Kesultanan Negeri Pahang adalah daripada keturunan Raja-Raja dan Bendahara Melaka yang merupakan keturunan daripada Sang Nila Utama dengan puteri Demang Lebar Daun dari Palembang iaitu Raden Ratna Cendera Puri. Kesultanan Negeri Pahang telah wujud semenjak zaman Melaka apabila Sultan Muhammad Shah iaitu putera kepada Sultan Mansur Shah dengan Puteri Onang Sari yang dilantik menjadi sultan yang pertama bagi Negeri Pahang.
Sebelum itu, Pahang telah diperintahkan oleh Kerajaan Siam. Pada tahun 1614, berlaku peristiwa di mana perebutan kuasa antara Sultan Abdul Ghafur dengan anggota keluarganya dan berakhir dengan satu pembunuhan di mana Sultan Abdul Ghafur dan Raja Muda Abdullah terbunuh. Bagi mengekalkan pemerintahan Negeri Pahang, Sultan Ahmad telah dilantik Sultan Ahmadsebagai Sultan di Pahang. Pada tahun 1617, Kerajaan Acheh telah menyerang Pahang di mana Sultan Ahmad bersama anggota keluarganya telah dibawa ke Acheh. Dengan ini, berakhirlah era pemerintahan Kesultanan Pahang yang berasal daripada zuriat Sultan Melaka secara langsung.
Seterusnya, pemerintahan Negeri Pahang telah diletakkan di bawah Kesultanan yang berpusat di Johor. Di bawah kesultanan tersebut, pemerintahan Negeri Pahang diletakkan di bawah pemerintahan seorang Bendahara. Keadaan ini berterusan sehinggalah kepada pemerintahan Sultan Mahmud Shah II. Namun demikian, pemerintahan Sultan Mahmud Shah II (Marhum mangkat dijulang) tidak lama, di mana Baginda telah terbunuh dalam peristiwa menuntut bela oleh Megat Seri Rama (Laksamana Bentan) di atas kematian isterinya yang diriwayatkan sebagai di bawah titah Sultan Mahmud Shah.
Oleh kerana Baginda tidak meninggalkan zuriat, maka pemerintahan telah berpindah kepada Bendahara pada masa itu iaitu Bendahara Paduka Raja, Tun Abdul Jalil anak Bendahara Seri Maharaja Tun Habib Abdul Majid (Marhum Padang Saujana). Tun Abdul Jalil (Marhum mangkat di Kuala Pahang) menaiki takhta kerajaan dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV. Seorang putera Baginda bernama Tun Abbas dijadikan Bendahara yang memerintah di Pahang. Seorang lagi putera Baginda, Tengku Sulaiman menggantikan Baginda sebagai Sultan bagi Kerajaan Johor-Pahang-Riau, dengan gelaran Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Dari zuriat Tun Abbas inilah lahirnya pemerintahan negeri Pahang daripada kalangan Bendahara sehingga pemerintahan Bendahara Siwa Raja, Wan Ahmad.
Pada tahun 1824, pihak Belanda telah mengikat perjanjian dengan Inggeris yang mengakibatkan pemisahan pemerintahan di antara Riau dengan Johor dan Pahang. Setelah kuasa Raja di Riau dirampas oleh Belanda, maka pemerintah Pahang dan Johor telah mengisytiharkan pemerintahan sendiri dengan memakai gelaran Sultan. Kesultanan Pahang yang ada pada hari ini telah bermula dengan Sultan Ahmad Al-Mu’adzam Shah pada tahun 1882 dan dari zuriat Baginda, kekalnya Raja Pemerintah Negeri Pahang hingga ke hari ini.
sumber : hazaldn.com
0 comments:
Post a Comment