ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Friday, April 20, 2012

Persenda Raja Melayu Tindakan Keji


KUALA LUMPUR 18 April - Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali menggesa pihak berkuasa tidak membiarkan insiden beberapa ahli Parlimen pembangkang mempersenda pemimpin negara dan raja-raja Melayu berlalu begitu sahaja tanpa tindakan sewajarnya.
Sambil menyifatkan tindakan itu sebagai keji dan tidak sepatutnya dilakukan oleh mereka yang dipilih rakyat, beliau turut menyambut baik cadangan untuk menubuhkan badan penyiasat bagi menyiasat insiden yang mencacatkan istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara baru-baru ini.
Cadangan tersebut, kata beliau, menggambarkan betapa serius perkara itu walaupun di sudut pemerhatiannya, tindakan ahli Parlimen berkenaan adalah sesuatu yang tidak memeranjatkan.
''Setakat yang saya kenal individu terlibat, mereka memang mempunyai kecenderungan untuk melakukan perkara yang sukar diterima akal. Ini mungkin hasil desakan parti yang mereka wakili dan beberapa golongan di dalam parti masing-masing yang memandang remeh institusi raja.
''Saya tidak perlu menoleh ke belakang untuk memaparkan insiden-insiden hitam yang pernah berlaku di Perak dan Selangor,'' katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ujar Hasan, selama ini di depan masyarakat Melayu, mereka berhujah dan berbicara tentang kepentingan institusi raja dan ketaatan kepada raja yang memerintah.
''Namun, jelas daripada insiden tersebut, ketaatan yang mereka laungkan tidak lebih daripada satu pengucapan yang tidak mempunyai banyak erti,'' katanya.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan kewajaran ahli Parlimen pembangkang terbabit sehingga sanggup memperleceh, memperlekeh dan menghina pimpinan tertinggi negara dan 'batang tubuh' raja-raja Melayu.
''Saya juga tertanya-tanya tentang darjah kesiuman pemimpin pembangkang tersebut yang seolah-olah lupa siapa diri mereka, dalam majlis apa mereka berada dan siapa yang memerhatikan mereka?
''Bagi saya pendek benar akal dan pemikiran ahli Parlimen yang terlibat. Insiden dilaporkan berlaku sebenarnya bukan insiden isolated, tetapi inilah brand budaya baru yang akan mereka terapkan,'' jelasnya.
Hasan turut melontarkan persoalan-persoalan berikut :
* Remehkah sesuatu yang berkait langsung dengan sistem pemerintahan negara?
* Remehkah insiden yang berlaku itu jika ditinjau dari sudut kelangsungan sistem Raja Berperlembagaan?
* Akhirnya remehkah insiden itu untuk dibiarkan berlalu begitu sahaja sedangkan upacara itu adalah sebahagian daripada kebanggaan negara.
Justeru, beliau menggesa rakyat tidak memperjudikan masa depan negara dengan memilih 'wajah-wajah' mereka yang bertindak menghina institusi raja.
''Saya tidak dapat menggambarkan jika ditakdirkan mereka menguasai Putrajaya. Bayangkan apa jenis budaya yang mereka akan 'cernakan' untuk masyarakat terutama di pihak generasi pengganti?,'' soalnya.
Beliau kemudiannya memuji tindakan pegawai perubatan, Dr. Rahman Kadir yang telah menimbulkan perkara itu.
''Saya percaya atas kesedaran sivik yang tinggi, doktor perubatan tersebut telah keluar daripada lingkungan perubatan untuk memaparkan peristiwa hitam yang berlaku kerana bagi beliau ia bukan sesuatu yang kecil dan remeh sebagaimana didakwa oleh mereka yang terlibat,'' katanya.

sumber : utusan.com.my

0 comments:

Post a Comment