ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Tuesday, July 9, 2013

Mengapai Taqwa Di Persinggahan Ramadhan

Sepertimana masa yang begitu pantas berlalu, begitu juga dengan bulan Ramadhan sudah pun sampai ke pertengahan perjalanannya.  Bulan yang penuh dengan keberkatan, kelebihan, keampunan dan juga keistimewaan ini sedikit masa lagi akan meninggalkan kita dengan pelbagai pertanyaan di manakah letaknya kedudukan puasa yang kita lalui, mantap atau lemah iman yang kita miliki, sejauh manakah keprihatinan kita terhadap masyarakat yang kita sayangi dan juga di tahap manakah tingkatan taqwa kita ini.
Sebenarnya puasa yang bersungguh-sungguh sehingga ke tahap khusus-ul-khusus sepertimana yang diungkapkan oleh Imam al Ghazali akan melahirkan benih taqwa dan kasih sayang kepada sesama manusia dan juga berupaya untuk mengendalikan sifat mazmumah seperti sombong, rakus, tamak dan bangga diri serta mampu pula untuk menjauhkan diri dari segala sifat kehaiwanan.
Intipati pendidikan Ilahi  melalui  ibadah  puasa ini juga ialah untuk menanam dan mengukuhkan kesedaran yang sedalam-dalamnya akan kehadiran (omnipresence) Allah SWT di dalam setiap saat kehidupan manusia. Kesedaran inilah yang melandasi ketaqwaan atau merupakan  hakikat  ketaqwaan  itu,  yang mana ianya turut membimbingseseorang  ke  arah  tingkah  laku  yang  baik dan terpuji.  Maka menerusi ibadah puasa selama sebulan ini diharapkan akan terbina dan tampil seorang yang berbudi pekerti  luhur dan berakhlaq karimah serta menjadi seorang yang mantap taqwanya sesuai dengan natijah puasa itu sendiri iaitu ‘mudah-mudahan kamu bertaqwa.' 
Sehubungan dengan itu juga al-Quran menyatakan bahawa tiada jaminan mereka yang berpuasa pasti akan mencapai ketaqwaan. Ianya adalah sebuah harapan yang menagih kesungguhan agar segala syarat dan peraturannya dipenuhi. Maka dengan itu, perlumbaan adalah terbuka bagi sesiapa sahaja untuk mencapai taqwa.

Jika dilihat dari segi sejarah dan tamadun Islam, kemunculan manusia yang bertaqwa ini datang dari pelbagai latarbelakang.  Bagi mereka yang sudah sekian lama terkurung dalam cara hidup jahiliyah yang mengongkong, tiba-tiba diberi peluang terbuka untuk sama-sama mencapai kemuliaan diri dengan kehadiran Islam, maka peluang ini diterima dan digarap dengan sebaik-baiknya.  Maka muncullah peribadi-peribadi unggul seperti Bilal ibn Rabah yang cuma seorang hamba, Ammar ibn Yasir dan Zaid ibn Harithah yang telah dimerdekakan oleh Rasulullah SAW untuk menjadi pembantu baginda.
Begitulah juga halnya ketika Islam tiba di alam Melayu sekitar abad ke-13, pandangan hidup (worldview) Islam inilah yang memikat umat Melayu sebagai jalan melepaskan diri dari kongkongan cara hidup yang menindas dan zalim kepada ruang lingkup kehidupan yang bebas dan aman di bawah naungan taqwa.
Taqwa adalah nilai Ilahiyyah yang melebihi pangkat dan darjat. Sehubungan dengan ini, al-Quran turut menyatakan bahawa tidak akan ada kemuliaan buat mereka yang telah dipandang sepi oleh Tuhannya, walaupun mereka begitu disanjung orang dan memiliki  sejumlah gelaran duniawi yang tidak punya jaminan di akhirat.  Ini adalah kerana mereka telah tertipu dengan nilai-nilai palsu duniawi dan meletakkan nafsu sebagai asas untuk menjalani kehidupan ini.
Maka dalam hal ini, puasa amat berperanan untuk membentuk insan yang mulia dengan melihat dunia ini sebagai bekalan untuk kehidupan yang lebih utama di akhirat, dan bukannnya matlamat yang perlu dilayani segala keperluannnya.  Untuk itu, taqwa adalah asasnya dan mereka yang berjaya adalah mereka yang benar dan sah taqwanya sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT bahawa semulia-mulia di kalangan manusia itu ialah mereka yang paling bertaqwa.
Lanjutan daripada itu juga, mereka yang berjaya ialah mereka yang benar-benar menghayati Ramadhan seutuhnya sebagai satu ibadah yang selengkapnya, iaitu yang mampu membawa kesan taqwa yang terpancar menerusi akhlak mulia dan berupaya pula mengawal nafsu yang sering memburu kelazatan jasmaniah.
Bagi mereka yang berusaha keras dan bersungguh-sungguh menjaga dan memelihara puasanya, maka puasanya merupakan pembersihan rohaniah dari daki cintakan dunia (hubbud-dunya).  Puasanya juga berupaya untuk mendidiknya daripada menjadi rakus terhadap dunia seperti gila kuasa dan pangkat, bakhil, gelojoh, lupa diri, sombong, tamak,  pembazir dan suka bermewah-mewah.
Sepertimana puasa itu dapat mendidik supaya lebih bertanggungjawab dan mengangkat  kemuliaan diri, maka puasa itu juga mengubah cita rasa, budaya dan minda; dengan  menguatkan kepedulian terhadap masyarakat menerusi iltizam dan pengorbanan untuk manusia lain melalui amalan infaq atau sedeqah.  Banyak ayat al Quran yang menyentuh mengenai budaya infaq ini yang mana ianya mempunyai kaitan yang sangat erat dengan taqwa.
Infaq memerlukan persediaan minda yang bukan sedikit dan amalan infaq juga tidak dapat dibudayakan tanpa pemerkasaan nilai-nilai taqwa di dalam diri seseorang Muslim. Oleh yang demikian, amalan infaq itu sekaligus merupakan persediaan budaya, minda dan rohaniah.  Iaitu keinsafan kepada hakikat-hakikat abadi yang lebih agung dan suci, yang pastinya melebihi kesibukan dan hal-hal remeh keduniaan.
Sepertimana halnya solat yang difardhukan kepada setiap orang Islam adalah merupakan perhubungan tetap antara hamba dengan Tuhannya, dan juga mi`raj orang-orang yang beriman.  Sekiranya longgar perhubungan dengan Tuhan, maka longgarlah hubungan dan ikatannya dengan alam Ketuhanan dan alam kemanusiaan ini. Maka solat sekaligus merupakan tarbiyyah dan ibadah peribadi dan kemasyarakatan yang memberi bentuk dan watak rabbani kepada pandangan hidup seorang Muslim beserta dengan perasaan dan tingkahlakunya sama ada terhadap diri sendiri ataupun kepada masyarakat.
Begitulah juga halnya dengan puasa.  Dengan sempurnanya amalan puasa, maka amalan infaq akan membudaya tanpa dipaksa-paksa dan dibuat-buat. Seseorang Muslim itu akan mengakuri kurniaan rezeki dari Ilahi, bahawa Tuhan adalah Pemilik Mutlak dan bahawa manusia hanyalah pemegang amanah yang mentadbirnya.  Memang tidak dinafikan bahawa rasa cintakan dunia merupakan suatu perasaan yang sangat tajam dan mendalam dan sering mendesak dalam kehidupan ini. Memang manusia disuntik dengan rasa pelbagai macam keinginan terhadap dunia. Maka untuk mengawalnya, manusia perlu dididik tentang wujudnya sesuatu yang lebih baik dari kesemua rasa kecintaan dunia, iaitu apa yang disediakan di akhirat itu adalah lebih sempurna dan abadi.
Pengalaman hidup telah membuktikan bahawa gara-gara berebut hartalah, maka manusia sanggup berbunuhan dan berpecah belah.  Oleh yang demikian, lantaran pelbagai cabaran inilah maka tidak mudah untuk manusia melakukan infaq secara rela dan insaf.  Kejayaan melawan sifat kikir dan bakhil ini merupakan kejayaan yang amat bererti pada menjalani ibadah puasa ini. Malah, pahlawan Muslim yang sejati adalah mereka yang berjaya mengawal runtunan nafsu dan berinfaq secara ikhlas ketika senang ataupun susah.  Inilah yang diterangkan oleh al Quran akan segolongan manusia yang dipuji oleh Allah SWT. kerana subur budaya infaqnya iaitu mereka yang membelanjakan harta mereka pada siang dan malam harinya secara sembunyi atau secara terbuka.
Inilah antara pengajaran yang dibawa oleh ibadah puasa, iaitu manusia dihargai dalam  pandangan Allah SWT. menurut amal perbuatan berdasarkan taqwanya, iaitu suatu  penegasan tentang pencapaian amalan yang ikhlas dan mulia.  Iaitu dalam pengertian bahwa penghargaan kepada seseorang didasarkan kepada apa yang dapat dibuat dan dicapai oleh  seseorang.
Malah Rasulullah SAW pernah menyatakan bahawa perbuatan makruf dapat menghakiskan kejahatan, sedekah atau infaq yang disumbangkan secara sembunyi boleh memadam murka Tuhan dan menghubungkan silatur rahimboleh memanjangkan umur.
Atas dasar keinsafan itu, hendaknya kita tidak menjalani hidup ini dengan santai dan anganan mudah, melainkan dengan penuh kesungguhan dan keprihatinan. Sebab apapun yang kita perbuat akan kita dipertanggungjawabkan di hadapan Khaliq suatu masa nanti.
Ditulis oleh Abu Bakar Bin Yang, http://www.ikim.gov.my

0 comments:

Post a Comment