Karya Air Mata Raja

Hayati penceritaan Tun Seri Lanang mengarang buku Sulalatus Salatin pada tahun 1612. Juga kisah hidup 23 pewaris Sultan Mahmud Shah Melaka dari tahun 1511 sehingga 2007. Sebuah naskhah terbitan DBP yang tiada yang lain seumpamanya.

Kesultanan Melayu

Sembilan buah negeri yang masih bersultan mencerminkan sebuah institusi yang terus kukuh. Sultan Melayu lambang keagungan Empayar Melayu Islam satu waktu dahulu. Sultan tonggak agama Islam buat orang Melayu.

Pelancaran Buku Air Mata Raja (Melaka)

Dilancarkan pada 17 Oktober 2011 oleh mantan Ketua Menteri Melaka YAB Datuk Seri Mohd Ali Rustam semasa berlangsungnya Seminar Melaka Merentas Zaman. Ia dianjurkan oleh IKSEP (institut Kefahaman Sejarah dan Patriotisme Malaysia) dengan kerjasama agensi kerajaan yang lain.

Pelancaran Buku Air Mata Raja (Singapura)

Dilancarkan pada 20 September 2013 oleh Encik Hawazi Daipi (Singapore Member of Parliament) di Restoran Mamanda, Sultan Gate, dalam suasana istana yang menarik, diisi dengan persembahan seni oleh para pelajar dari Politeknik Republik. Penghargaan buat Puan Masmunah dan Tuan Zulkarnine.

Anugerah Buku PNM-RTM

Buku 'Air Mata Raja' telah memenangi Anugerah Buku PNM-RTM (Perpustakaan Negara Malaysia dan Radio Televisyen Malaysia) pada 3 Oktober 2013. Ia telah disempurnakan oleh Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia di Angkasapuri, Kuala Lumpur.

ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Friday, May 7, 2010

Perjuangan Perkasa selaras dengan Piagam PBB

Perjuangan Perkasa selaras dengan Piagam PBB

KUALA LUMPUR - Perjuangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan pribumi mengenai hak kepentingan dan keistimewaan kaum itu bukannya satu agenda sempit tetapi selaras dengan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali menjelaskan, Piagam PBB di bawah kategori sosioekonomi jelas menyebut mana-mana negara sekiranya masih memiliki kumpulan majoriti yang ketinggalan, maka kepentingan mereka mestilah dijadikan sebagai agenda nasional.

Sehubungan itu menurut beliau, tanggapan segelintir termasuk penggubal dasar Model Ekonomi Baru (MEB) sendiri yang hanya mementingkan kepentingan memacu ekonomi negara berdasarkan kepada persaingan bebas dengan melupakan kepentingan bumiputera, adalah jelas salah.

Kata beliau, hakikatnya bumiputera masih lagi ketinggalan hinggakan sasaran 30 peratus dalam Dasar Ekonomi Baru dahulu pun masih jauh ketinggalan.

Thursday, May 6, 2010

Dapatkan MODEL EKONOMI BARU UNTUK MALAYSIA [Klik disini!]

Ekslusif dibawa oleh Rajamenangis untuk kajian anda.

Mak oi, macam macam boleh jadi...

Kereta Perdana V6 Ketua Polis Selangor Dicuri

SHAH ALAM, 6 Mei -- Kenderaan rasmi Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar dilaporkan hilang di tempat letak kereta berhadapan sebuah restoran di Jalan Tengku Ampuan Zabedah 9/H, Seksyen 9 di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Noor Azam Jamaludin berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 8.15 pagi tadi ketika kereta jenis Proton Perdana V6 berwarna hitam diletakkan di kawasan letak kereta berhampiran restoran itu semasa pemandu terbabit sedang menikmati sarapan pagi.

"Laporan polis dibuat oleh pemandu terbabit pada kira-kira pukul 10 pagi dan usaha untuk mengesan kereta tersebut sedang dilakukan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.


Sumber - (Bernama)

Kenyataan Rajamenangis - Presiden Nigeria ke Rahmatullah


The Rajamenangis Group wishes to express its profound condolences and sincere feelings of compassion and sorrow to the people of Nigeria and to the families and friends following the passing Nigerian President Allahyarham Umaru Yar'Adua.

To us, Africa has lost an iconic leader of humanity.


May Allah swt bless his soul. Alfatihah

Dari sudut PeguamNegara : Institusi Diraja Negeri Sembilan Darul Khusus

Institusi Diraja Negeri Sembilan Darul Khusus

Adat Perpatih amat sinonim dengan Negeri Sembilan Darul Khusus. Institusi monarki Negeri Sembilan ini berbeza dengan negeri-negeri lain khususnya dalam urusan pertabalan dan penggantian pewaris takhta. Bagi negeri yang mengamalkan Adat Temenggong sebagai contoh di Negeri Johor, kebiasaannya apabila berlaku kemangkatan, pengganti Sultan dilantik dari kalangan putera Almarhum yang sulung. Walaubagaimanapun, penggantian Yang di-Pertuan Besar dipilih berdasarkan perakuan Undang Yang Empat. Pertabalan takhta diraja berteraskan adat istiadat Perpatih yang telah dipraktikkan sejak pemasyhuran Yang di-Pertuan Pertama iaitu Raja Melewar. Kelangsungan pemakaian adat dan istiadat Perpatih dijamin dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.


Adat Perpatih merupakan adat turun temurun yang telah diwarisi oleh orang-orang Melayu di Negeri Sembilan. Ia berasal dari Minangkabau, Sumatera Indonesia. Sekitar abad ke-14, orang-orang Minangkabau telah datang ke Negeri Sembilan. Penghijrahan mereka akhirnya telah menjadikan penempatan orang-orang Melayu Minangkabau serta memperkenalkan sistem adat sebagai sistem sosial masyarakat di Negeri Sembilan dan sistem diraja.

Raja adalah simbol kedaulatan Negara. Jika di negeri-negeri lain perkataan Sultan digunakan bagi merujuk kepada Raja. Gelaran Yang di-Pertuan Besar pula digunakan di Negeri Sembilan bermaksud Yang di-Pertuankan atau YamTuan. Ia ada kaitan dengan bermulanya sejarah wujudnya Institusi Diraja di Negeri Sembilan. Mengimbas kembali sejarah bagaimana pemegang-pemegang adat ketika itu mencari seorang pemerintah yang boleh memimpin masyarakat orang-orang Melayu Minangkabau. Negeri Sembilan ketika itu di bawah pemerintahan Johor. Negeri Sembilan adalah salah satu wilayah yang diganggu oleh Daing kemboja dari Bugis. Disebabkan keadaan huru-hara Undang bermuafakat mengadap Sultan Johor meminta izin bagi mendapatkan seorang raja dari Minangkabau atau Pagar Ruyung. Sultan Johor memberi perkenan kerana tidak berupaya menghadapi ancaman musuh yang bertubi-tubi.

Raja Mahmud atau Raja Melewar putera kepada Sultan Abdul Jalil telah dititahkan oleh ayahandanya untuk ke Negeri Sembilan sebagai Yang di-Pertuan Negeri Sembilan Yang Pertama. Bagaikan suatu tradisi pemegang-pemegang adat menjemput seorang putera dari Pagar Ruyung apabila berlaku kemangkatan Yang di-Pertuan Besar. Ia berlaku pada tiga pemerintahan iaitu pemerintahan Raja Melewar (1773-1795), pemerintahan YamTuan Hitam (1795-1808) dan pemerintahan YamTuan Lenggang (1808-1824). Dengan pertabalan YamTuan Radin bermulalah era warisan takhta dari anak raja tempatan. Oleh yang demikian, pewaris takhta hanya dilantik dari jurai keturunan Raja Radin Ibni Raja Lenggang sebagaimana termaktub dalam Fasal 7(3), Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 iaitu:-

“Tiada boleh dipilih sesiapa menjadi Yang di-Pertuan Besar bagi Negeri ini melainkan ianya seorang Melayu laki-laki yang sempurna akal dan memeluk agama Negeri ini dan anak dalam nikah yang berketurunan daripada Raja Radin Ibni Raja Lenggang mengikut pihak lelaki”

Selain kuasa autonomi Undang Yang Empat di luak masing-masing, kuasa tradisional Undang Yang Empat adalah mengenai penentuan Yang di-Pertuan Besar. Tatacara pemilihan pengganti Yang di-Pertuan Besar telah dinyatakan dalam Fasal 7(4) iaitu-

“apabila berlaku kemangkatan Yang di-Pertuan Besar dengan meninggalkan putera-puteranya, maka Undang Yang Empat hendaklah bersegera memilih gantinya di antara putera-putera itu”.

Senario ini dapat diperhatikan semasa kemangkatan Almarhum Tuanku Ja’afar pada 27 Disember 2009. Pemasyhuran pengganti takhta Yang di-Pertuan Negeri Sembilan telah melakar sejarah institusi diraja Negeri Sembilan, setelah hampir 42 tahun adat istiadat perpatih ini dapat diperlihatkan kembali kepada rakyat jelata. Kuasa Undang Yang Empat dilaksanakan dalam mesyuarat secara sulit mengenai penentuan bakal pengganti Yang di-Pertuan Besar. Calon pengganti terdiri daripada putera-putera Almarhum Tuanku Ja’afar iaitu Tuanku Laxamana Tunku Naquiyuddin Tunku Ja’afar, Tuanku Muda Serting Tunku Imran Tuanku Ja’afar dan Tunku Panglima Besar Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar. Walaubagaimana pun tiada seorang dari kalangan putera-putera ini dipilih sebagai pengganti.

Undang Yang Empat mempunyai kuasa untuk memilih waris lain sekiranya pada pendapat Undang Yang Empat tiada seorang pun putera-putera itu berkelayakan dan berkebolehan maka hendaklah dipilih keturunan kedua dan seterusnya seperti berikut-

yang pertama, kekanda atau adinda lelaki Yang di-Pertuan Besar yang mangkat,

yang kedua, ayahanda saudara sebelah ayahanda Yang di-Pertuan Besar yang mangkat,

yang ketiga, cucunda laki-laki Yang di-Pertuan Besar yang mangkat,

yang keempat, putera kekanda atau adinda laki-laki Yang di-Pertuan Besar yang mangkat,

Berdasarkan kesepakatan, Undang Yang Empat telah memilih anakanda saudara Almarhum iaitu Tunku Mukhriz Tuanku Munawir satu-satunya putera dari enam adik-beradik daripada perkahwinan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-Sembilan iaitu Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Durah.

Sehubungan itu, pada 29 Disember 2009, Tuanku Mukhriz dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang Ke-Sebelas oleh Dato’ Undang Yang Empat di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, selepas kemangkatan Tuanku Ja’afar. Sebenarnya ia bukanlah suatu yang luar biasa pernah berlaku. Lebih tepat lagi jika dikatakan sejarah berulang kembali. Kebenaran ini dapat dilihat daripada sejarah pelantikan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sebagaimana berikut-

  1. Raja Melewar (1773-1795)dijemput
  2. YamTuan Hitam (1795-1808)dijemput
  3. YamTuan Lenggang (1808-1824)dijemput
  4. YamTuan Radin (1831-1861) putera
  5. YamTuan Imam (1861-1869) adinda
  6. YamTuan Antah (1872-1887) putera Raja Radin
  7. Tuanku Muhammad (1887-1933) putera
  8. Tuanku Abdul Rahman (1933-1960)putera
  9. Tuanku Munawir (1960-1967) putera
  10. Tuanku Ja’afar (1967-2008) adinda
  11. Tuanku Mukhriz (2008- ) putera Tuanku Munawir

Semasa YamTuan Radin mangkat pada 1861, Almarhum meninggalkan tiga orang putera iaitu Tunku Besar Daud, Tunku Besar Lintau dan Tunku Antah, tetapi Undang yang Empat telah memilih adinda Almarhum YamTuan Imam.

Begitu juga apabila berlaku kemangkatan YamTuan Imam mangkat pada 1869, Almarhum meninggalkan putera iaitu Tunku Ahmad Tunggal, walaubagaimanapun Undang Yang Empat telah memilih Tuanku Antah iaitu anakanda saudara Almarhum.

Peristiwa yang sama berlaku semasa kemangkatan Almarhum Tuanku Munawir ayahanda Tuanku Mukhriz pada 1967. Tuanku Mukhriz merupakan anak waris pertama selepas kemangkatan Almarhum Tuanku Munawir. Ketika itu, baginda berusia 18 tahun. Atas kerapatan Dato’ Undang Yang Empat, takhta berkenaan dipersetujui dan diperkenan ke atas Almarhum Tuanku Ja’afar. Begitulah pemilihan Yang di-Pertuan Besar dilakukan.

Ternyata pemilihan Yang di-Pertuan Besar berbeza dengan Sultan di negeri-negeri lain. Inilah yang dikatakan uniknya amalan Adat Perpatih ini. Walaubagaimana pun, tidak dapat disangkal Yang di-Pertuan Besar adalah simbol keadilan Negeri Sembilan Darul Khusus.


Sumber (c) Maria binti Jilani
Penolong Penasihat Undang-Undang (Syariah) Negeri
Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri
Negeri Sembilan

Tergempar: Tengku Muhd Fakhry ditangkap Polis UTK


Terdapat laporan media yang mengatakan bahawa beberapa ahli Istana Kelantan telah ditangkap oleh Komando Polis UTK.

Fakhry ditangkap, Tengku Anis diawasi

Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra ditahan oleh sepasukan anggota dan pegawai polis dipercayai dari Unit Tindakan Khas (UTK) yang memakai topeng di luar Istana Mahkota, Kubang Kerian, Kota Bharu, malam semalam.

Menurut Kosmo, Tengku Fakhry (kanan) ditahan bersama dua orang doktor dan beberapa orang pengawal peribadi Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra. Akhbar tabloid itu yang memetik sumber istana memberitahu, putera Sultan Kelantan itu ditahan ketika beliau bersama dua orang doktor dan sekumpulan pengawal peribadi sultan menaiki beberapa buah kenderaan.

Mereka dikatakan baru keluar kira-kira 50 meter dari Istana Mahkota. Kejadian itu berlaku pada jam 7.30 malam. Semasa kejadian, turut berada dalam sebuah daripada kenderaan rombongan itu ialah Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra dan Raja Perempuan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.



Sumber2: Petikan Malaysiakini, Kosmo!

6 Mei - Kesihatan Sultan terjejas - Tengku Anis


Kesihatan Sultan terjejas - Tengku Anis

KOTA BHARU - Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid mendakwa kesihatan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra terjejas selepas dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian sejak kelmarin.

Baginda berkata, Tuanku Ismail didapati tidak cukup tidur dan rehat selepas dipaksa tinggal di hospital itu.

Katanya, suasana di dalam Wad Diraja di HUSM juga tidak selesa berbanding ketika baginda tinggal di Istana Mahkota.

"Keadaan tersebut menyebabkan darah Tuanku Ismail naik dan kesihatan baginda dibimbangi akan terjejas lebih teruk," kata Tengku Anis ketika dihubungi di sini semalam.

Pergerakkan Sultan Kelantan yang gering di kawal


KOTA BHARU - Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra mengeluarkan titah kepada Ketua Polis Kelantan supaya segala pergerakan Sultan Kelantan perlu mendapat perkenan baginda.

Serentak itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi dititah supaya memastikan pasukan polis memberi perhatian serius terhadap keselamatan ayahanda baginda, Tuanku Ismail Petra.

Semua langkah itu diambil adalah bagi menjaga keselamatan dan kesihatan Sultan Kelantan.

Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad berkata, berikutan titah itu, polis telah mempertingkatkan kawalan terutama di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di sini bermula kelmarin.


Sumber: Kosmo [Malaysia]

6 May - Perkembangan terbaru krisis Istana Kelantan

Rajamenangis memantau isu ini dengan teliti.

Demi sultan

KOTA BHARU – Segala pergerakan Sultan Kelantan perlu mendapat perkenan Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra terlebih dahulu bagi memastikan keselamatan dan kesihatan baginda terkawal dan terjamin.

Arahan itu dikeluarkan sejajar dengan sikap Tengku Muhammad Faris yang amat menyayangi dan begitu prihatin terhadap keadaan ayahandanya, Tuanku Ismail Petra yang masih dalam keadaan gering.

Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad berkata, titah arahan baginda telah dikeluarkan kepada Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi untuk mengambil langkah-langkah melaksanakannya.

Beliau menyatakan demikian dalam satu kenyataan kepada media di pejabatnya bagi menyampaikan titah Pemangku Raja sebagai makluman kepada rakyat mengenai pergerakan Sultan Kelantan dan keadaan baginda sekarang.

“Berdasarkan titah-titah arahan tersebut, bermula semalam, pihak polis telah mempertingkatkan kawalan dan ini juga ekoran rentetan beberapa peristiwa yang memerlukan langkah berhati-hati diambil,” ujar beliau.

Beliau antara lain merujuk mengenai insiden pengawal keselamatan keluarga Diraja, Ramli Mohamad,50, yang cedera parah ditembak minggu lalu oleh penyerang tidak dikenali.

Semalam sultan Kelantan yang cuba dibawa keluar ke Singapura untuk menjalani pemeriksaan lanjut di Hospital Mount Elizabeth menggunakan pesawat sewa khas dan pesawat komersial dilaporkan telah dihalang oleh pihak berkuasa.

Semasa dibawa keluar perkarangan Istana Mahkota lewat petang semalam, kenderaan yang dinaiki baginda diiringi ke HUSM bagi membolehkan pakar-pakar merawat dan meneliti keadaan baginda.

Menurut Abdul Halim, Tuanku Ismail Petra telah dibawa ke HUSM dengan iringan ketat polis dan ditempatkan di wad diraja.

“Ini supaya doktor pakar dapat memeriksa dan memberi pandangan kepada Pemangku Raja Kelantan dan kerajaan negeri untuk rawatan serta tindakan lanjut.

“Sebelum ini pihak-pihak tertentu telah menghalang doktor-doktor pakar daripada membuat rawatan susulan dan terapi untuk pemulihan baginda.

“Pihak polis juga telah diarahkan untuk membuat kawalan keselamatan yang sepatutnya sesuai dengan keadaan semasa mengikut undang-undang dan perlembagaan,” ujarnya.

Ditanya sama ada baginda akan dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur dengan kemudahan yang terdapat di situ seperti yang disyorkan oleh pakar-pakar perubatan sebelum ini, beliau bagaimana enggan mengesahkan.

“Yang Maha Mulia Pemangku Raja amat prihatin dan amat menyayangi Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al-Sultan dan akan berusaha membuat yang terbaik bagi kebahagiaan dan kesejahteraan ayahandanya yang masih gering, malah makan masih diambil menggunakan tiub.

“Saya berharap agar orang ramai tidak mendengar khabar-khabar angin dan mengikuti blog tetapi bersandarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Sultan Kelantan atau pihak yang bertanggungjawab.

“Kita perlu faham bahawa apa yang berlaku adalah urusan keluarga Diraja Kelantan dan segala-galanya adalah takdir Allah dan kita terima seada-adanya, Kita hanya merancang, Allah yang menentukan segalanya,” ujar beliau.



Sumber - Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB
pengarang@utusan.com.my

"Jangan BIADAP" Titah Sultan Selangor

Adab Dan Warisan Turun Temurun Perlu Dipelihara - Sultan Selangor

SHAH ALAM, 6 Mei -- Sultan Selangor bertitah bahawa adat dan warisan yang diamal sejak turun temurun perlu dipelihara dan dipraktikkan oleh semua kaum agar Selangor menjadi sebuah negeri yang mempunyai budaya sopan santun dan budi bahasa yang tinggi.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah apa yang dikatakan adab adalah menghormati ibu bapa, orang tua, jiran tetangga, ketua dan pemimpin selain berbudi bahasa serta tidak melakukan sesuatu yang boleh menyinggung perasaan dan maruah orang lain.

Sultan Selangor bertitah baginda menyentuh isu adab kerana dewasa ini gejala 'kurang beradab' berleluasa di kalangan masyarakat di negeri ini kononnya kerana masyarakat moden.

"Sayangnya kurang beradab ini dilakukan oleh mereka yang berjawatan besar dan penting, berkelulusan tinggi dan professional. Kurang beradab bukan sahaja dilakukan di tepi-tepi jalan tetapi juga di tempat mulia dan tinggi," titah Baginda pada perasmian Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) di sini, Rabu malam.

Baginda bertitah masyarakat berbilang kaum di negeri ini juga perlu memahami dan menghormati adat resam semua kaum bagi mengelakkan berlaku salah faham atau kekeliruan sekaligus mewujudkan kaharmonian dan kesejahteraan di kalangan masyarakat.

Sultan Sharafuddin bertitah baginda percaya adab yang diamalkan oleh nenek moyang sejak dahulu itu perlu diterap dalam sistem pembelajaran.

Baginda turut meminta Padat yang dilancarkan malam ini supaya bukan sahaja memelihara adat dan warisan Melayu di Selangor tetapi turut menunjukkan betapa pentingnya adab dalam masyarakat berbilang kaum.

"Beta mengharapkan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor dapat menumpukan perhatian kepada penerokaan, pengkajian, persembahan dan penonjolan Adat Melayu dan Warisan Selangor yang keasliannya dapat dipertahankan melalui usaha penyelidikan.

"Beta sedar adalah tidak mudah untuk menonjolkan intipati adat budaya yang bersusurgalurkan warisan negeri Selangor sepenuhnya," titah baginda.

Bagi mencapai matlamat ini, Baginda menyarankan Padat menjejaki dan mengenalpasti sumber-sumber Adat Budaya dan Warisan Selangor seterusnya melakukan penyelidikan saintifik ke atas penemuan-penemuan itu.

-- BERNAMA

Tuesday, May 4, 2010

Perlu Kaum Cina tonton filem IP MAN 2

RAJAMENANGIS ingin mengajak khasnya kaum keturunan Cina dan Warga Malaysia amnya agar dapat meluangkan masa menonton wayang "IP MAN II".(ditayangkan sekarang ) . RAJAMENANGIS berpendapat ia mengisahkan bukan sahaja seni mempertahankan diri Wing Chun di Hong Kong selepas perang dunia kedua, malah yang lebih penting lagi....ia memberikan gambaran sebenar adat budaya bangsa Cina yang cukup indah di era tahun 40an, semangat kemasyarakatan komuniti Cina di HK, semangat cintakan negara dan bangsanya (daripada penjajah British) dan semangat perjuangan orang-orang Cina yang cukup baik di fikirkan dan di kenangkan.

Dalam masa yang sama, selepas melihat wayang ini, bukankah sedih ciri-ciri tersebut seperti semakin pudar di kalangan kita di Malaysia...

Saturday, May 1, 2010

Tulisan pasal mimpi yang menggigit, bertaring, berpaksi...

Rajamenangis - Ini adalah satu gubahan "pasal mimpi yang menggigit, bertaring, berpaksi - mengasyikkan dan bermirip sangat kisah Melayu"



Mimpi rekayasa Melayu

(i) INTRO mimpi


Aduh, sukarnya jika harus memaksa mimpi. Tambahan pula jika mimpi ini mimpi ngeri. Malah menyeramkan. Sesiapapun akan menyanggah jika mimpi yang kupaksa ini kuceritakan.

Mimpi hanya mainan tidur. Aku tahu akan ungkapan klise itu. Akan tetapi mimpi ini memang kupaksa. Telah lama ini aku ingin bermimpi seperti ini. Dan akhirnya mimpi yang kupaksa ini terjadi juga. Mimpi ini menyiksakan. Terlalu menyiksakan jiwaku. Terlalu memaksa jiwa Melayuku.

Aduh! Aku tidak mahu mimpi begini sebenarnya. Terlalu berat. Bagaimanakah akan kuceritakan mimpiku nanti. Tapi, aku tidak mampu. Pagar mimpiku ampuh. Tidurku terlalu nyedar untuk bangun. Dingin dan selesa amat. Aku tidur dalam damai dan nyaman. Dan mimpiku berlangsung terus. Terus dan terus.

(ii) Latar mimpi

Latar mimpi ini tidak jauh dan tidak dekat. Sekitarku dan sekitar siapa-siapa. Sekitar orang Melayu. Sekitar aku kerana aku dan Melayu itu bersinonim. Dan silogismenya begini;

Aku bermimpi

Aku Melayu

Melayu bermimpi!

Aduhh..! Latar masa mimpiku panjang amat. Sejak zaman prasejarah, zaman kegemilangan Melayu, zaman Islam, zaman penjajahan, zaman ini, dan zaman akan datang. Melayu tidak hilang di dunia, kata Laksamana Hang Tuah. Kata orang ungkapan itu bukan kata Hang Tuah. Akan tetapi kata pengarang Hikayat Hang Tuah. Selama manapun, Melayu tetap ada, tetap wujud. Akan tetapi kewujudan itu tidak pasti. Benarkah? Atau mimpi sahaja yang berkata begitu?

Ruang lingkup mimpiku amat luas. Seluruh kepulauan Melayu dan seluruh ketamadunan Melayu. Seluruh orang Melayu, seluruh jiwa Melayu. Meliputi tanah semenanjung, kepulauan Indonesia, Mindanao, Madagascar, Sri Lanka, malah semua bumi yang pernah dikenali sebagai bumi Melayu. Sementelah orang Melayu telah memenuhi dunia Melayu ini. Semenjak 2500 sebelum masihi, telah datang orang Melayu. Kemudian datang satu gerombolan lagi, juga orang Melayu, membentuk bangsa Melayu, Banjar, Minangkabau, dan macam-macam lagi. Semuanya Melayu. Malah ada orang yang mendakwa bahawa Melayu juga pendatang seperti mereka. Jadi apa istimewanya Melayu? Melayu juga pendatang ke tanah bertuah ini, cuma Melayu datang jauh lebih awal.

Perjalanan mimpi di semua latar tempat dan masa amat pantas. Sekelip fikir. Semakin lama aku semakin pantas, meneroka setiap latar, merasai perbezaan, membuat perbandingan, menilai kewajaran, menolak dakwaan, menangkis tohmahan, menelan kebenaran, dan macam-macam lagi. Sehingga aku menjadi penat. Aduh, bangunkan aku segara dari mimpi ini. Aku penat. Aku tidak mahu bermimpi terus! Tapi mimpi ini berlarutan, berjela-jela!

(iii) Watak mimpi

Watak mimpiku satu tetapi banyak. Yang kukenal pasti ialah watak Melayu. Satu dan banyak. Satu tapi banyak. Banyak tapi satu. Banyak dan kurang. Satu dan kurang. Kurang daripada satu. Maknanya watak Melayu semakin kurang Melayunya. Jika kekurangan ini berterusan watak Melayu akan terus kurang. Kurang Melayu atau Melayu kurang. Aku cuma kaget dalam mimpi ini, apabila Melayu menjadi kurang dan kurang dan tiada lagi. Tiada!! Melayu tiada, Melayu hilang. Lupus. Jati diri Melayu lupus. Minda Melayu lupus. Bahasa Melayu lupus. Tanah Melayu...??! Aduh, jika benar semua yang Melayu miliki itu akan hilang, ke manakah arah Melayu, ke manakah arah aku kerana aku Melayu. Ya aku Melayu.

Watak-watak mimpi juga bersilih ganti. Akan tetapi semuanya watak Melayu. Adakala ada watak asing, bukan berkulit sawo matang tetapi cerah dan gelap. Gelap dan cerah. Semuanya bercampur-baur mewarna mimpi Melayuku. Yang cerah dengan mimpi cerahnya. Yang gelap dengan mimpi gelapnya. Tapi ini tetap mimpiku, mimpi Melayu.

(iv) Tema mimpi

Tema mimpiku tetap sama. Sejak dulu, kini, dan selama-lamanya. Tema Melayu. Akan tetapi aku takut untuk menghebahkan tema Melayu ini. Aku ingin mengubah Melayu. Aku ingin mengubah istilah Melayu! Aduh, aku sudah menceritakan. Maafkan aku kerana mimpi tidak tertakluk kepada akta, kepada undang-undang tubuh, kepada perlembagaan. Mimpiku memang bertemakan Melayu. Asal-usulnya Melayu itu berbagai-bagai teori yang ada. Katanya sempena Sungai Melayu di Jambi, yang airnya berlari deras dan selari pula dengan kata melayu dalam bahasa Jawa. Makna Melayu itu adalah berlari. Akan tetapi aku tidak pernah lari. Aku tetap di bumi Melayu ini. Tanah Melayu. Pantang sekali Melayu lari, walaupun jiwa mereka sudah mula lari.

“Mana Tanah Melayu?”

“Tanah Melayu telah tiada. Namanya sudah ditukar!”

“Kenapa ditukar nama Tanah Melayu itu?”

“Tanah Melayu sudah merdeka. Kemerdekaan menjadikan semuanya bebas. Tukarlah apa-apa sahaja, kerana kita semua merdeka…!! Kita semua sudah bebas! Orang merdeka dan bebas tidak memerlukan nama Melayu lagi. Sudah lebih setengah abad nama Tanah Melayu ditukar. Mana ada tanah Melayu lagi?”

Wah! Mimpiku kembali meladeni sejarah. Mengikut sejarah Tanah Melayu yang menerima kemasukan sesiapa sahaja kerana kemewahan Tanah Melayu. Datanglah! Datanglah ke Tanah Melayu. Kami orang Melayu tidak pernah ambil kisah. Datanglahh!!

Aku menangis dalam mimpi ini kerana Tanah Melayu tiada lagi. Tanah untuk orang Melayu tiada lagi. Kami bukan orang Tanah Melayu lagi. Kami sudah jadi orang Malaya! Sedap juga nama negara baharu kami. Malaya!! Ya, Malaya! Malaya pasti merdeka seperti kata Pak Afrini Adham. Merdeka!!!

Dan akhirnya Malaya memang merdeka. Tanah Melayu sudah tiada. Melayu semakin tiada. Semangatnya tiada. Kalau nama Tanah Melayu kekal, semangat Melayu sudah tentu berkobar-kobar. Orang Melayu pasti lebih sayang akan tanah mereka. Mereka tentu tidak akan menjualnya untuk mendapatkan wang, beras, pangkat, kedudukan, dan politik. Orang Melayu sudah pandai main politik, sebab itu negeri kita menjadi Malaya. Penjajahan mindakah itu? Bukan!! Inilah kemerdekaan.. Kita telah merdeka.

Akhirnya Malaya merdeka! Wahhh, seronok hidup dalam kancah kemerdekaan. Bebas! Bebas sampai ke bulu-bulunya, seperti kata sasterawan negara. Dan merdeka menjadikan Melayu terus berlari seperti arus Sungai Jambi. Ke mana arah?

Malaya sudah tidak enak lagi. Mari kita tukar nama Malaya! Mari kita tukar. Wah mimpi ini semakin menerawang jauh dan jauh. Maka suatu ketika dalam mimpi itu Malaya ditukarkan pula. Malaysia! Yehhhh..., kita ada nama baharu. Akan tetapi apakah makna Malaysia kepada orang Melayu. Bagus! Apakah makna Malaysia kepada orang atas angin? Bagus! Apakah makna Malaysia kepada orang bawah angin? Malay si a! Malay si a! Bagus! Bagus! Bagus! Semuanya bagus!

Waduh, jauh sudah destinasi mimpiku. Bermula dengan kedatangan Melayu Proto, Melayu Deutro, dan Melayu moden yang sudah hilang Melayunya. Kini aku orang Malaysia. 1 Malaysia, semuanya Malaysia. Bahasaku bahasa Malaysia. Bahasa Malaysia bahasa untuk semua. Walaupun tidak semua yang tahu bercakap dalam bahasa Malaysia. Masuk kandang mahkamah kena ada jurubahasa. Tulisan jawi sudah tidak ada. Yang ada tulis berjuring tajam tercacak-cacak, berpuntal-puntal. Bukan tulisan Rencong atau huruf Ka Ga Nga warisan persuratan Melayu dahulu. Asing tetapi menguasai. Wah.. semakin gawat mimpiku ini. Gawat mimpi Melayuku ini!

“Mana bahasa Melayu?”

“Bahasa Melayu telah mati…!”

“Mana tahu mati?”

“Kerandanya telah diusung sekian lama?”

“Di mana pusaranya?”

“Di mana-mana sahaja!”

“Kamu melampau. Sekarang orang sedang mengutamakan bahasa Melayu di sekolah!"

“Tapi pemimpin kita lebih senang cakap orang putih. Artis kita sangat fasih bercakap orang putih. Mereka Melayu tetapi cakap orang putih dalam majlis Melayu. Melayu sudah putih. Atau Melayu sudah putih mata.”

Mimpiku sudah mula melalut. Bahasa mana boleh mati! Verba volen scripta manent. Maknanya bahasa pertuturan akan terbang, bahasa tulisan akan kekal. Maksudnya bahasa Melayu yang tercatat pada naskhah lama akan kekal. Masalahnya naskhah lama Melayu juga sudah hilang, dibawa orang berkulit putih dan berkulit merah dalam era penjelajahan dan penjajahan. Semuanya dibawa pergi. Yang tinggal hanya bahasa pertuturan yang akan terbang. Verba volen scripta manent.

(v) Kemuncak Mimpi

Dalam binaan plot mesti ada kemuncak mimpi. Mimpiku sudah sampai ke kemuncaknya. Bukan kemuncak mimpi berahi. Kemuncak mimpi tentang jati diri, tentang bangsa sendiri.

“Aku mahu merekayasa bangsaku! Melayu perlu direkayasa! Melayu mesti direkayasa!”

“Engkau bermimpi…?”

“Ya, aku bermimpi ingin merekayasa bangsaku!”

“Bangsa tidak boleh direkayasa! Hanya orang politik yang boleh mengubah bangsa. Mereka telah mengubah bangsa kita dengan banyaknya. Mereka telah mengubah negeri kita dengan besarnya. Nama negeri kita berubah-ubah. Nama bahasa kita berubah-ubah. Dan mereka akan terus merubah. Kita hanya melopong menelan perubahan itu. Dan jauh sekali kita akan menentang. Kita orang baik. Pantang orang Melayu menderhaka. Pantang sampai dipijak kepala.

“Aku akan mengubah nama bangsaku!”

“Kerja gila!”

“Dalam mimpi tidak ada yang waras, tidak ada yang gila!”

“Ikut suka engkaulah! Selepas terjaga nanti, mimpi kau akan hilang juga.”

“Kadang-kadang mimpi akan menjadi kenyataan.”

“Kau melalut...!”

Mimpi semakin pekat dan hitam. Awan bergumpal memenuhi langit bumi Melayu ini. Tiba-tiba hujan turun. Lebat dan menghanyutkan kelodak di muka bumi Melayu ini.

Ketika aku menggigil kesejukan dalam mimpi itu, aku disapa oleh seseorang. Riak wajahnya dia seorang berbangsa sepertiku. Bercakap sebahasa denganku. Barangkali dia itu aku. Dia Melayu. Aku Melayu. Dia ialah aku.

“Siapa Tuan yang muncul selepas hujan?”

“Asal-usulku sama seperti kamu! Akan tetapi aku sudah bertukar nama bangsaku,” jawab orang itu jelas. Adakah dia itu aku?

“Tuan pastinya orang Melayu sepertiku! Tuan berbahasa Melayu,”

“Tidak! Aku mahu mengubah Melayuku..!!”

“Kalau tidak Melayu, kamu jadi apa?” tanyaku kepadanya, kepadaku.

“Apa-apa sahaja yang tidak melayu!”

“Melalut?!” Diam.

“Melatah?!” Diam.

“Melarat?!” Diam.

“Mela… yang?!” Diam.

“Mela… cur?!” Jegil tapi terus diam. Tetap diam kerana Melayu sekarang semakin pendiam.

Barangkali dia marah kerana cadanganku untuk menggantikan melayunya itu secara negatif, yang kotor-kotor. Buruk sekali fikiranku terhadap bangsanya. Bangsaku juga!

“Maafkan saya, Tuan..!” Masih takut aku. Masih terasa bersalah aku.

“Aku tidak mahu bangsaku dikaitkan dengan perkara yang buruk-buruk,” tegas orang itu dengan suara yang menggetarkan latar mimpiku. Aku terdiam, menyesali keceluparan. Ahhh… jika aku berbangsa Melayu begitu buruk tanggapan terhadap bangsaku, apatah lagi bangsa lain. Akan tetapi bahasa Melayu telah ditukar namanya. Adakah itu tidak bersalah? Sedangkan dalam perlembagaan, bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan. Ahhh….

Perlembagaan itu ciptaan manusia. Sedangkan kalam Tuhan juga sudah banyak yang mentafsirkan sesuka hati.

“Apakah nama yang Tuan cadangkan untuk menggantikan nama Melayu?” Tanyaku semakin berani. Aku memang berani sebab aku bermimpi. Dunia mimpi tidak ada gangguan, tidak ada undang-undang, tidak ada perlembagaan. Tidak ada mahkamah dalam mimpi. Tidak! Perlu apa aku berasa takut? Sedangkan di alam realiti orang sudah mula melanggar undang-undang, mempermainkan perlembagaan, dan mengeksploitasi agama. Semuanya untuk kepentingan sendiri. Aku hanya melakukannya dalam mimpi. Aku pasti. Aku hanya bermimpi.

“Menyegarrrr….!!!” Jawabnya pantas lagi yakin. Lancar sekali sebutannya.

“Menyegarrr…??!!” Kaget amat aku.

“Setiap kali kita menyebut nama bangsa, kita seperti mendoakan bangsa kita. Jika kita terus mendoakan bangsa supaya layu, maka akan layulah bangsa kita,” hujahnya. Dan aku tidak berkata apa-apa. Itu pandangannya, yang dilontarkan dalam mimpiku.

“Jadi, bangsa kita akan segar jika kita sebut Menyegar?!” tanyaku kelinglongan. Gawat. Nama bangsaku sudah termaktub dalam perlembagaan sebagai bangsa Melayu. Mana boleh ditukar-tukar. Jika ditukar, barangkali ada pihak yang akan menyaman RM100 juta orang yang berdiri di depanku ini. Dia itu sama denganku. Barangkali dia itu aku. Saman menyaman sekarang sudah menjadi budaya Melayu, terutama politikus-politikus Melayu.

“Apa bangsa kamu?” tiba-tiba orang itu bertanya.

“Mela… err, Menyegar…!!” jawabku terketar-ketar. Lantas orang itu ketawa berdekah-dekah. Mimpi yang kupaksa itu berkecai, menjadi puing-puing, dan hilang. Aku terbangun. Aku melompat untuk melihat wajah pada cermin. Aku melihat warna kulitku. Aku melihat mataku, melihat rambutku. Ternyata aku masih Melayu walaupun tidak ada nama bangsa dicatatkan pada wajahku. Aku berbahasa Melayu. Aku tetap Melayu. Aku menarik nafas lega kerana aku masih Melayu, yang sebenarnya Melayu.

(vi) Denouemen mimpi

Di luar, malam masih gelap, masih jauh dari sinar fajar yang pasti akan menyerlah jua. Aku ingin tidur kembali. Aku ingin memaksa mimpi datang lagi. Sekali lagi mimpi rekayasa Melayu, dalam versi yang lain pula, barangkali versi politik orang Melayu; kerana akhir-akhir ini politik Melayu penuh dengan igauan mimpi ngeri.



-2010 Utusan Malaysia -