KUALA LUMPUR 9 Julai — Program biasiswa Yang di-Pertuan Agong tahun ini menawarkan 12 calon cemerlang mengikuti pengajian bidang sains dan teknoloji, ekonomi dan undang-undang pada peringkat sarjana dan kedoktoran (PhD). Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkata, tawaran biasiswa itu masing-masing membabitkan enam pada peringkat sarjana dan PhD.
Dalam kenyataan di sini, JPA berkata pemohon mesti seorang warga negara dan berumur tidak lebih 30 tahun pada tahun pengajian dan memiliki ijazah sarjana muda atau sarjana yang diktiraf oleh kerajaan. Pemohon perlu mempunyai pencapaian Purata Mata Gred Kumulatif (CGPA) minium 3.75 atau kelas pertama atau setaraf dengannya. Permohonan untuk biasiswa berkenaan dibuka mulai 11 hingga 18 Julai ini dan ia boleh dibuat secara talian di portal www.jpa.gov.my atau http://esila.jpa.gov.my.
Maklumat lanjut juga boleh diperoleh dengan melayari portal tersebut atau menghubungi hotline 03-88853436/3892/3564 atau mengunjungi kaunter Bahagian Pembangunan Modal Insan di Aras 5, JPA dari pukul 8 pagi hingga 1 tengah hari dan 2 hingga 5 petang. Biasiswa yang diperkenalkan pada 2006 khusus kepada calon yang memiliki prestasi akademik dan bukan akademik (kokurikulum) cemerlang untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dan PhD di dalam atau luar negara.
Calon yang layak dan disenarai pendek akan melalui proses pemilihan termasuk temu duga. JPA turut menyatakan penerima biasiswa berkenaan terikat untuk berkhidmat di Malaysia untuk tempoh tidak kurang dari lima tahun. Pakej biasiswa itu menawarkan kadar pembiayaan yang lebih tinggi berbanding biasiswa Persekutuan. Misalnya, kadar bulanan Elaun Sara Hidup (ESH) bagi biasiswa berkenaan di New Zealand bernilai NZ$2,174 (RM5,420) berbanding biasiswa Persekutuan NZ$1,449 (RM3,612) manakala di Australia bernilai AUD$2,070 (RM6,662) berbanding biasiswa Persekutuan bernilai AUD$1,380 (RM4,430). - BERNAMA
0 comments:
Post a Comment