ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Thursday, April 29, 2010

DUNIA MELAYU - AWAS SONGKET TIRUAN DI TIMUR


Timur: Songket tiruan melambak

Penenun bimbang perusahaan tempatan terpaksa gulung tikar KUALA TERENGGANU:



Pengguna yang ingin membeli songket Terengganu perlu berhati-hati berikutan ada segelintir peniaga yang tidak bertanggungjawab di negeri ini menjual songket tiruan dari India dengan harga tinggi seperti songket tempatan.
Malah, songket tiruan yang didakwa seakan-akan songket tempatan itu ditiru 100 peratus bagi mengaburi mata pengguna sehingga sukar untuk membezakannya. Lebih teruk apabila penjualan songket tiruan secara berleluasa itu melumpuhkan pasaran songket tempatan serta menjejaskan pendapatan penenun songket berkenaan.

Penenun songket, Ahmad Ibrahim, 45, dari Kampung Manir, berkata sejak songket dari India dijual berleluasa di Pasar Besar Kedai Payang, permintaan terhadap songket Terengganu semakin berkurangan.
“Sedih juga apabila mengenangkan nasib, malah perbuatan segelintir peniaga yang menjual songket itu dan menipu dengan mendakwa songket yang dijual itu songket Terengganu juga mengecewakan. Songket tiruan bermutu rendah berbanding songket Terengganu, paling lama ia hanya boleh dipakai selama satu tahun. “Kami tidak nafikan dari pandangan mata kasar corak serta sulamannya seperti songket Terengganu tetapi fabrik yang digunakan berbeza dan tidak selembut fabrik yang digunakan untuk songket Terengganu. “Lambat laun, jika pihak berwajib tidak memantau masalah itu, saya pasti industri atau pengusaha songket tempatan boleh gulung tikar dan tiada lagi yang berminat untuk menenun songket tempatan," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Sementara itu, peniaga songket, Syed Ahmad Idrus, 72, berkata sebagai peniaga songket dia juga terkilan dengan sikap segelintir peniaga yang sanggup menipu pengguna apabila menjual songket India dengan harga tinggi seperti songket Terengganu.
“Cuba bayangkan, untuk sehelai songket tiruan itu, kami hanya membayar RM12 sehelai dan ia mengikut gred, namun segelintir peniaga menjualnya dengan harga RM200 hingga RM400 sehelai. Saya akui, boleh dikatakan semua peniaga menjual songket tiruan termasuk saya tetapi saya menjualnya dengan harga RM50 sehelai dan menjelaskan kepada pelanggan antara songket tiruan dan songket Terengganu. “Tambahan pula, songket tiruan itu tidak memerlukan peniaga mengeluarkan modal kerana ia di hantar oleh pembekal dari India. Terpulanglah kepada peniaga sama ada ingin menjualnya dengan harga tinggi atau sebaliknya," katanya. Syed berkata, akibat perbuatan segelintir peniaga yang tidak bertanggungjawab itu, ramai pelanggan dari luar yang datang ke negeri ini merungut kerana songket yang dibeli mereka tidak berkualiti dan cepat berkedut serta sukar dipakai. Seorang pengguna,

Mohd Azham Mat, 25, dari Kampung Laut, berkata beliau hanya mengetahui songket yang diterima sebagai hadiah perkahwinan adalah songket tiruan selepas mendapat pengesahan peniaga di Pasar Besar Kedai Payang.
“Patutlah kain songket yang diterima itu sukar dipakai. Menyedihkan apabila isteri membelinya dengan harga RM300 kerana menyangka ia songket Terengganu,” katanya.



(C) Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli
bhkt@bharian.com.my

0 comments:

Post a Comment