapahit.
- Terhina dengan tindakan itu, Majapahit menyerang Singapura. Namun, Singapura tetap dapat bertahan dan Majapahit pun alah lalu berundur.

3) Raja Muda @ Seri Rana Wira Kerma (1362-1375 M)
- Bendahara: Tun Parapateh Tulus
- Badang yang terkenal menjadi gagah kerana memakan muntah hantu, hidup di zaman pemerintahan raja ini.
- Badang dicabar oleh Benderang, pahlawan Perlak.

4) Dasia Raja @ Paduka Seri Maharaja (1375-1388 M)
- Inilah raja yang membunuh ulama terkenal, Tun Jana Khatib. Alim itu dituduh menunjuk-nunjuk kepandaiannya di hadapan permaisuri baginda.
- Susulan daripada peristiwa tersebut, todak telah menyerang Singapura.
- Kedangkalan idea raja yang menyuruh rakyat menahan betis diperkecilkan oleh seorang budak yang mencadangkan penggunaan batang pisang untuk menewaskan serangan todak.
- Budak yang tunjuk pandai itu kemudiannya turut dibunuh oleh Dasia Raja selepas dihasut oleh pembesar lain.
- Siri keganasan raja itu mula melanggar waadat antara Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun.

5) Raja Iskandar Shah (1388- 1391 M)
- Inilah raja yang sanggup menyula isteri (gundik?) sendiri, iaitu anak kepada Sang Rajuna Tapa.
- Akibat perbuatan itu, Sang Rajuna Tapa menulis surat kepada Raja Majapahit, memaklumkan beliau sanggup membuka pintu kota Singapura untuk diserang Majapahit.
- Sang Rajuna Tapa menjadi batu kerana melanggar waadat.
- Singapura kalah perang, Raja Iskandar Shah berundur ke Muar dan beberapa tempat spt Biawak Busuk & Kota Buruk, sebelum akhirnya membuka sebuah negeri yang digelar sebagai Melaka.

Tahun-tahun pemerintahan raja-raja Singapura ini dipetik Agus Salim daripada kajian Dr. W. Linehan, 1947, The King of 14th Century Singapore, JMBRAS 20(2).


Sumber : ulasbuku.blogspot.com

2 comments: