SEIRING dengan kedatangan Ramadan al-Mubarak, salah satu lagi kewajipan umat Islam adalah mengeluarkan zakat. Pensyariatannya telah ditetapkan oleh Islam sejak diutuskan Rasulullah SAW.
Seseorang Muslim yang melaksanakan kewajipan berzakat sebenarnya akan merasa lebih tenang dan damai hatinya setelah berjaya melalui proses penyucian dengan mengeluarkan sebahagian hak Allah yang diamanahkan kepada si pemiliknya kepada sebahagian individu lain yang memerlukannya.
Zakat bermaksud memberi sebahagian harta tertentu kepada orang yang berhak menerimanya dengan syarat-syarat tertentu.
Tujuannya untuk menyeimbangkan jurang pendapatan di kalangan ummah bagi mencapai suatu tingkat hidup yang lebih baik pada paras nisbah yang wajar.
Harta sebenarnya adalah suatu alat untuk mencari kebahagiaan hakiki di akhirat dan bukannya matlamat untuk menjadi hamba kepada nafsu sendiri tanpa batasan.
Justeru, sebagai tanda menggambarkan rasa kesyukuran kepada Allah di atas kurniaan nikmat harta benda kepada seseorang individu itu, maka amat wajarlah ia turut sama dikongsi bersama insan di sekeliling yang barangkali tidak mampu untuk merasai kemewahan hidup seperti yang dirasakan oleh mereka yang berada atau kaya.
Zakat fitrah hukumnya fardu ain ke atas setiap umat Islam yang cukup syarat-syaratnya. Jumlah zakat adalah bersamaan sekilogram daripada makanan yang mengenyangkan bagi sesebuah negara.
Bagi kita di Malaysia sudah tentulah beras kerana ia menjadi makanan ruji semua penduduknya.
Dalil pensyariatan zakat fitrah antaranya ialah sabda Rasulullah SAW daripada riwayat Abi Daud yang bermaksud: "Rasulullah telah mewajibkan zakat fitrah sebagai pembersih bagi orang-orang yang berpuasa daripada perbuatan yang tidak berguna dan dosa serta sebagai makanan bagi orang-orang miskin."
Di dalam al-Quran pula Allah SWT telah berfirman dalam surah at-Taubah ayat 103 yang bermaksud: Ambillah sedekah atau zakat daripada sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersih dan menyucikan mereka, dan berdoalah sesungguhnya doa kamu itu (menjadi) ketenteraman jiwa bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
Golongan berhak terima zakat
1Fakir yang tidak ada harta atau hartanya kurang satu perdua daripada keperluan sendiri. Golongan ini juga tidak ada orang yang menanggung penghidupan mereka.
2Miskin yang mempunyai harta sebanyak satu perdua keperluannya atau tidak mencukupi.
3Amil, iaitu orang yang dilantik untuk menguruskan pungutan dan pembahagian zakat.
4Mualaf, iaitu orang yang baru memeluk agama Islam.
5Hamba, iaitu orang yang mahu menebus diri daripada tuannya.
6Orang yang berhutang dan hutang itu bukan untuk tujuan maksiat tetapi untuk kepentingan masyarakat dan keperluan hidupnya.
7Untuk kegunaan pada jalan Allah (Fisabilillah), iaitu bagi tentera yang berjuang kerana Allah atau kegiatan amal seperti membina masjid, hospital, rumah anak yatim dan sebagainya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my
0 comments:
Post a Comment