ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Wednesday, January 11, 2012

Agar Amalan Tidak Sia-sia

Setiap daripada kita tentu tidak mahu sekiranya apa yang kita amalkan daripada setiap amal-amal kita sehari-hari menjadi sia-sia dan tidak diterima oleh ALLAH SWT. Sedangkan kita telah berusaha bersungguh-sungguh dan menghabiskan segenap kudrat untuk melakukan dengan sebaik-baiknya.

Tidakkah kita bimbang menjadi orang yang sia-sia amalannya lalu menjadilah kita orang-orang yang rugi di akhirat kelak? ALLAH SWT berfirman, “Katakanlah (wahai Muhammad), “Adakah perlu kami beritahu kepadamu tentang orang yang paling rugi amalannya?” Iaitu orang-orang yang sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia sedangkan mereka beranggapan telah melakukan yang sebaik-baiknya.” (Surah al-Kahfi, 18: 103-104)
Kata al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H), “Ayat ini bersifat umum mencakupi setiap orang yang beribadah kepada ALLAH tetapi tidak menggunakan cara yang diredhai-NYA. Mereka beranggapan apa yang dilakukannya telah benar dan amal perbuatannya akan diterima, tetapi rupanya sangkaan mereka meleset dan amalnya pun ditolak.

Firman ALLAH, “... orang-orang yang sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia...” Maksudnya, mengerjakan amal yang bathil yang tidak bersesuaian dengan syariat yang telah ditetapkan dan diredhai serta diterima.
Firman ALLAH, “... sedangkan mereka beranggapan telah melakukan yang sebaik-baiknya.” Maksudnya, mereka menyangka bahawa mereka akan mendapat suatu manfaat dan mereka menyangka mereka adalah orang-orang yang diterima amalnya dan dicintai oleh ALLAH.” (Tafsir Ibnu Katsir, 5/202)

Pada hari ini ramai dari kalangan kita berlumba-lumba untuk beramal ibadah dengan semaksimum yang mungkin. Ibadah adalah sebahagian dari bentuk-bentuk amal usaha mengabdikan diri kepada ALLAH, TUHAN YANG MAHA ESA yang kepada-NYA sahaja kita memperhambakan diri serta meraih keredhaan dan rahmat-NYA.

Umumnya, sikap berlumba-lumba dalam amal ini adalah sikap yang sangat positif dan perlu dipandang baik. Di saat banyaknya kelompok manusia yang mengabaikan amal-amal ibadah sama ada yang wajib, fardu, atau sunnah, sikap sebahagian umat Islam lainnya yang berlumba-lumba dalam beramal kebaikan adalah wajar diikuti dan dicontohi.

Namun, dalam keghairahan kita beramal dan beribadah, adakala kita mungkin terlupa beberapa aspek utama yang menjadi tunjang diterimanya sesuatu amalan tersebut.


Pengertian ibadah

Ibadah kepada ALLAH TAALA adalah segala sesuatu yang apabila kita melaksanakannya atau meninggalkannya ia akan dicintai dan diredhai oleh ALLAH SWT.

Setiap amal ibadah diikat dengan beberapa syarat. Setiap amal ibadah perlu dilaksanakan dengan dalil, iaitu mengikuti sunnah. Amal ibadah tidak boleh direka mahupun diada-adakan.

Para ulama menyatakan bahawa, “Penetapan dalam ibadah adalah dengan mengambil dari apa yang telah ditetapkan (oleh dalil).” (Fathul Bari Syarah Shahih al-Bukhari, 2/80)

Kemudian, setiap amal hendaklah dilaksanakan dengan ikhlas semata-mata kerana ALLAH dengan tidak mensyirikkan-Nya. Syarat dan kriteria asas inilah yang bakal menentukan sama ada amal-amal kita diterima oleh ALLAH ataupun tidak.


Mengikuti sunnah

Suatu perkara yang amat penting adalah melakukan amal ibadah itu dengan berpandukan al-Qur’an dan as-Sunnah. Tidaklah diterima suatu amalan jika tidak terdapat contohnya (atau saranannya) dari al-Quran dan as-Sunnah. Maka, jika sesuatu amalan yang dilakukan itu tidak terdapat saranannya dari dua sumber tersebut, maka ia bukanlah dari Islam walaupun ia diniatkan kerana ALLAH SWT.

ALLAH SWT berfirman, “Katakanlah (wahai Muhammad kepada mereka), “Jika kamu (benar-benar) mencintai ALLAH ikutilah aku, nescaya ALLAH mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.”.” (Surah Ali ‘Imran, 3: 31)
Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H) menjelaskan melalui tafsirnya:

“Ayat yang mulia ini menghukumi setiap mereka yang mengaku mencintai ALLAH tetapi mereka tidak mengikuti petunjuk Muhammad SAW. Maka jelaslah pengakuannya itu hanya suatu pendustaan sehingga mereka mengikuti syariat Muhammad dan agama nabawi di dalam setiap ucapan dan perbuatannya. Ini adalah sebagaimana yang terdapat dalam kitab sahih daripada Nabi SAW (katanya):

“Sesiapa yang melakukan suatu amal yang tidak ada perintahnya daripada kami, maka amalan tersebut tertolak (tidak diterima).” (Hadis Riwayat Muslim).” (Tafsir Ibnu Katsir, 2/32)

Dalam ayat yang lain, ALLAH SWT menjelaskan, “Jika datang kepada kamu petunjuk daripada-Ku, maka sesiapa yang mengikut petunjuk-Ku itu nescaya dia tidak akan sesat dan dia tidak akan menderita (dengan azab sengsara).” (Surah Thoha, 20: 123)

Dalam usaha mengikuti sunnah ini, tidak dapat tidak seseorang itu perlu terlebih dahulu mempelajari sunnah itu sendiri. Maka, dari sinilah pentingnya aspek ilmu. Supaya apabila kita berilmu, kita akan dapat mengenal pasti apa yang sunnah dan apa yang bukan.

Tidaklah nanti kita hanya bersangka-sangka sahaja suatu amalan itu sunnah dan mendatangkan kebaikan, tetapi rupanya tidak. Dengan ilmulah kita mampu mengenal pasti sumber-sumber yang betul dalam mengambil sunnah dan agama ini, mengetahui sesuatu hadis itu sahih atau pun tidak, memahami maksud suatu hadis, memahami tafsir ayat-ayat al-Quran, dan seumpamanya.

Sebagai contoh, pada hari ini ada sebahagian umat Islam yang mengamalkan zikir-zikir harian tertentu yang tidak diketahui sumber ambilannya, kaifiyat tatacaranya, dan fadilatnya. Contohnya, ada yang mengamalkan bacaan tahlil (laa ilaaha illallah) sehingga 10000 kali setiap hari dan berkeyakinan padanya memiliki fadilat-fadilat tertentu jika diamalkan dengan jumlah tersebut. Kemudian ada juga yang mengamalkan selawat syifa’ di setiap kali sebelum tidur supaya dijauhkan dari pelbagai penyakit.

Tetapi bila diteliti, kita pun tidak tahu dari mana datangnya kaedah dan bentuk-bentuk pengamalan zikir-zikir seperti ini. Tidak dari sunnah, tidak juga dari amalan para sahabat Rasulullah.
Ikhlas dan tidak syirik

Setiap amal ibadah yang hendak dilaksanakan mestilah di atas landasan aqidah Islam yang suci murni dari segala bentuk kesyirikan serta ikhlas semata-mata kerana ALLAH SWT. Setiap amal yang dilakukan di luar ruang lingkup aqidah Islam dan keikhlasan yang tulus, maka ia akan menjadi sia-sia.

ALLAH SWT berfirman, “Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepada engkau (Wahai Muhammad) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripada engkau: “Demi sesungguhnya, sekiranya Engkau (dan pengikut-pengikutmu) berbuat syirik, sudah tentu segala amalanmu akan terhapus, dan engkau akan tetap menjadi orang-orang yang rugi.”.” (Surah az-Zumar, 39: 65)

Oleh itu, bagi kita yang memiliki semangat dan keghairahan dalam beramal hendaklah memberi perhatian dan penekanan dalam dua aspek utama ini. Di samping berusaha bersungguh-sungguh mengikuti sunnah, dia juga perlu bersungguh-sungguh menjaga kemurnian aqidahnya dengan menjauhi segala bentuk syirik kepada ALLAH.

Jangan nanti beramal separuh mati, tetapi dalam hatinya bercampur dengan riak, aqidahnya bergelumang pula dengan kepercayaan-kepercayaan syirik seperti mendustakan takdir, mempercayai ramalan bintang (horoskop), terlibat dalam perbomohan, tangkal dan pelbagai bentuk bidaah khurafat. Takut-takut kita menyangka telah berbuat sebaik-baiknya, tetapi rupanya sia-sia belaka. Wallahualam.


Abu Numair Nawawi Subandi
http://an-nawawi.blogspot.com
* Biro Multimedia & Penerbitan Sekretariat ILMU.

0 comments:

Post a Comment