Tidak munasabah diperjuang ‘kesamarataan’
Datuk A Aziz Deraman ialah Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa PustakaPERPADUAN tidak mungkin dibina atas tapak-tapak perbezaan. Jika perbezaan kekal menjadi teras perjuangan kaum seperti gerakan politik kerakusan kuasa sekarang, maka selama itulah perpaduan bangsa Malaysia akan sukar dicapai.
Perpaduan perlu dibina di atas tapak-tapak persamaan dan prinsip-prinsip kesatuan. Sebagai sebuah negara bangsa, perpaduan di Malaysia dipupuk melalui kecintaan negara dengan semangat patriotisme dan jiwa bangsa Malaysia yang kukuh. Fahami tonggak-tonggak kenegaraan yang satu.
Kita memiliki satu pemerintahan dengan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara, satu sistem politik ‘demokrasi berparlimen raja berperlembagaan’, satu Ketua Kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, satu agama negara, satu bahasa negara, satu lagu negara, satu bendera negara dan banyak lagi lambang-lambang kesatuan kebangsaan yang menjadikan kita satu bangsa Malaysia dan satu negara Malaysia. Itulah juga maknanya gagasan 1Malaysia.
Realiti Malaysia sebagai sebuah negara pelbagai kaum, etnik, agama, budaya, bahasa dan warisan dianggap begitu menyukarkan pengurusan dan pentadbiran kerajaan. Keunikan situasi ini jarang terdapat di negara-negara lain. Sungguhpun begitu kejayaan Malaysia membangunkan kemakmuran ekonomi dan membina bangsa dengan kesejahteraan sosial dan kedamaian hidup dikagumi timur dan barat.
Formula Malaysia selama ini dijayakan dengan tindakan menterjemahkan aspirasi Perlembagaan ke dalam dasar-dasar yang pragmatik di bidang ekonomi, sosial, pendidikan, kebudayaan dan sebagainya sejak kemerdekaan. Dasar-dasarnya bermatlamatkan perpaduan dan mengimbangi kedudukan kehidupan kaum secara adil seperti membasmi kemiskinan dan peluang pendidikan buat semua. Peristiwa berdarah 13 Mei 1969 menjadi bukti bahana politik perkauman dan kehancuran perpaduan. Situasinya diperbetulkan kerajaan antaranya melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) 1971-1990.
Perlembagaan sudah menetapkan yang mana hak-hak negara dan dengan jaminan yang mana hak-hak kaum. Di dalam Perlembagaan, ada peruntukan tentang pembahagian kuasa antara Persekutuan dengan negeri, antara perundangan, kehakiman dengan eksekutif, antara istilah rasmi dengan bukan rasmi serta sudah terisi segala peruntukan sesuai dengan amalan konsep negara ‘persekutuan’ yang kita pegang. Jadi, sebenarnya tidak diperlukan sekali-kali perjuangan hak-hak kaum untuk disamakan tempatnya dengan hak-hak negara atau hak-hak kebangsaan.
Maknanya tidak munasabah diperjuangkan ‘kesamarataan’, misalnya untuk status rasmi bagi pelbagai bahasa, pelbagai agama rasmi atau menyamaratakan semua perkara termasuk mencari formula baru untuk siapa yang harus menjadi Ketua Negara. Fahaman itu sangat merbahaya dan akan hanya memusnahkan konsep kenegaraan Malaysia atau akan meleburkan aspirasi 1Malaysia itu sendiri dengan prinsip penerimaan, teras Perlembagaan dan pegangan kepada Rukun Negara serta keadilan sosial.
Soalnya, kenapa setahun dua mutakhir ini timbul kekecohan tentang perpaduan dan setelah lebih lima dekad merdeka masih ada yang tidak memahami atau sengaja buat tidak faham tentang aspirasi Perlembagaan serta natijah sebuah kontrak sosial. Ada sahaja isu-isu negara dilaga-lagakan dengan isu-isu kaum dan tuntutan politik perkauman. Sepatutnya seluruh lapisan rakyat dari para pemimpin atasan sampai ke pemimpin bawahan, pimpinan kerajaan atau pembangkang, institusi dan organisasi memahami, menerima dan meraikan hakikat kepelbagaian kita di Malaysia.
Pada masa yang sama dengan penuh komitmen, kesedaran dan keinsafan tanpa rasa jemu dan penat lelah menegakkan ‘kesatuan dalam kepelbagaian’ itu. Diibaratkan pada bulatan-bulatan yang bertumpang tindih, lihatlah di mana garisnya bertindih, maka di situlah ada ruang-ruang persamaan yang di kongsi bersama. Analoginya boleh juga disamakan kepada sebuah sungai besar, bagaimana pertemuan (confluence of rivers) segala anak-anak sungainya ke arus aliran besar tadi.
Apakah susah sangat bagi kita membezakan persamaan dengan perbezaan? Kita boleh bersatu dan kita akan lebih berpadu di atas tapak-tapak persamaan bukannya perbezaan, menyepakati satu citra jati diri bangsa dan matlamat negara yang sama. Jangan lupa sejarah dan masing-masing diri kita.
Penekanan pembangunan memang tidak semata-mata ditujukan kepada pembangunan ekonomi. Kita perlukan kesejahteraan hidup, material dan fizikal sebagai aspek luaran kehidupan manusia, tetapi juga pembangunan sosial dan pembinaan budaya. Pembangunan modal insan secara holistik dan multidimensional dari sudut minda dan nilai-nilai budaya menjadi sebahagian daripada transformasi spiritual bangsa.
Kita tidak bersatu hanya melalui kemajuan fizikal seandainya spiritual kita sifar nilai-nilai budaya murni, berjiwa hamba, kosong dengan jati diri kenegaraan, kehakisan patriotisme atau seumpamanya. Itulah ertinya keperluan pembinaan negara (nation building). Di ruang inilah gagasan 1Malaysia patut diperhatikan, ada kemajuan dan transformasi besar negara selain ekonomi dan pentadbiran, adalah juga menerusi strategi sosio-budayanya hatta bagaimana pelbagai bentuk kesenian kebangsaan itu dimanfaatkan mendidik nilai-nilai perpaduan, keperibadian dan kemanusiaan Malaysia. Rakyatnya bangga terhadap negara sendiri dan bukan menjadi alat bagi acuan identiti negara asing.
Keutuhan negara bangsa Malaysia dan perpaduannya hendaklah ditunjangi perkongsian ‘ikatan-ikatan persamaan’ yang dikongsi secara sedar dan insaf bukannya ‘kesamarataan’. Kehidupan berbangsa dan bernegara itu ditunjukkan oleh citra persamaan lambang, institusi nasional, perundangan; keperibadian bangsa dan kejatidirian negara; nilai-nilai kebangsaan yang dikongsi bersama; kesetiaan politik (political loyalty); rasa keyakinan diri sebagai satu bangsa; nilai-nilai akhlak, moral, etika yang kukuh; demokratis; liberal bertoleransi dalam konteks penerimaan; adil dan saksama tidak semesti kesamarataan; progresif dan makmur; serta daya saing, daya tahan, tangkas, dinamis (psikologikal) dan sebagainya.
Ikatan persamaan dalam konteks geopolitik itu seperti mana aspirasi Perlembagaan Negara sudahpun membentuk kita sebagai satu bangsa dan satu negara. Itulah keluhuran sebuah undang-undang tertinggi negara.
Kewujudan sebuah bangsa Malaysia yang diidamkan sejak kemerdekaan akan menjadi nyata melalui perkongsian nilai-nilai hidup bersama. Di situ muncul makna sebuah perpaduan bangsa dan kesatuan negara. Rakyat asal Malaysia yang dominannya Melayu dan suku bangsa serumpunnya seperti Iban, Kadazandusun, Bidayuh, Bajau, Melanau, Murut dan puluhan yang lain perlu terlebih dahulu menyatukan diri ke dalam keserumpunan umat besarnya.
Perpaduan dan hubungan keharmonian kaum bermula dan terletak di bahu Melayu serumpun itu.
(C) 2010 OLEH Datuk A Aziz Deraman ialah Bekas Ketua
Pengarah DBP/Mantan Ketua Pengarah Kebudayaan,
Ahli JK Gapena dan Penasihat Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan (Puspa)
0 comments:
Post a Comment