Pesanan pertahankan jati diri Melayu
|
|
PERTEMUAN 40 anggota Jejak Warisan Jawi II (JWJ2) dengan seorang warga tua berketurunan Melayu di Kampung Guar di Satun, Thailand pada hari pertama ekspedisi amat menginsafkan mengenai betapa pentingnya jati diri Melayu dan Islam dipertahankan walau apa pun berlaku.
Ismail Kasim, 72, yang sudah semakin uzur sanggup bertemu dengan anggota ekspedisi JWJ2 semata-mata mahu memberi pesan kepada semua anggota supaya bersungguh-sungguh mempertahankan jati diri, warisan serta budaya walau apa pun berlaku.
Secara peribadi dia amat mengharapkan masyarakat Melayu di Malaysia tidak senasib seperti mana kelompok Melayu lain termasuk di Thailand sendiri apabila budaya kaum itu semakin terhakis secara perlahan-lahan akibat pengaruh-pengaruh di sekeliling.
Dia mengakui generasi Melayu di Thailand tidak seperti datuk moyang mereka dahulu yang sedaya upaya mempertahankan jati diri, warisan serta budaya mereka.
‘‘Contohnya bahasa yang mana pertuturan bahasa Melayu di kalangan anak-anak muda tidak seperti kami dahulu. Alhamdulillah setakat ini penguasaan mereka dalam bahasa Melayu masih baik tetapi apakah jaminannya untuk masa depan.
‘‘Bagaimana pula seni budaya Melayu yang lain yang selama ini diamalkan sejak turun temurun. Mahu tidak mahu kita harus mengakui ia semakin tidak diamalkan dan orang muda khususnya langsung tidak mahu mengendahkannya?” kata Ismail yang merupakan bekas guru silat Melayu di kampungnya.
Kata-katanya itu ada asasnya apabila dia menyatakan bagaimana seni silat yang sebelum ini menjadi tumpuan golongan muda di kampungnya serta kampung sekitar 30 tahun lalu semakin dilupakan.
‘‘Silat adalah warisan budaya Melayu tetapi saya melihat ia sudah tidak lagi mendapat tempat di kalangan orang muda kerana mereka lebih berminat dengan seni mempertahankan diri yang lain.
‘‘Disebabkan itu lebih 20 tahun saya tidak lagi mengajar silat kepada orang muda di sini. Saya hendak turunkan warisan ini kepada anak dan cucu semuanya tidak mahu,’ katanya dalam keadaan yang begitu sedih.
Bagaimanapun kesedihannya sedikit terubat apabila tujuh anggota ekspedisi JWJ2 mengadakan persembahan silat di hadapannya.
Atas semangat yang ada serta sedikit kudrat yang ada Ismail berjaya juga menunjukkan kehebatannya menampilkan seni silat tari kepada hadirin serta anggota konvoi yang hadir.
Dalam pada itu Ismail mengakui sekiranya ditakdirkan dia menemui Ilahi pada satu hari nanti mungkin silat yang menjadi darah dagingnya selama ini akan hilang bersemadi bersama jasadnya nanti. Pada masa itu seni silat akan pupus bersama riwayat pendukung-pendukung silat yang seusia dengannya.
‘‘Memang saya kecewa dengan apa yang berlaku ini tetapi apa yang mampu saya lakukan.
‘‘Mereka lebih berminat dengan acara tomoi kerana bagi mereka wang adalah segala-galanya,” ujarnya.
Justeru dia meminta semua anggota ekspedisi JWJ2 menyampaikan pesannya kepada semua generasi muda di Malaysia agar sama-sama mempertahankan warisan budaya orang Melayu yang diwarisi sejak turun temurun.
‘‘Tidak kira apa jua warisan budaya kita, ia hendaklah dipertahankan kerana itulah lambang jati diri kita sebagai orang Melayu. Jangan biarkan ia pupus kerana akhirnya kita juga yang akan rugi,” ujarnya.
‘‘Islam pula menjadi sandaran kepada kita untuk menentukan arahan dan larangan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT,” katanya lagi. Baginya orang Melayu di Malaysia sangat beruntung kerana dikeliling hidup mereka warisan dan budaya Melayu masih subur meskipun tidak menolak kemungkinan ia boleh lenyap jika tidak dipelihara dengan sewajarnya.
‘‘Orang Melayu di Malaysia lebih bertuah berbanding kami. Kami di sini terpaksa berhempas pulas mempertahankan jati diri kami. Tidak tahulah selama mana ia boleh dipertahankan,” katanya lagi.
Penggunaan bahasa Melayu di Thailand katanya adalah contoh terbaik bagaimana penggunaannya amat terhad hingga penguasaannya di kalangan generasi Melayu di negara itu tidak sehebat berbanding penguasaan mereka dalam bahasa ibunda negara itu.
‘‘Sebagai orang Melayu di sini saya menganggap orang Melayu di Malaysia sebagai saudara-saudara saya. Bagi saya kedatangan saudara-saudara menziarahi kami di sini amat menggembirakan walaupun hanya seketika.
‘‘Tolong sampaikan pesanan saya kepada semua rakyat Malaysia, pelihara dan pertahankan budaya dan warisan kita. Jangan terima nasib seperti kami,” katanya lagi. Walaupun ia hanya titipan pesanan biasa seorang tua dari bumi asing, ia harus diambil berat oleh kesemua mereka yang berketurunan Melayu di Malaysia.
Ismail bukan bercakap atas dasar sentimen tetapi di bercakap atas dirinya sebagai orang Melayu tulen. Titisan air matanya pula cukup menggambarkan betapa hatinya remuk apabila silat yang selama ini menjadi darah dagingnya tidak lagi diterima oleh generasi muda di negaranya.
(c) UTUSAN MALAYSIA
0 comments:
Post a Comment