ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Thursday, September 3, 2009

Istiadat Pertabalan Sultan Kedah

Tiupan nafiri akan menandakan isyarat keberangkatan masuk Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah ke Balai Rong Seri.

Keberangkatan Duli-Duli Yang Maha Mulia didahului oleh Seri Maharaja Lela. Duli-Duli Yang Maha Mulia dikapit oleh pegawai-pegawai yang membawa Cogam Agama dan Cogam Alam dan di belakang pula ialah pegawai-pegawai yang membawa Cokmar dan Pedang. Di belakang Duli-Duli Yang Maha Mulia ialah Juru Iring dan Dang Perwara.


Selawat akan dilafazkan sebaik sahaja tiupan nafiri berakhir. Nobat pula akan dipalu lagu "Raja Berangkat" apabila selawat selesai dilafazkan. Duli-Duli Yang Maha Mulia berangkat naik bersemayam di atas Singgahsana.

Istiadat Pertabalan dimulakan dengan Seri Maharaja Lela mengadap memohon limpah perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan untuk memulakan istiadat. Pegawai-pegawai membawa masuk alatan-alatan pertabalan dan meletakkannya di atas meja khas berhadapan Astaka.

Alatan-Alatan Pertabalan adalah seperti berikut:

• Puan Sireh • Keris Kebesaran • Surat Perisytiharan Pertabalan • Surat Titah DiRaja • Benian • Kendi • Embat-embat • Bekas Perasap

Setelah Alatan-Alatan Pertabalan diletakkan mengikut tertib, aktiviti-aktiviti istiadat berikut menyusul kemudian:
• Yang DiPertua Majlis Agama Islam melafazkan ayat-ayat suci Al-Quran.

• Yang Amat Berhormat Menteri Besar membaca Surat Pengisytiharan Pertabalan.
• Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan membaca Surat Titah DiRaja.
• Seri Maharaja Lela mengadap mengangkat sembah dengan lafaz.

• Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan menerima Keris Kebesaran Negeri dan menghunusnya, kemudian disarungkan semula.

• Hadirin sekalian bangun berdiri dan seterusnya Seri Maharaja Lela menyebut "Daulat Tuanku" tiga kali berturut-turut dengan diikuti oleh para hadirin.

• Nobat dipalu lagu "Raja Bertabal". Meriam ditembak sebanyak 21 das bermula daripada seruan "Daulat Tuanku" yang pertama dan payung ubor-ubor dikembangkan.

• Selesai lagu nobat "Raja Bertabal", lagu "Allah Selamat Sultan" dinyanyikan oleh kumpulan koir.

• Yang Amat Berhormat Menteri Besar mempersembahkan ucapan "Surat Ucapan Taat Setia" dan tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan.

• Yang DiPertua Majlis Agama Islam dengan diapit oleh Kadi Besar dan Imam Besar Masjid Zahir melafazkan doa selamat.

• Seri Maharaja Lela mengadap memohon limpah perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan untuk menamatkan Istiadat.
• Nobat dipalu lagu Raja Berangkat" dan Duli-Duli Yang Maha Mulia berangkat turun dari Singgahsana meninggalkan majlis dengan diringi pengiring-pengiring DiRaja mengikut tertib dan disusuli oleh Wakil Raja-Raja dan Ketua-Ketua Negeri yang lain.

• Istiadat Pertabalan tamat.

Sumber: http://www.mykedah2.com

0 comments:

Post a Comment