ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Saturday, June 6, 2009

ASKAR MELAYU DAN KOMANDO BENCI CHIN PENG DAN KOMUNIS



Utusan Malaysia, MELAKA 4 Jun – ‘‘Jangan benarkan Chin Peng jejak kaki di negara ini, dia tidak layak pijak bumi bertuah ini.’’


Begitulah luahan lima bekas anggota komando Regimen 21 Kem Sungai Udang, di sini yang kini menanggung kepayahan hidup akibat kekejaman pengganas komunis.

Empat daripada mereka kehilangan kaki manakala seorang telah putus tangan kanan akibat terkena jerangkap samar yang dipasang pengganas sewaktu berkhidmat memerangi komunis sekitar tahun 1976.

Menurut mereka, kezaliman Chin Peng menyebabkan mereka sengsara seumur hidup dan saban hari cuba melupakan kejadian ngeri itu namun hasrat pihak tertentu membawa pulang ketua pengganas terbabit membuatkan luka mereka berdarah semula.

Yaakob Hassan, 56, berkata, dia kehilangan tangan kanan akibat terkena jerangkap samar di hutan Gubir pada 1976 dalam usaha memburu komunis pada ketika itu. ‘‘Hampir setiap hari, saya cuba melupakan peristiwa hitam itu namun hati saya amat pedih kerana masih ada di kalangan rakyat negara kita yang tidak bersimpati dengan penderitaan yang dialami oleh bekas tentera akibat kekejaman Chin Peng.
‘‘Lihatlah apa yang terjadi kepada kami bekas tentera, saya sendiri kudung tangan kanan manakala rakan seperjuangan lain, hilang kaki, tidak cukupkah lagi bukti kekejaman Chin Peng kepada pihak yang berkenaan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui bersama anggota-anggota tentera yang tercedera semasa menentang pengganas komunis di sini hari ini.

Dia yang berkhidmat dalam pasukan tentera bermula tahun 1970 hingga 1976 itu berkata, penyokong Chin Peng atau pihak yang menyarankan agar Setiausaha Parti Komunis Malaysia (PKM) itu dibenarkan pulang ke negara ini wajar dikenakan tindakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Zulkifli Mohd. Ghouse, 51, pula menganggap pihak yang berhasrat membawa balik Chin Peng ke Malaysia sebagai buta sejarah dan enggan bersimpati dengan nasib mereka yang pernah menjadi mangsa kekejaman komunis. Dia yang kudung kaki kanannya akibat terkena bom pada tahun 1978 itu melahirkan rasa kecewanya kerana tidak menyangka terdapat di kalangan rakyat negara ini yang menyokong kekejaman komunis.

Dalam pada itu, Husin Mahbeb, 60, berkata, dia tidak akan memaafkan Chin Peng dan pengikutnya di atas kekejaman yang pernah dilakukan ke atas bekas tentera dan masyarakat negara ini. Menurutnya, beliau bukan sahaja membenci Chin Peng dan pengikutnya, malah seluruh anggota keluarga dan keturunan komunis. ‘‘Mereka tidak ada hak untuk menjadikan saya cacat pada hari ini...Sepatutnya, Chin Peng diadili dengan hukuman yang setimpal dengan kekejaman yang sudah dia lakukan ke atas kami bekas tentera,’’ katanya yang kudung kaki kiri.

Kata Razmi Mat Sharif, 52, dia akan menjadi orang pertama untuk membalas dendam ke atas Chin Peng sekiranya pemimpin PKR itu tetap berdegil untuk kembali ke negara ini. ‘‘Namun, saya kesal kerana masih ada di kalangan rakyat negara ini yang sengaja ingin mengguris perasaan kami, bekas tentera, elok-elok kami pendam sahaja luka ini tetapi mereka sengaja ingin menoreh kembali luka lama ini,’’ katanya.

Sementara itu, Damanhuri Husien, 55, berkata, kekejaman Chin Peng perlu dibalas dengan hukuman setimpal dengan perbuatan yang pernah dilakukan ke atas rakyat negara ini. Katanya, dia sendiri akan ‘mengajar’ pengganas itu sekiranya menjejakkan kaki ke bumi Malaysia. ‘‘Seluruh pasukan keselamatan di negara ini tidak akan memaafkan perbuatan kejam Chin Peng,’’ katanya.


(C) http://www.utusan.com.my/

0 comments:

Post a Comment