ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Wednesday, June 6, 2012

Teks sejarah Melayu digarap semula: Rais

Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan akan memulakan usaha menggarap semula teks lama sejarah Melayu ke dalam bentuk penulisan moden agar mudah difahami dan dapat dijadikan bahan bacaan menarik untuk murid sekolah. 

Menterinya, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata bagi tujuan itu, kementerian akan bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi terutamanya Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
"Kita harus beri galakan supaya sejarah Melayu dijadikan sumber bacaan kepada murid-murid sekolah dan sekolah menengah agar teks lama diperbaharui tetapi penceritaannya tetap kita simpan dalam naratif asal.
"Dengan cara ini, kita akan dapat satu pemusatan minat yang baru. Jika sejarah Melayu dibiarkan dalam bentuk lama, ia tidak akan berkembang banyak," katanya kepada pemberita selepas melancarkan pameran Sulalatus Salatin Empayar Kesultanan Melayu Melaka karya Ismail Embong di Balai Seni Visual Negara di sini, hari ini. 

Ditanya mengenai sasaran tempoh masa kementerian bagi merealisasikan usaha memodenkan teks-teks sejarah lama, Rais berkata: "Ia bergantung kepada UPSI. Kalau dapat usahakan, kementerian akan beri galakan dan sumbangan yang setimpal. Tetapi kita perlu seorang dua yang berdedikasi untuk ikut semula teks asal dengan gaya bahasa baru." 

Mengenai pameran yang dilancarkan hari ini, Rais berkata ia adalah kali pertama penceritaan sejarah Kesultanan Melayu Melaka dibuat dalam bentuk lukisan. 

Katanya, karya itu amat bernilai kerana Ismail berjaya menyajikan pelbagai aspek sejarah kesultanan tersebut dengan menggunakan wajah-wajah generasi moden termasuk wajah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam lukisannya. 
Selain itu, Rais berkata kementerian juga akan membuat sebuah dokumentari khas berhubung sumbangan Ismail Embong yang pernah menjadi pelukis undangan ketika kementerian itu dikenali sebagai Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan. 

"Jika beliau setuju, kementerian akan memberikan beliau komisen untuk beliau lakukan dipiksi lukisan lain berhubung sejarah Melayu sebab ia mempunyai segmen penceritaan yang pelbagai rupa. Bukan hanya tentang Melaka dan asal usul kemelayuan...ini semua perlu diceritakan semula," katanya. 

Pameran itu mempersembahkan sebanyak 49 buah lukisan yang memaparkan peristiwa sejarah termasuk saat kegemilangan dan kejatuhan empayar Melaka pada abad ke-15, yang dirujuk daripada buku Sulalatus Salatin - Sejarah Melayu terbitan Dewan Bahasa dan Pustakan pada 1979. 

Ia dibuka secara percuma kepada orang ramai bermula hari ini sehingga 30 Jun di Galeri 1A, Balai Seni Visual Negara. Galeri pameran dibuka setiap hari dari jam 10 pagi hingga 6 petang. - BERNAMA

1 comment:

  1. Maka itulah sebabnya RajaMenangis menulis buku Air Mata Raja, jika YB DS Rais nak tahu!

    ReplyDelete