
Sultan Iskandar Zulkarnain, Sultan Perak ke 15 adalah sultan yang paling terkenal sekali dalam pemerintahan beraja di negeri Perak. Baginda ini telah membangunkan negeri Perak menjadi sebuah negeri yang makmur dan aman damai. Pada masa pemerintahan, baginda telah memperkenalkan sebuah undang-undang yang dipanggil Undang-undang Sembilan Puluh Sembilan.
Undang-undang tersebut telah dijalankan sepenuhnya dalam hal ehwal pentadbiran negeri Perak. Gelaran orang-orang besar juga telah diperkembangkan. Beliau menambahkan lagi gelaran orang besar-besar. Gelaran dan pangkat Bendahara yang dahulunya dipegang oleh orang-orang keturunan Megat yang bermula daripada Megat Terawis telah dihapuskan dan pangkat Bendahara diberi pula kepada keturunan Raja.
Pada masa pemerintahan baginda, orang-orang Belanda telah memonopoli pembelian bijih timah yang dikeluarkan dari negeri Perak. Begitu juga dengan orang-orang Cina dan India telah ramai membuka kedai perniagaan di bandar yang dinamakan "bandar makmur" yang terletak di Pulau Indera Sakti.
Sultan Iskandar Zulkarnain telah mangkat di Pulau Indera Sakti pada 1770 iaitu setelah memerintah negeri Perak selama empatbelas tahun (1756-1770). Baginda digantikan oleh Sultan Mahmud Syah (1770-1778).
0 comments:
Post a Comment