OKINAWA 27 Okt. - Ahli arkeologi marin percaya bangkai sebuah kapal purba yang ditemui di dasar kawasan perairan Nagasaki, Jepun adalah sebahagian daripada armada purba milik Raja Mongolia kurun ke-13, Kublai Khan yang hilang, lapor stesen CNN.
Bangkai tersebut ditemui kira-kira 25 meter dari pantai Nagasaki, menggunakan peralatan ultrabunyi. Ahli arkeologi percaya kapal purba itu digunakan pada 1281 dan merupakan sebahagian daripada 4,400 armada Raja Mongolia yang ditugaskan sebagai pasukan penjajah ketika pemerintahan Dinasti Yuan.
‘‘Penemuan bangkai kapal dengan lunas sepanjang 12 meter dan masih dalam keadaan baik itu akan membantu pengkaji mengenal pasti ciri dan sifat kapal perang sepanjang 20 meter tersebut,’’ ujar CNN yang memetik ketua pasukan penyelidik yang menemui kapal itu, Yoshifumi Ikeda. Ikeda berkata, pihaknya merancang memperluaskan usaha-usaha penerokaan kawasan itu dan mencari lebih banyak maklumat bagi membantu mengembalikan kapal purba itu ke bentuk asal.
CNN melaporkan berdasarkan legenda Jepun, dua taufan dikenali sebagai Kamikaze menyelamat Jepun sebanyak dua kali dalam tempoh tujuh tahun daripada dua penjajahan armada Mongolia dengan memusnahkan kapal-kapal berkenaan.
China bagaimanapun tidak terselamat apabila diperintah Dinasti Yuan Mongolia antara 1271 hingga 1368.
‘‘Menurut buku bertajuk Lost Fleet: In Search of a Legendary Armada oleh ahli arkeologi, James P. Delgado mengenai Kublai Khan, kemusnahan 4,000 kapal penjajahan Dinasti Yuan yang mewujudkan kuantiti besar serpihan bangkai, membolehkan seseorang berjalan dari satu lokasi di darat ke lokasi kemusnahan itu,’’ ujar CNN.
CNN melaporkan, kapal purba itu diperbuat dari papan kayu dan dipercayai dicat dengan warna kelabu cerah merupakan antara lebih 4,000 artifak termasuk serpihan seramik, bata, peluru meriam dan sauh diperbuat daripada batu, ditemui di lokasi berkenaan.
‘‘Penemuan artifak itu menimbulkan kaitannya kepada armada penjajahan Dinasti Yuan,’’ kata CNN. – Agensi
0 comments:
Post a Comment