PUTRAJAYA: Peguam Karpal Singh hari ini gagal dalam cubaan bagi mengkaji semula dan mengetepikan perintah Mahkamah Rayuan yang mengarahkannya membela diri atas tuduhan mengeluarkan kata-kata hasutan membabitkan Sultan Perak, tiga tahun lalu.
Dalam keputusan sebulat suara, panel tiga anggota yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif, menolak permohonan Karpal dengan menyatakan permohonan itu tidak mempunyai merit. Panel dianggotai oleh Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Sulaiman Daud, dan Datuk Balia Yusof Wahi, membuat keputusan itu selepas mendengar hujah Karpal dan Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin.
Terdahulu, Karpal berkata beliau memfailkan kajian semula hanya atas satu alasan bahawa salah seorang hakim Mahkamah Rayuan dalam panel sebelum ini, Datuk Clement Allan Skinner, tidak fasih dalam Bahasa Malaysia.
Katanya, sekiranya Clement tidak fasih dalam Bahasa Malaysia, beliau mungkin tidak dapat memahami kandungan penghakiman bertulis setebal 105 muka surat yang ditulis dan disediakan oleh Hakim Datuk Ahmad Maarop dalam bahasa itu yang menyebabkan kegagalan kuorum.
Karpal berkata, prosiding rayuan di hadapan panel sebelum ini dikendalikan dalam Bahasa Inggeris tetapi apabila tiba ke tahap penghakiman ia dalam Bahasa Malaysia yang mana Clement tidak dapat memahaminya.
Raus berkata, apabila seorang hakim menulis sebuah penghakiman, beliau akan mengedarkan kandungan penghakiman itu kepada hakim lain dalam panel untuk mereka membaca, sama ada bersetuju atau sebaliknya, sebelum diluluskan.
Ditanya oleh Raus bagaimana dia mengetahui Clement tidak fasih dalam Bahasa Malaysia, Karpal menjawab hakim itu dari Sabah dan hakim dari Malaysia Timur tidak fasih dalam bahasa itu dan mereka masih menggunakan Bahasa Inggeris dalam prosiding mahkamah di Sabah.
Raus berkata, Clement mungkin tidak fasih dalam Bahasa Malaysia tetapi ia tidak bermakna beliau tidak memahami bahasa kebangsaan.
Karpal turut meminta panel itu supaya memasukkan prosiding Clement untuk dia menjawab mengenai perkara itu.
Noorin berkata, dakwaan terhadap Clement adalah tidak berasas, hanya semata-mata tekaan dan tiada bahan.
Katanya, kegagalan kuorom adalah berkaitan dengan komposisi hakim dalam sebuah panel dan bukan kefasihan bahasa.
"Sekiranya salah seorang hakim dalam panel tidak hadir, maka ia adalah kegagalan kuorom dan tidak fasih dalam Bahasa Malaysia tidak bermakna Clement tidak memahami bahasa itu," katanya.
Karpal, 71, mahu Mahkamah Rayuan menggunakan kuasa sedia ada dan mengetepikan keputusan yang dibuat oleh panel itu pada 20 Januari 2011 yang menolak keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskannya pada 11 Jun 2010.
Karpal didakwa mengeluarkan perkataan berbaur hasutan terhadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, di firma guamannya, Tetuan Karpal Singh & Co di Jalan Pudu Lama, Kuala Lumpur, antara 12 dan 12.30 tengah hari, 6 Februari 2009.
Dia didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa pengguguran Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Bsar Perak dan pelantikan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir untuk jawatan itu oleh Sultan Perak boleh dipersoalkan di mahkamah.
Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan. - BERNAMA
0 comments:
Post a Comment