Sejarah Melayu ditulis di Melaka dan dibawa bersama semasa Sultan Mahmud Syah berundur dari Melaka pada tahun 1511. Naskhah asal ini kemudian dibawa ke Johor dari Kampar, Sumatera pada tahun 1528. Teks yang turun masa kini merupakan teks yang disalin dipercayai berasal sejak tahun 1356, dan disunting semula pada 1612. Salinan manuskrip yang ada bertarikh 1808.
Portugis merampas naskhah Sejarah Melayu pada tahun 1536 semasa menyerang Johor Lama. Naskhah ini kemudian dibawa balik ke Johor oleh Orang Kaya Suguh. Terdapat perselisihan pendapat berkenaan Goa. Pendapat pertama merujuk kepada Goa yang terdapat di India, manakala pendapat kedua merujuk pada sebuah tempat bernama Gowa yang terletak di Sulawesi.
Lihat perbezaan ejaan keduanya. Pendapat yang kedua ternyata lebih kuat atas alasan sekiranya Portugis mengambil salinan Sejarah Melayu dan dibawa ke Goa, India, pastinya Sejarah Melayu akan dibawa terus ke Eropah sebagai harta rampasan. Terdapat sekurang-kurangnya 29 versi tetapi versi yang paling masyhur adalah versi Shellabear.
Menurut pengenalan Sejarah Melayu naskah Shellabear, Yang diPertuan Raja di Hilir Sultan Abdullah Mu'ayat Syah ibni'l Sultan Abdul Jalil Syah telah mengutuskan Seri Nara Wangsa Tun Bambang untuk memerintah Bendahara Paduka Raja Tun Muhammad@Mahmud (Tun Sri Lanang) pada hari Khamis, 12 Rabiul Awal 1021 bersamaan 13 Mei 1612 agar menyunting salinan Sejarah Melayu yang dibawa oleh Orang Kaya Suguh dari Goa/Gowa.
Ketika itu Sultan Johor Lama, Sultan Alauddin Riayat Syah ibni Sultan Abdul Jalil Syah telah ditahan di Istana Raja Acheh, Raja Iskandar Muda. Sejarah Melayu Sulalatus Salatin dianggap penting kerana ia memberikan adat istiadat kerajaan, susunan raja Melayu dan sejarah kerajaan Melayu dan boleh dikatakan menyerupai konsep Sejarah Sahih China, di mana pada setiap pertukaran Dinasti di China, sejarah Dinasti sebelumnya akan ditulis dan disimpan di arkib negara tersebut.
0 comments:
Post a Comment