ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Thursday, January 12, 2012

Saman Tengku Fakhry: KPN diminta buat pembelaan

KUALA LUMPUR 12 Jan. - Ketua Polis Negara dan tiga yang lain perlu memfailkan pembelaan masing-masing berhubung kes saman RM150 juta yang dikemukakan oleh adinda Sultan Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra terhadap mereka di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum 31 Januari ini.

Saman tersebut difailkan oleh Tengku Muhammad Fakhry pada 9 Disember tahun lalu kerana mendakwa ditahan secara salah di Istana Mahkota, Kubang Kerian, Kelantan, dua tahun lalu.

Peguam Kanan Persekutuan, Azizan Md. Arshad memberitahu pemberita, pihak Tengku Muhammad Fakhry pula perlu membalas pembelaan tersebut sebelum 13 Februari ini.

Menurut Azizan, tarikh itu ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar mahkamah itu, Norhatini Abd. Hamid ketika pengurusan kes saman itu di kamar beliau hari ini.

Norhatini juga menurut Azizan, menetapkan 14 Februari depan untuk pengurusan kes saman itu.

Tengku Muhammad Fakhry selaku plaintif menamakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, Ketua Pengawal Peribadi Sultan Kelantan, Asisten Supritendan Norazman Ismail, Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi dan PDRM sebagai defendan pertama hingga keempat.

Tengku Muhammad Fakhry mendakwa, anggota polis yang menahannya menggunakan senjata api untuk menakutkannya dan hanya membenarkan beliau keluar dari Istana Mahkota sejam kemudian tanpa membawa kenderaan itu.

Plaintif mendakwa penahanan tersebut sebagai mala fide (berniat jahat), menyekat hak asasinya, memberikan tekanan mental dan jiwa, memalukannya serta salah di sisi undang-undang. - UTUSAN

1 comment:

  1. Tak pasti samada kes ini adalah sama atau lain dengan kes dimana komando UTK polis intercept konvoi DYMM Sultan Ismail. Entah la mcm mana episod ini akan berakhir. Yang jelas, kita setia kepada kebawah duli Tuanku dan semoga Allah swt memberi petujuk dan hidayah akan jalan keluar yang sebaik baiknya.

    ReplyDelete