ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Monday, October 31, 2011

Elak sertai silat berunsur mentera

ALOR SETAR: Ibu bapa di negeri ini disaran agar mengawal anak-anak mereka daripada menyertai seni mempertahankan diri atau silat yang mempunyai unsur-unsur 'mentera' yang terpesong daripada akidah Islam.


Presiden Silat Pesaka Kedah, Datuk Latt Shariman Abdullah, berkata ibu bapa perlu lebih berhati-hati serta mengenal pasti terlebih dahulu jenis silat sama ada mempunyai bacaan mentera atau tidak sebelum membenarkan anak-anak mereka menyertainya.


Katanya, beliau memandang serius perkata itu kerana ia boleh memudaratkan diri pesilat serta boleh mengakibatkan berlaku kejadian yang tidak diingini terhadap masyarakat sekeliling.


"Saya berharap agar ibu bapa prihatin mengenai masalah tersebut agar anak-anak tidak terbabit dalam kegiatan persilatan yang memesongkan akidah umat Islam di negara ini," katanya pada sidang media dekat sini malam tadi. Katanya terdapat kira-kira 300 pertubuhan silat di negeri ini yang mempunyai anggota berdaftar sebanyak 50,000 orang.


Latt Shariman berkata, generasi muda digalakkan mempelajari ilmu mempertahankan diri sebagai persediaan untuk mempertahankan diri daripada sebarang ancaman penjenayah. 
Katanya, mereka yang mempelajari ilmu persilatan ini dapat mendisiplinkan diri serta dapat memupuk nilai murni masyarakat Melayu yang kian hilang pada hari ini.


Terdahulu, Latt Shariman turun padang berkunjung ke Gelanggang Silat Kuntau Patani di Kampung Sungai Batang, Tambak Bunga, Kuala Kedah dekat sini bagi mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh pesilat dan jurulatihnya.


Latt Shariman yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah turut meluluskan peruntukan untuk membaik pulih gelanggang silat di kampung itu bagi membolehkan mereka melakukan latihan dengan lebih selesa. - BERNAMA

0 comments:

Post a Comment