KUALA LUMPUR 2 Mei – Pengasingan komponen kesusasteraan Melayu dari subjek Bahasa Melayu untuk dijadikan satu subjek tunggal dilihat akan membebankan pelajar yang secara puratanya mengambil kira-kira sembilan hingga 10 mata pelajaran wajib di sekolah.
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, komponen kesusasteraan di dalam subjek Bahasa Melayu kini sudah memadai kerana komponen tersebut lengkap dengan semua aspek yang perlu diketahui oleh seseorang pelajar mengenai asas kesusasteraan.
“Kita perlu fikirkan dari sudut pelajar sekarang. Mereka sudah mempunyai banyak mata pelajaran lain untuk ditumpukan. Jika sebagai subjek elektif, saya setuju,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini. Beliau mengulas cadangan Sasterawan Negara, Prof. Emeritus Dr. Muhammad Salleh semalam supaya kesusasteraan Melayu dijadikan mata pelajaran tunggal dan bukannya dijadikan sebahagian daripada komponen subjek Bahasa Melayu seperti sekarang.
Menurut Muhammad, sudah tiba masanya Kementerian Pelajaran mengambil langkah yang lebih progresif untuk memperbaiki cara pelaksanaan mata pelajaran Kesusasteraan Melayu di sekolah. Jelas Ka Siong, penambahbaikan cara pelaksanaan komponen tersebut sudah lama dijalankan pihaknya menerusi pembaharuan dan penyelidikan yang berterusan dari semasa ke semasa.
Ujarnya, sukatan yang kini diajar itu telah mengambil kira segala aspek yang dapat menjamin kesusasteraan Melayu terus maju dan berkembang dalam kalangan kalangan pelajar di negara ini. “Bagaimanapun, kami tetap menghormati dan mengalu-alukan pandangan peribadi semua pihak dan berharap agar cadangan-cadangan yang membina ini mampu meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran di sekolah,” ujarnya.
www.utusan.com.my
pro and kontra
ReplyDeletesiapa pro dan siapa kontra
menjelaskan maksud yg tersirat siapalah sebenarnya mereka...
demak