Karya Air Mata Raja

Hayati penceritaan Tun Seri Lanang mengarang buku Sulalatus Salatin pada tahun 1612. Juga kisah hidup 23 pewaris Sultan Mahmud Shah Melaka dari tahun 1511 sehingga 2007. Sebuah naskhah terbitan DBP yang tiada yang lain seumpamanya.

Kesultanan Melayu

Sembilan buah negeri yang masih bersultan mencerminkan sebuah institusi yang terus kukuh. Sultan Melayu lambang keagungan Empayar Melayu Islam satu waktu dahulu. Sultan tonggak agama Islam buat orang Melayu.

Pelancaran Buku Air Mata Raja (Melaka)

Dilancarkan pada 17 Oktober 2011 oleh mantan Ketua Menteri Melaka YAB Datuk Seri Mohd Ali Rustam semasa berlangsungnya Seminar Melaka Merentas Zaman. Ia dianjurkan oleh IKSEP (institut Kefahaman Sejarah dan Patriotisme Malaysia) dengan kerjasama agensi kerajaan yang lain.

Pelancaran Buku Air Mata Raja (Singapura)

Dilancarkan pada 20 September 2013 oleh Encik Hawazi Daipi (Singapore Member of Parliament) di Restoran Mamanda, Sultan Gate, dalam suasana istana yang menarik, diisi dengan persembahan seni oleh para pelajar dari Politeknik Republik. Penghargaan buat Puan Masmunah dan Tuan Zulkarnine.

Anugerah Buku PNM-RTM

Buku 'Air Mata Raja' telah memenangi Anugerah Buku PNM-RTM (Perpustakaan Negara Malaysia dan Radio Televisyen Malaysia) pada 3 Oktober 2013. Ia telah disempurnakan oleh Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia di Angkasapuri, Kuala Lumpur.

ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Tuesday, September 2, 2008

Sempena Ramadan

Bila membicarakan tentang Kesultanan Melayu, kita tidak dapat pisahkan dengan Islam. Banyak bukti menunjukkan bahawa Islam menjadi tunjang penting menyatupadukan masyarakat Melayu ketika itu. Di antaranya:

Batu Bersurat Terengganu
Ia dianggarkan telah berusia lebih kurang 700 tahun ini merupakan batu bersurat yang mempunyai ukiran yang paling tua dan tulisan Jawi yang pertama ditemui di Malaysia. Ia membuktikan Islam telah sampai ke Terengganu sebelum 1326 atau 1386. Batu ini ditemui separuh tenggelam selepas banjir surut di tebing Sungai Tersat di Kuala Berang pada 1899. Isi teks batu bersurat ini mengenai undang-undang seorang raja. Catatan yang terkandung pada batu ini menyebut Islam sebagai agama rasmi dan menerangkan hukum-hukum Islam tentang maksiat dan segala kemungkaran. Catatan ini dipercayai sebagai bukti kedatangan agama Islam di Terengganu pada tahun 1303.

Pembunuhan Sultan Syahid di Melaka
Iskandar Shah mangkat pada tahun 1424
dan diwarisi oleh anaknya, Sri Maharaja, yang mengambil gelaran "Sultan Muhammad Shah" (1424-1444). Pada kemangkatannya dalam tahun 1444, beliau diganti oleh putera bongsunya, Raja Ibrahim. Raja Ibrahim yang kurang menitikberatkan kebajikan penduduk Islam kemudian dibunuh dan dimakamkan dengan gelaran "Sultan Abu Syahid".

Raja Kassim (kekanda Raja Ibrahim) menaiki tahta pada tahun 1445
dan memakai gelaran "Sultan Muzaffar Shah" (1445-1459). Baginda mengisytiharkan Islam sebagai agama rasmi negeri. Pendakwah-pendakwah Islam dihantar oleh Sultan ke seluruh Kepulauan Melayu seperti Jawa, Borneo dan Filipina. Sebahagian besar penduduk Asia Tenggara pada ketika itu beragama Hindu.

Sempena bulan Ramadan al-Mubarak, sama-samalah kita hayati beberapa riwayat:

Riwayat 1
Do'a malaikat Jibril menjelang Ramadhan " " Ya Allah tolong abaikan puasa ummat
Muhammad, apabila sebelum memasuki bulan Ramadhan dia tidak melakukan hal-hal yang
berikut:

* Tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada kedua orang tuanya (jika masih ada);
* Tidak berma'afan terlebih dahulu antara suami isteri;
* Tidak bermaafan terlebih dahulu dengan orang-orang sekitarnya.

Maka Rasulullah pun mengatakan Amiin sebanyak 3 kali.

Riwayat 2
Abu Sa'id Al Khudri ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Setiap hari siang dan malam pada bulan Ramadhan, Allah Tabaraka wa Taala membebaskan begitu banyak sekali roh daripada api neraka. Dan pada setiap orang Islam pada setiap hari siang dan malam doanya pasti akan diterima."

Riwayat 3
Ubadah Bin Somit ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda pada suatu hari ketika Ramadhan hampir menjelang: "Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, di mana Allah melimpah ruahkan di dalamnya dengan keberkatan, menurunkan rahmat, mengampuni dosa-dosa kamu, memakbulkan doa-doa kamu, melihat di atas perlumbaan kamu untuk memperolehi kebaikan yang besar dan berbangga mengenaimu di hadapan malaikat-malaikat. Maka tunjukkanlah kepada Allah Taala kebaikan dari kamu. Sesungguhnya orang yang bernasib malang ialah dia yang dinafikan daripada rahmat Allah pada bulan ini."

Riwayat 4
Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Terdapat tiga jenis orang yang doa mereka tidak ditolak; doa daripada orang yang berpuasa sehinggalah dia berbuka puasa; imam (penguasa) yang adil, dan orang yang dizalimi yang kerana doanya itu Allah mengangkatnya melepasi awan dan membuka untuknya pintu-pintu langit dan Allah berfirman: "Daku bersumpah demi kemuliaanKu, sesungguhnya Daku pasti menolongmu walaupun pada suatu masa nanti."

Riwayat 5
Ibn Umar ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya mengirim rahmat ke atas mereka yang memakan sahur."

Riwayat 6
Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa berbuka satu hari di siang hari bulan Ramadhan tanpa alasan yang wajar (disegi syariah) atau sakit yang kuat, tidak akan dapat menampung atau mengganti hari tersebut walaupun akan berpuasa sehingga ke akhir hayatnya."

Monday, August 25, 2008

Hikayat Raja Pasai


Hikayat Raja Pasai edisi Karya Agung Melayu ini berdasarkan edisi yg diusahakan oleh Dr Russell Jones yg diterbitkan oleh Penerbit Fajar Bakti (1987). Untuk edisi ini, pengkaji telah membandingkan teks asal yg didasarkan pada manuskrip Raffles Malay No.67 yg tersimpan di Perpustakaan Royal Asiatic Society, London dengan sebuah naskhah lain yg ditemui pada tahun 1986 di British Library, London.

Antara faktor yg dipetik drpd http://ms.wikipedia.org/wiki/Hikayat_Raja-raja_Pasai
Dalam Seminar Sejarah masuknya Islam ke Indonesia, pada 17-20 Mac 1963 A Hashmy mencatatkan ketetapan telah dibuat bahawa Islam masuk ke Indonesia oleh pedagang/ pendakwah dari Arab sekitar 7-8 masehi . Negara pertama memeluk Islam ialah Pasai / Pase / Aceh Utara kerana persamaan Mazhab Shafie.

Hikayat Raja-Raja Pasai terbahagi kepada 3 bahagian iaitu : Pembukaan dan Pengislaman Pasai, Pasai dibawah pemerintahan Sultan ahmad Perumudal perumal dan Peluasan Kekuasaan Majapahit.

Negeri Pasai / Samudera dan Perlak yang terletak di Sumatera Utara ( Acheh) digelar Serambi Mekah kerana orang yang hendak mengerjakan haji terlebih dahulu singgah di Acheh dan belajar di madrasah dan masjid di Acheh.

Sultan Malikul Salih memerintah Samudera-Pasai mulai 1267 . Nama lainya ialah Malik al Salih, Merah Silu, Merah Silau, Mara Silu, Muerah Silu. Kerajaan Samudera Pasai dikenali juga sebagai Samudera, Pasai dan Samudera Darussalam atau Sumatera. Lokasi kerajaan ini ialah di sekitar Kampung Geudong, Lhokseumawe, Aceh.

Ahli Pelayaran Maghribi bernama Ibnu Batutah sempat mengunjungi Pasai pada 1346 masehi. Ketika di China, Ibnu Batuta mendapati kapal Pasai berlabuh di China untuk membayar ufti.
Inskripsi Cina mencatatkan kerajaan Pasai menghantar ufti ke China setiap tahun.

Catatan Menarik
Pasai merupakan negeri pertama memerima agama Islam. Raja Ahmad dan Raja Muhammad hendak membuka negeri Samarlanga. Tun Seri Lanang (penulis Sejarah Melayu) pernah menjadi Raja di Samarlanga dari 1615-1659.

Saturday, August 9, 2008

Kesultanan Sulu

Kesultanan Sulu adalah sebuah kerajaan Muslim yang pernah suatu masa dahulu menguasai Laut Sulu di Filipina Selatan. Kerajaan ini didirikan pada tahun 1450. Ketika zaman kegemilangannya, negeri ini telah meluaskan sempadannya dari Mindanao sehingga ke negeri Sabah.

Sekitar 1450an, seorang Arab dari Johor
iaitu Shari'ful Hashem Syed Abu Bakr tiba di Sulu. Pada tahun 1457, beliau menubuhkan Kesultanan Sulu dan memakai gelaran "Paduka Maulana Mahasari Sharif Sultan Hashem Abu Bakr". Gelaran "Paduka" adalah gelaran tempatan yang bermaksud tuan manakala "Mahasari" bermaksud Yang DiPertuan.

Pada tahun 1703, Kesultanan Brunei
menganugerahkan Sabah Timur kepada Kesultanan Sulu di atas bantuan mereka menumpaskan pemberontakan di Brunei. Pada tahun yang sama, Kesultanan Sulu menganugerahkan Pulau Palawan kepada Sultan Qudarat dari Kesultanan Maguindanao sebagai hadiah perkahwinan Sultan Qudarat dengan puteri Sulu dan juga sebagai hadiah persekutuan Maguindanao dengan Sulu. Sultan Qudarat kemudiannya menyerahkan Palawan kepada Sepanyol. (rujuk entri bawah).

Kesultanan Maguindanao

Kesultanan Maguindanao diasaskan sekitar 1205. Ibu negerinya adalah Marawi. Manakala bahasa rasmi adalah Bahasa Arab. Bahasa lain yang menjadi pertuturan rakyatnya pula adalah Maguindanao, Malay, Maranao, Manobo dan Tagalog. Agama rasmi pula, Islam. Pada tahun 1616, ia di bawah pemerintahan Sultan Dipatuan Kudarat.

Kesultanan Muslim Filipino ini memerintah sebahagian pulau-pulau Mindanao di Selatan Filipina. Mengikut sumber, pengaruhnya bermula dari Semenanjung Zamboanga sehingga ke Teluk Sarangani. Ketika kemuncak pemerintahan kesultanan ini, ia juga merangkumi seluruh pulau Mindanao dan juga pulau-pulau berdekatan.

Shariff Mohammed Kabungsuwan yang berasal dari Johor memperkenalkan Islam di kawasan ini pada penghujung abad ke-12. Dia kemudiannya berkahwin dengan seorang puteri berbangsa tempatan dan mewujudkan Kesultanan Maguindanao (sekitar 1203-05). Pusat pemerintahan adalah di Lembah Cotabato (lihat peta).

Sultan yang paling terkenal adalah Muhammad Dipatuan Qudratullah Nasiruddin, lebih dikenali sebagai Qudarat. Cucu baginda, Abd al-Rahman meningkatkan lagi pengaruh dan kuasa Kesultanan tersebut. Setelah kedatangan dan penaklukan Sepanyol (Spain), dan kawasan ini menjadi koloni negara tersebut sekitar 1800an, kesultanan tersebut lenyap begitu saja.

Tidak mustahil seandainya masih ada 'Raja Menangis' iaitu pewaris sebenar keturunan tersebut tetapi pengaruh mereka langsung sudah tiada...

Sunday, August 3, 2008

Nostalgia Zaman Jepun

Gabenor Jepun memeriksa perbarisan kehormat di Istana, Klang (1942)

Tentera Jepun bersama Sultan Badlishah (Kedah) di hadapan Balai Besar; tempat berlangsung adat-istiadat di Alor Star (1941-45).

Sultan Musa Ghiathuddin Riayat Shah (Selangor) dan keluarga baginda bersama tentera Jepun (1942-45)

Pada awal pendudukan Jepun, golongan istana tidak mendapat keistimewaan sepertimana pada zaman British. Namun begitu, Sultan dan Raja kembali menikmati hak-hak mereka menjelang 1943. Rakyat jelata terus dihimpit kesulitan kerana kekurangan makanan dan ancaman kekejaman Jepun. Namun pada 1943, diadakan juga pertandingan bolasepak peringkat Daerah Kulim yang dihadiri oleh Tunku Abdul Rahman (ketika itu Pegawai Daerah).

Kredit foto : MALAYSIA - A Pictorial History 1400-2004
Penerbit : Editions Didier Millet dgn kerjasama Arkib Negara Malaysia & The New Straits Times Press (2005)
Penulis : Wendy Khadijah Moore

Wednesday, July 23, 2008

Tuhfat Al-Nafis

Mungkin tidak ramai di antara kita yg tahu tentang kewujudan sebuah buku bertajuk TUHFAT AL-NAFIS karya Raja Haji Ahmad dan Raja Ali Haji dengan Virgina Matheson sebagai Editor.

Tuhfat al-Nafis merupakan kitab sejarah yg terpenting dalam kesusasteraan Melayu selepas SEJARAH MELAYU iaitu karya Tun Seri Lanang, seorang Bendahara di Johor sekitar tahun 1612. Ketika itu, Johor diperintah oleh Sultan Alauddin Riayat Shah III (1597-1615).

Tuhfat al-Nafis membawa pembacanya mengenali tentang kebudayaan, ketinggian, dan kemakmuran perdagangan kerajaan Johor. Ia juga memaparkan kisah tentang pengalaman penduduk di sekitar Gugusan Pulau-pulau Melayu sebelum dan sesudah kedatangan kuasa-kuasa Eropah.

Penulisan karya agung ini telah dimulakan oleh Raja Haji Ahmad dan diteruskan hingga selesai oleh anaknya Raja Ali Haji. Memandangkan kedudukan mereka yg istimewa di kalangan ahli-ahli istana sezaman, kedua-dua tokoh tersebut dapat menggabungkan bakat dan pengalaman masing-masing untuk melahirkan satu sejarah bangsa Melayu yg unik.

Antara bab menarik di dalam buku ini ialah:
~ Raja-raja Melayu Pertama dan Silsilah Melayu
~ Raja-raja Siak dan Silsilah Mereka
~ Silsilah Bugis
~ Raja Kecik
~ Bugis di Mempawah
~ Perbalahan di antara Perak dan Selangor
~ Belanda Menetap di Tanjung Pinang
~ Tengku Husin menjadi Sultan Singapura

Saturday, July 5, 2008

Jalan Penarikan


JEMPOL 4 Julai - Jalan Penarikan mungkin antara lokasi pelancongan bersejarah yang tidak terkenal jika hendak dibandingkan dengan mana-mana tempat sejarah yang lain di negara ini. Disebabkan kedudukannya jauh di pedalaman daerah ini, tidak ramai menyedari bahawa Jalan Penarikan merupakan laluan utama pedagang ketika zaman Kerajaan Langkasuka.

Kerajaan tersebut yang berkembang pada abad pertama masihi mempunyai kaitan rapat dengan Laluan Sutera yang merentasi pantai barat Semenanjung ke pantai timur satu ketika dahulu. Pengarah Muzium Negeri, Drs. Shamsuddin Ahmad berkata, Jalan Penarikan merupakan laluan darat tertua yang diketahui di Semenanjung dan sebahagiannya terletak di antara Sungai Jempol dan Sungai Serting.

Beliau menyifatkan kawasan yang dikenali sebagai Londar Siam ini merupakan khazanah sejarah dan warisan bangsa yang perlu dipelihara supaya ia tidak luput dek perkembangan zaman.
''Sejarah mengenai Jalan Penarikan ini tidak dapat diketahui secara tepat memandangkan tiada catatan khusus mengenainya.

''Bagaimanapun jalan ini mula digunakan pedagang dari kerajaan pantai timur Sumatera dan pantai barat Semenanjung untuk ke pantai timur negara ini. Ia juga lokasi terpenting sebagai jalan pergerakan ketenteraan dan pengembangan agama Buddha pada zaman kerajaan Langkasuka dan kerajaan Srivijaya pada abad keenam hingga ke-13 Masihi," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Difahamkan, pada abad ke-13 dan ke-14, pedagang yang mahu ke Jalan Penarikan perlu mudik ke Sungai Muar (jika dari pantai barat), kemudian Sungai Jempol hingga ke pangkalan di Kampung Bukit Laka, Bahau. Dari pangkalan berkenaan, perahu atau jong iaitu kapal besar akan ditarik melintasi darat ke pangkalan yang terletak di Sungai Serting.

''Dari situ, jong ini akan menghilir Sungai Serting untuk masuk ke Sungai Bera dan akhir sekali ke Sungai Pahang untuk sampai ke kuala iaitu di bandar Pekan, Pahang ketika ini," ujarnya.
Kawasan ini juga pernah dijadikan sebagai laluan pemerintah kerajaan Melaka terakhir Sultan Mahmud Shah untuk berundur ke Pahang setelah diserang Portugis.

Katanya, terdapat penemuan menakjubkan di kawasan itu apabila tapak surau dan bekas kubur lama ditemui di beberapa tempat sekali gus menjadi bukti kedatangan pedagang di sepanjang jalan tersebut. ''Kita juga menemui beberapa bukti kedatangan pedagang ke sini berdasarkan penemuan seperti tapak surau dan bekas makam yang batu nisannya mempunyai ciri dan pengaruh Sumatera di beberapa buah tempat di sekitar kawasan ini.

''Kita tidak menemui artifak namun beberapa batu yang dipercayai digunakan sebagai tempat mengambil wuduk dan pengalas tiang pelantar surau, menyokong fakta yang tapak berkenaan merupakan bekas surau yang dibina sekitar tahun 1700 Masihi," ujarnya. Menurut Drs. Shamsuddin, Jalan Penarikan mula tidak dijalankan apabila penjajah Inggeris membina landasan kereta api menghubungkan Bahau dengan Kuala Lipis dan beberapa kawasan pantai timur Semenanjung Tanah Melayu.

Wednesday, June 11, 2008

SULTAN SULTAN MELAYU YANG TERUS HIDUP

Adapun Sultan Melayu itu semuanya berumpun, bersarang, berkerabat, bersaudara dan berilmu serta bergurukan adat yang sama sejak ratusan tahun yang lalu. Inilah hakikat yang tiada sesiapa mampu menyangkalnya.

Apabila British melepaskan pegangan ke atas Malaya pada tahun 1957, kedaulatan
negara dipulangkan secara asasnya kepada Raja Raja Melayu (kerana Tanah Melayu di rampas daripada orang Melayu dan Raja Melayu, bukan daripada tangan orang Cina/India dalam tahun 1511) tetapi pada hakikatnya Malaya dilepaskan kepada kerajaan sivil demokrasi berpelembagaan.

Telah ditulis oleh pemerhati asing bahawa sistem Raja Melayu di Tanah Melayu dalam sistem demokrasi adalah sistem yang paling unik di seluruh dunia. Ini bukanlah bermakna sistem Raja Melayu berbeza daripada aspek Ratu England bertakhta di England itu. Ia tidak seperti itu.


Ia adalah berbeza kerana pendaulatan dan petuanan Sultan Melayu dihulurkan dan disembahkan oleh keturunan wangsa dan bangsa Melayu, sumpah taat setianya orang Melayu kepada Raja mereka, kehadiran Melayu dalam membela Istana Raja, membela agama Rajanya juga, matinya
Melayu dalam membela Istana Raja, doa Melayu untuk Raja mereka setiap Jumaat sejak waktu kuno sehingga kini, adat Sultan adalah adat Melayu (bukan adat Cina atau India), dan bahasa Istana adalah bahasa Melayu (bukan bahasa Malaysia) - terlalu besar cerita ini dan banyak lagi yang hendak serta wajar diperkatakan...terlalu agung kisah yang masih tersirat...terlalu hebat falsafahnya dan demikianlah kehendaknya.

Berapakah sebenarnya Sultan Melayu atau berketurunan Melayu di RANTAU INI, samada yang hidup bergelar Raja atau Raja yang menangis (tidak ber-istana, dan tidak dihiraukan oleh Kerajaan moden ala Barat) dan yang berkuasa sebagai ketua Kerajaan?

9 Raja Melayu (di sembilan Negeri Melayu, States of Malaya)
Sultan Brunei
Sultan Deli (Medan, utara Sumatera)
Sultan Pontianak (Borneo)
Sultan Ternate (Pulau Moluccas)
*Sultan Langkat - berdaulat kembali selepas Suharto gugur ?
*Sultan Palembang - berdaulat kembali selepas Suharto gugur?
*Sultan Serdang - berdaulat kembali selepas Suharto gugur?
Sultan Kutai Kerta (Borneo)
Sultan Tidore (sebelah wilayah Sultan Ternate di Moluccas)
Sultan Maguindanao (Filipina)
Sultan Sulu (Filipina)

(*terdapat perbezaan pendapat samada mereka berketurunan Melayu atau Jawa, akibat kepercayaan dsbnya)

Inilah Raja Raja Nusantara yang telah wujud sejak ratusan tahun...akan wujudkah mereka lagi ratusan tahun yang akan datang? Barangkali tiada sesiapa dapat menjawabnya...


Monday, June 9, 2008

Pokok Melaka

Pokok Melaka di Tasik Pawa Janggi (Beting Beras Basah) di Bagan Datoh, Teluk Intan, Perak. Pokok ini sangat ganjil kerana ia satu-satunya pokok yang boleh hidup selama berpuluh-puluh tahun di dalam air. Jaraknya dengan pantai adalah 200 meter.

Sultan Muzaffar Shah, putera Sultan Mahmud Shah dengan Tun Kecil anak Tun Bendahara mula-mula mendarat di Beting Beras Basah ketika dilantik sebagai Sultan Pertama di negeri Perak (1528-1549).

Ketika air surut. Kelihatan akar-akar pokok. Ia tidak dapat dihampiri kerana tanah berselut yang sangat lembut sehinggakan sesiapa yang cuba berjalan ke perdu pokok akan terbenam.

Keadaan pokok ketika air pasang.

Sunday, June 1, 2008

Siapakah pelindung Melayu di penghujung jalan?

Bukankah AlQuran dan Zikirullah itu pendinding hakiki dan sebenar rakyat Melayu Melaka sehingga bumi digoncangkan nanti? Apakah janji Allah kepada [orang Melayu]?


Di zaman Melayu diganyang di tanah sendiri, apakah mungkin Ayat Allah SWT memberi sedikit gambaran sebegini?

"Pada hari ini tidak ada sesiapa pun dari umat manusia yang dapat
mengalahkan kamu, dan sesungguhnya aku adalah pelindung dan
penolong kamu". 48 Al Anfaal

"Dan janganlah engkau menurut kehendak orang-orang kafir dan
orang-orang munafik dan janganlah engkau hiraukan usikan dan
celaan mereka, serta berserahlah kepada Allah (memelihara
keadaanmu); dan cukuplah Allah menjadi Pelindung (yang
menyelamatkanmu)" 48 Al-Ahzaab (Ed, seram bulu roma..)

Jadi apakah harus di buat?

Allah berjanji menjadi Pelindung:--


"...dan mereka pula tidak akan memperoleh sesiapa pun - yang lain
dari Allah - yang akan menjadi pelindung atau penolong bagi
mereka. 173 An Nisaa

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Patutkah aku mengambil
(memilih) pelindung yang lain dari Allah yang menciptakan langit
dan bumi.." 14 Al An'aam

"Sesungguhnya pelindungku ialah Allah yang telah menurunkan
kitab (Al-Quran), dan Dia lah jua yang menolong dan memelihara
orang-orang yang berbuat kebaikan" 196 Al Araaf

"maka ketahuilah bahawasanya Allah Pelindung kamu; Dia lah
sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Penolong (yang
menyelamatkan dan menjayakan kamu)". 40 Al-Anfaal

"Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada
Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal" 51
At-Taubah

"Dia lah Pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian sifatNya) Dia
lah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi
pertolongan" 78 Al-Hajj

"..dan Allah ialah Pelindung yang mentadbirkan keadaan kamu, dan
Ia Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana" 2 At-Tahriim

Wednesday, May 14, 2008

Makna Setia Melayu

Tiadalah setia itu sekuat setia Melayu kepada Rajanya - Sir Hugh Low, England

Betapa lantang aku mengeluh
betapa kuat aku teriakkan

betapa gamat aku gempitakan
Seperigi airmata aku tangiskan

setelaga ungkapan penawar sengsara
namun...
manakan sama
manakan bisa dibandingkan
dengan keluh kesah Rajaku
Raja Melayu
di Tanah Melayu...


Tanah tumpah darah keturunanku
di kala gempak gempita ganyang Melayu
berlaku di depan mata anak-biniku
di tepi tepian Istana Tuanku
tercemarlah kata kesat mereka itu
Cis! Kenapakah semua ini boleh berlaku?
Adakah benar daulatku?
Aku Melayu yang terpaku...

walhal dulu, aku jugalah Melayu
yang punya selaut bangga
menentang penjajah yang bermaharajalela
demi menegakkan kedaulatan bangsa...

Akan patik gadaikan
nyawa dan raga

jiwa dan tenaga
tanda taat setia seorang Melayu
yang dahagakan perlindungan Tuanku
dalam arus tak menentu

terumbang ambing ombak menderu
Bukan lagi Melaka alah ditangan seteru
Malah akan dihumbanlah segala rumpunku
dan punahlah segala warisan yang terbeku
Oh Tanah Melayu
Oh Negeri Melayu...

Adalah patik yang lemah bermohon
dibukalah pintu istana Rajaku
dikerahlah segala yang ada
agar penawar menusuk ke kalbuku
diberikan seteguk air sakti

dihulur setitis embun pagi
dibekal sejalur sinar jauhari
agar lenyap rasa bisa di hujung hati
melihat terkubur Melayu jati
fakirlah patik sekalian ini
di tanah tumpah darah sendiri...


Friday, May 9, 2008

Istana Jugra, Selangor D.E.









Jugra adalah Bandar DiRaja Selangor ketika Sultan Abdul Samad membina Istana Jugra dan bersemayam di sana pada 1875. Kedudukan yg agak strategik di atas bukit membuatkan ia mudah didatangi dari arah Selat Melaka. Ia juga dilindungi oleh Bukit Jugra. Bahagian depan Istana (foto kiri) yg tersergam indah. Pemandangan laluan berlanskap indah dan dijagai rapi sehingga kini.









Bukit Jugra pernah menjadi pusat pemerintahan British di Selangor sebelum berpindah ke Klang dan sedekad kemudian ke Kuala Lumpur. Sebahagian bangunan beratap genting yg menempatkan mahkamah, penjara dan bilik beradu sultan serta dua orang permaisuri baginda (di kiri dan kanan bilik). Baginda seorang yg amat berpegang teguh pada ajaran Islam. Pintu gerbang (foto kanan) diberi nama Pintu Kecelakaan kerana ia merupakan laluan utama pesalah yg akan dibicara dan menerima hukuman.









Tangga batu menuju ke kawasan istana yg masih utuh. Cuma sesetengah bangunan kayunya yg memerlukan pembaikan dan pemulihan. Sultan Abdul Samad terus bersemayam di istana ini sehingga mangkat pada 1898. Sultan Alauddin Sulaiman Shah (Sultan Sulaiman) ditabalkan di sini. Majlis pertabalan tersebut merupakan majlis utama paling akhir diadakan.









Perigi berbentuk segiempat (foto kiri) memang unik. Bila paras airnya meningkat, itu menandakan air pasang di laut. Jika paras airnya rendah, menunjukkan air laut surut. Manakala perigi berbentuk heksagon (foto kanan) dikatakan laluan rahsia ke terowong bawah tanah yg mungkin telah digunakan untuk bersembunyi atau melarikan diri daripada ancaman musuh. Ia mungkin juga telah menjadi tempat penyimpanan senjata. Perigi ini telah ditimbus bagi mengelakkan kejadian yg tidak diingini.