ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Sunday, August 5, 2012

Penjajahan minda, budaya sama bahaya

Sarwa tauhid nilai semula kemerdekaan
Kedatangan Islam ke rantau Asia Tenggara bukan sekadar menjadi anutan kepada penduduknya tetapi memberikan satu makna baru terhadap kehidupan secara menyeluruh. 
Kehadiran Islam bukan seperti agama lain  sebelumnya, iaitu Hindu dan Buddha. Ia memberi pengaruh yang mendalam terutama dalam membentuk pandangan sarwa. 

Negara kita sudah lama merdeka tetapi jiwa kita terus terjajah. Terjajah dengan seribu satu macam perkara yang akhirnya buatkan kita terkesima dengan kemajuan orang lain. Kekallah kita sebagai masyarakat pengguna bukan masyarakat mencipta”

Pandangan sarwa juga dikenali sebagai worldview, tasawur kehidupan, weltanschaung dan juga rukyah al-wujud fi al-Islam. Ia secara asasnya menjawab persoalan mengenai perihal kewujudan alam dan seisinya, tugas dan kedudukan manusia serta tujuan akhir semua kewujudan itu serta hubungan dan kedudukan Allah sebagai pencipta kepada semua kewujudan. Bauan tauhid amat kuat dapat dihidu dalam pandangan sarwa.

Pandangan sarwa berteraskan tauhid inilah yang bertanggungjawab pada permulaannya membebaskan orang Eropah daripada kegelapan tahyul dan kekeliruan faham mengenai proses alamiah. Menerima wujudnya peraturan alam yang juga dikenali sebagai hukum sains hari ini menjadikan manusia lebih teratur apabila berhubung dengan alam sekeliling.

Perkara sama juga berlaku di rantau ini apabila kehadiran Islam sudah membebaskan orang Melayu daripada perkara yang tidak logik lagi tidak munasabah. Antaranya ialah hubungan rakyat dan raja yang mempunyai takrifan baru.

Hubungan rakyat dan raja 
Manusia diiktiraf mempunyai hak sama di sisi Allah. Tiada perbezaan darjat jika berdasarkan warna kulit, harta, kedudukan dan keturunan melainkan takwa yang menjadi pembezanya. Begitulah juga dengan hubungan rakyat dan raja. Raja adalah pelaksana amanah kepemimpinan yang dikurniakan oleh Allah dan diakui rakyat. Ia berbeza dari zaman pra Islam yang mengangkat raja sebagai dewa dengan kesaktian yang pelbagai dan rakyat mempunyai darjat yang jauh lebih rendah dan hina berbanding raja.

Selain itu, pandangan sarwa ini menjadikan Melayu lebih sensitif terhadap maruah dan kehormatan diri, menyanjung tinggi prinsip keadilan dan hak kemanusiaan.

Menurut Dr Siddiq Fadzil, pembentukan citra dan etos bangsa yang berteraskan tauhid terbantut akibat kedatangan penjajah. Penjajahan menyebabkan usaha pembinaan bangsa terpaksa dialihkan kepada aspek pertahanan bagi mengekalkan penguasaan geografi yang berkait langsung dengan keuntungan ekonomi.

Usaha penjajah untuk menyerang keutuhan budaya bangsa dapat dikesan, terutama pada kelompok elit dan bangsawan. Terhasillah satu kelompok orang Melayu yang bercirikan ‘anglophile’ atau manusia dua kerat, iaitu sekerat Melayu dan sekerat Inggeris. Usaha itu nampaknya tidak begitu berjaya tatkala itu untuk mempengaruhi masyarakat awam.

Namun kita dapati usaha itu tidak terhenti bersama pengisytiharan kemerdekaan negara. Ia diteruskan sehinggalah ke hari ini. Maka kita terus kekal di bawah belenggu penjajahan budaya dan pemikiran. Istilah penjajahan jenis ini dipopularkan oleh Malik Bennabi.

Memaknai semula kemerdekaan
Negara kita sudah lama merdeka tetapi jiwa kita terus terjajah. Terjajah dengan seribu satu macam perkara yang akhirnya membuatkan kita terkesima dengan kemajuan orang lain. Kekallah kita sebagai masyarakat pengguna bukan masyarakat mencipta. Kita hanya mampu membeli pelbagai jenis hasil teknologi tetapi kita terus gagal menghasilkan sumbangan yang bermakna kepada kehidupan manusia sejagat.

Kita amat mudah terpesona dengan trend terbaru gaya terkini. Tidak kira sama ada ia meliputi fesyen pakaian, muzik mahupun gajet. Kita hanya tergolong sebagai pengguna dan peminat setia. Jika ada usaha pengubahsuaian pun, ia masih dalam konsep yang jelas terikat dengan ‘orang lain’.

Marilah kita bersama memaknai semula kemerdekaan negara kita. Kita boleh mulakan dengan bagaimana kita bermula suatu ketika dulu. Kita bermula sebagai bangsa yang tidak mempunyai sebarang peradaban dengan fahaman animisme lalu diangkat darjat sebagai satu bangsa yang dihormati dan dipercayai sehingga mampu mengepalai sebuah pusat perdagangan maritim terbesar di rantau sebelah sini.

Kita tidak dapat menafikan bahawa darjat kita diangkat oleh Islam yang datang bersama misi pembebasan dan pencerahan (tahririy tanwiriy). Penghayatan semula pandangan sarwa tauhid (tauhidic worldview) perlu dilaksanakan. Ia adalah prasyarat wajib bagi sebuah kemerdekaan yang bermakna dan langkah pertama pemberdayaan bangsa.

Penulis ialah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
bharian.com.my

0 comments:

Post a Comment