KUALA LUMPUR 25 Feb. - Banyak aspek sejarah tanah air yang mesti dipelajari dan difahami masyarakat terutamanya golongan muda supaya mereka tidak terpengaruh dengan fakta sejarah yang diputar belit untuk kepentingan sesuatu kelompok, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.
Beliau berkata, pengajaran subjek Sejarah di sekolah amat penting agar fakta dan naratif sejarah yang betul disebar dan diajar tanpa prasangka atau putar belit luaran.
"Mereka (golongan muda) tidak pernah mengalami pahit getir perjuangan, tidak kerap mendengar kisah pengorbanan pimpinan perdana negara seperti Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Abdul Razak, Tun Tan Cheng Lock, Tun Sambanthan dan Mat Salleh.
"Jika mereka tidak mengerti akan sejarah dan budi perjuangan luhur, kesilapan kita ialah lantaran mereka tidak diajar secukupnya sejarah sebenar,” katanya semasa berucap merasmikan Kolokium Sejarah Malaysia di Universiti Malaya (UM) di sini, hari ini.
Kira-kira 500 peserta yang terdiri daripada penuntut institusi pengajian tinggi, sekolah menengah, persatuan belia, badan bukan kerajaan, agensi kerajaan serta swasta menyertai kolokium sehari anjuran Jabatan Warisan Negara. — BERNAMA
0 comments:
Post a Comment