Tuesday, August 4, 2009
Home »
» Kesah Bahasa Malaysia [nama bahasa 'convenient'] ?
Kesah Bahasa Malaysia [nama bahasa 'convenient'] ?
LATAR BELAKANG
BAHASA MALAYSIA
Bahasa Malaysia juga dikenali sebagai Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Melayu. Ia telah digunakan di Kepulauan Melayu sejak abad ke-7. Terdapat lebih 200 bahasa di Kepulauan Melayu pada waktu itu. Namun, penggunaan Bahasa Melayu pada waktu itu amat meluas kerana mudah dipertuturkan. Maka ia menjadi lingua franca.
Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menyebut Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi Malaysia. Perlu diingat bahawa pada waktu perlembagaan digubal, istilah "Malaysia" belum wujud. Pada tahun 1970 pula, Dasar Pelajaran Kebangsaan dilaksanakan dan Bahasa Melayu dikenali sebagai Bahasa Malaysia. Malangnya masih ada pihak yang tidak menyedari - atau cuba menafikan - hakikat ini.
Pada tahun 1961, Perdana Menteri Tanah Malaya, Tunku Abdul Rahman mencadangkan pembentukan “Malaysia” – dan cadangan itu menjadi realiti pada 16 September 1963.
Pilihan raya 1969 menyaksikan pihak Perikatan [Barisan Nasional] menghadapinya dengan penuh yakin kerana percaya rakyat sudah bersatu.Bagaimanapun, rakyat Bukan Melayu pula ternyata kurang senang dengan kedudukan bahasa Melayu. Pada tahun 1957, Perlembagaan menyatakan bahawa Bahasa Inggeris boleh digunakan selama 10 tahun - sehingga 1967. Jadi, kini, timbul soal kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa bagi Bangsa Malaysia.
Pilihan raya pada 12 Mei 1969 ternyata penuh emosi. Kedudukan politik dan bahasa/budaya Bukan Melayu menjadi topik hangat dalam kempen. Malah, rakyat Bukan Melayu mula mempersoalkan hak mereka dalam hal berkenaan.
Penyokong Gerakan dan DAP meraikan "kemenangan" mereka dengan mengadakan 'pesta' di jalan-jalan raya di Kuala Lumpur. Penyokong UMNO turut mengadakan 'pesta' yang sama. maka tercetuslah Krisis 13 Mei 1969 yang menjadi titik hitam dalam sejarah negara Malaysia yang berbangga dengan gambaran rakyat pelbagai kaum hidup bersatu-padu, harmoni dan saling memahami.
Pada 31 Ogos 1970, Rukun Negara dan Rukun Tetangga diperkenalkan. Dasar Pelajaran Kebangsaan pula dilaksanakan pada 1970 di mana istilah “Bahasa Malaysia” diperkenalkan di sekolah dan dalam segala urusan rasmi. Minggu Bahasa dan Bulan Bahasa diadakan dengan cogan kata "Bahasa Jiwa Bangsa" - di mana pasti sahaja "Bahasa&quoot; merujuk pada "Bahasa Malaysia" dan "Bangsa" merujuk pada "Bangsa Malaysia". Masakan pula cogan kata "Bahasa Jiwa Bangsa" ini membawa makna "Bahasa Melayu Jiwa Bangsa Melayu"!
Pada September 1970, Tunku Abdul Rahman diganti Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia. Polisi Pelajaran di bawah Rancangan Malaysia Kedua (1971-1975) dilaksanakan, antara lain, bagi mempercepatkan usaha murni kerajaan dan rakyat malaysia menjadikan Bahasa Malaysia bahasa pengantar di sekolah.
Kempen “Cintai Bahasa Kita”, “Bahasa Jiwa Bangsa”, “Bahasa Menunjukkan Bangsa” dan yang seumpamanya dipergiat oleh kerajaan, badan-badan tertentu serta agensi kerajaan dan swasta.
Pada tahun 1990, Bahasa Malaysia mula digunakan di mahkamah. Memang agak pelik jika kita berpeluang mendengar perbicaraan kes di mahkamah menggunakan Bahasa Malaysia tetapi adalah satu kejayaan mendaulatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi dan bahasa pengantar utama.
Generasi yang lahir pada tahun 70-an, 80-an dan 90-an terbukti fasih dan menganggap Bahasa Malaysia sebagai bahasa milik bersama setiap rakyat Malaysia. Mereka sedar bahawa Bahasa Malaysia bukan milik kaum Melayu sahaja. Kaum Bukan Melayu di Malaysia mampu berinteraksi menggunakan Bahasa Malaysia yang betul dan lancar. Ironinya, sekumpulan kaum Melayu pula lebih suka menggunakan Bahasa Malaysia yang tidak betul. Misalnya: “Husband I drebar mini bas” di mana frasa ini bukan Bahasa Inggeris dan bukan juga Bahasa Malaysia!
Walau bagaimanapun, apa yang lebih penting, istilah "Bahasa Malaysia" yang diperkenalkan pada tahun 1970 berikutan Krisis 13 Mei 1969 terbukti sudah berjaya membina “Bangsa Malaysia” sebagaimana yang diimpikan.
Pembinaan "Bangsa Malaysia" bermula dengan "Bahasa Malaysia", demikian saya tegaskan pada Forum Bahasa Kebangsaan & Bangsa Malaysia di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 8 Jun 2002.
Kini terdapat ramai penulis pelbagai kaum yang menghasilkan karya sastera Bahasa Malaysia. Golongan penulis/sasterawan ini mempunyai bakat penulisan dan menguasai Bahasa Malaysia. Mereka juga berjiwa Malaysia. Jadi, lahirlah karya sastera berjiwa Malaysia yang menampilkan citra budaya masyarakat pelbagai kaum - dalam Bahasa Malaysia yang bermutu. MMaka penulis pelbagai kaum, sastera dan bahasa mula seiring memupuk semangat dan jiwa "Bangsa Malaysia" di kalangan rakyat negara ini.
[Dalam tahun 1999, usaha memperkasakan konsep bahasa Melayu (Malay language) mula bercambah, Ed]
Kedudukan dan taraf Bahasa Kebangsaan terkandung dalam:
a) Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan
b) Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67
c) Akta Pendidikan (asalnya Akta Pelajaran 1961)
(Ed - adakah bahasa Inggeris di America di sebut "Bahasa America"?, adakah Bahasa Inggeris di Australia di sebut "Bahasa Australia?, adakah bahasa Inggeris di New Zealand di sebut bahasa New Zealand? Atau adakah kesemua sebenarnya, pada hakikatnya, pada fikrah pembudayaan ketamadunan bahasa itu seharusnya "Bahasa Inggeris" tak kira dimana ia di pertuturkan? Bukankah ini imbasan kepada teori BAHASA MELAYU? Oleh itu, pemilihan "Bahasa Malaysia" menggantikan "Bahasa Melayu" adalah untuk "a forced convenience" sahaja?
Teks ini di edit untuk ruangan kecil ini. Rujuk Artikel asal drp (c) Uthaya Sankar SB
http://www.geocities.com/uthayasb2001/bahaza.htm
0 comments:
Post a Comment