Sultan Kelantan dimasukkan hospital
KOTA BHARU: Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, dekat sini, hari ini kerana dipercayai serangan lelah. Baginda yang berumur 59 tahun dimasukkan ke HUSM kira-kira jam 3 petang.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menziarahi baginda di HUSM jam 4 petang dengan ditemani beberapa Exco negeri. Ketika ditemui pemberita di HUSM selepas itu, Nik Abdul Aziz berkata, Sultan berada dalam keadaan stabil.
"Saya minta rakyat Kelantan mendoakan kesihatan baginda semoga baginda cepat sembuh," katanya.
Sehingga kini Istana Kelantan belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai punca sakit baginda. Timbalan Pengarah Kanan Klinikal HUSM, Dr Rosdi Abdul Rahman berkata keadaan Sultan kembali stabil tetapi enggan mendedahkan punca penyakit baginda.
Menurut sumber Istana, Sultan Kelantan diserang penyakit lelah dan terjatuh sebelum dimasukkan ke hospital. - Bernama
0 comments:
Post a Comment