ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Thursday, March 5, 2009

Nantikan kemunculan...

Buku bertema sejarah ini “Rajamenangis – menjejaki takhta yang hilang” (judul sementara) berkenaan Kesultanan Melaka dipenuhi semangat, keterujaan dan aspek budaya yang tinggi. Novel setebal 700 mukasurat ini juga adalah sebuah pengkisahan semula Sejarah Melayu yang dikarang dan disusun oleh Tun Seri Lanang. Ia memaparkan Bendahara Paduka Johor itu sebagai pencerita, dan di dalam proses periwayatan itu mengandungi fakta benar berdasarkan kajian kami.

Buku ini memperlihatkan kisah perjuangan Raja-Raja Melayu sejak akhir kurun ke 14. Dalam konteks lain, institusi Raja ‘Diperkasakan’ kembali. Buku ini merupakan satu cita-cita murni, berdasarkan pendapat bahawa sebuah novel yang baik seringkali lebih berjaya memperkayakan pengalaman seseorang daripada buku sejarah yang terlalu ilmiah. Ini adalah kerana novel membawa mesej ke lubuk jiwa dan menembusi sanubari manusia. Novel baru ini juga turut memartabatkan Negeri Melaka dan Johor sebagai titik permulaan tumpahnya darah Raja-Raja Melayu secara falsafah dan simbolik. Dengan perspektif yang berbeza, novel ini diharapkan dapat memberi pengertian baru kepada buku Sejarah Melayu yang merupakan kebanggaan kita semenjak berabad yang lalu. Selain itu, ia dilihat sebagai satu pendekatan bagi membolehkan kaum bukan Melayu mengecapi intipati sejarah silam negara serta Kesultanan, Ketuanan dan Budaya Melayu khususnya..

Buku ini juga diharapkan mampu memperluaskan lagi kepustakaan Bahasa Melayu dan sekaligus mempamerkan ciri-ciri budaya tinggi dan adat Melayu yang halus berseni meliputi ruang lingkup yang cukup menyeluruh dan mendebarkan. Golongan generasi muda terutamanya, yang seringkali melihat sejarah sebagai sesuatu yang membosankan dan tidak mencabar minda, mesti dihampiri supaya terpeliharalah unsur kekayaan cerita Sejarah Melayu itu sendiri. Buku ini dirancangkan agar menjadi satu karya besar moden dalam bentuk genre historical-fiction yang mengambil 3 tahun untuk difikirkan dan diikhtiarkan.

Novel ini mengisahkan suatu bibit dalam memori kecintaan dunia Melayu yang tiada pernah ada penghujungnya. Dalam keasyikan kami mengisahkan ceritera ini, maka berlakulah beberapa perkara yang kami anggap aneh dan begitu meresap ke sanubari. Ia menjadi satu fenomena mistikal dan cuba kami paparkan lewat kisah-kisah yang terjadi dalam buku ini.

Keunikan novel ini terpancar daripada aspek penyampaian sejarah melalui igauan fiksi-realisma yang seterusnya menjadi cerminan antara realiti sedar dan impian mistik. Kisah Raja Melayu perlu disampaikan. Ada cerita yang wajar dikongsi buat tatapan seluruh generasi….ia bukan sekadar sebuah kisah tetapi di sebaliknya ada pembongkaran yang ekskusif!!

0 comments:

Post a Comment