KUALA LUMPUR – Naskhah asli Perlembagaan Persekutuan adalah antara bahan yang dipamerkan dalam Pameran Raja Kita yang diadakan buat julung kalinya di Istana Negara lama sempena pertabalan Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14.Naskhah itu, yang dipamerkan buat pertama kali kepada umum, dan beberapa bahan dan alat kebesaran diraja adalah antara yang dipamerkan.
Hari ini, Tuanku Abdul Halim berkenan merasmikan pameran itu. Ketibaan Baginda dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah pada pukul 10.50 pagi disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.
Turut hadir Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Pertabalan dan isteri, Datin Seri Maznah Rais, beberapa menteri Kabinet serta perwakilan asing.
Selepas berkenan merasmikan pameran itu, Seri Paduka Baginda berdua kemudiannya dibawa melihat pameran diiring Perdana Menteri dan isteri sebelum berangkat ke majlis santapan.
Pada majlis itu, Tuanku Abdul Halim turut berkenan menyempurnakan penyampaian buku kecil ‘Raja Kita’ kepada empat orang pelajar berlainan bangsa sebagai simbolik rakyat 1Malaysia.
Terdahulu, baginda bertitah pameran itu mengembalikan kembali nostalgia baginda semasa bersemayam di istana itu sebelum ini.
“Beta gembira dan bangga kerana ianya diadakan di istana ini kerana banyak peristiwa bersejarah Yang di-Pertuan Agong berlaku di sini, Beta di sini pun menyingkap pelbagai kenangan dan nostalgia.
Beta berharap rakyat akan mendapat manfaat daripada pameran ini,” titah baginda.
Pameran yang diadakan setiap kali pertabalan Yang di-Pertuan Agong itu akan dibuka kepada orang ramai bermula esok sehingga 15 Jun dari pukul 9 pagi hingga 5 petang.
Sementara itu, dalam ucapannya Rais berkata pameran itu bertujuan bagi mengingatkan generasi muda supaya menghargai signifikasi institusi di-Raja kepada negara.
“Pameran ini adalah daya usaha memaparkan institusi di-Raja dalam lipatan sejarah Tanah Melayu, peranan Raja di dunia moden masih amat dirasai khasnya Raja Berperlembagaan,” katanya.
Selain pameran itu, Rais berkata pihaknya juga akan mengedarkan buku kecil ‘Raja Kita’ kepada sekolah di seluruh negara dan juga orang ramai dalam usaha mengembalikan pemahaman orang ramai mengenai fungsi institusi Raja dalam negara.
Ketika ditemui pemberita selepas majlis itu, beliau berkata, wujud budaya pada masa kini dimana ada pihak-pihak tertentu mempersenda dan mengetepikan keadaan dan mercu sebenar yang disimbol sistem beraja.
“Pihak ini akan sentiasa ada, pihak yang memperli sistem raja ataupun institusi kedirajaan itu, malah di Britain pun ada tetapi ada hadnya apabila seseorang itu pergi lebih jauh daripada sempadan undang-undang maka pihak berkuasa boleh mengambil tindakan.
“Tetapi pada masa ini lebih baik untuk kita ingatkan pihak-pihak ini daripada mengambil tindakan secara melulu, sebab itu saya katakan dalam pantun: Semenjak langsat tidak berbuah, Keduduk tidak berbunga lagi, Semenjak dapat gading bertuah, Tanduk lama tidak berguna lagi,” katanya. – Bernama
0 comments:
Post a Comment