Karya Air Mata Raja

Hayati penceritaan Tun Seri Lanang mengarang buku Sulalatus Salatin pada tahun 1612. Juga kisah hidup 23 pewaris Sultan Mahmud Shah Melaka dari tahun 1511 sehingga 2007. Sebuah naskhah terbitan DBP yang tiada yang lain seumpamanya.

Kesultanan Melayu

Sembilan buah negeri yang masih bersultan mencerminkan sebuah institusi yang terus kukuh. Sultan Melayu lambang keagungan Empayar Melayu Islam satu waktu dahulu. Sultan tonggak agama Islam buat orang Melayu.

Pelancaran Buku Air Mata Raja (Melaka)

Dilancarkan pada 17 Oktober 2011 oleh mantan Ketua Menteri Melaka YAB Datuk Seri Mohd Ali Rustam semasa berlangsungnya Seminar Melaka Merentas Zaman. Ia dianjurkan oleh IKSEP (institut Kefahaman Sejarah dan Patriotisme Malaysia) dengan kerjasama agensi kerajaan yang lain.

Pelancaran Buku Air Mata Raja (Singapura)

Dilancarkan pada 20 September 2013 oleh Encik Hawazi Daipi (Singapore Member of Parliament) di Restoran Mamanda, Sultan Gate, dalam suasana istana yang menarik, diisi dengan persembahan seni oleh para pelajar dari Politeknik Republik. Penghargaan buat Puan Masmunah dan Tuan Zulkarnine.

Anugerah Buku PNM-RTM

Buku 'Air Mata Raja' telah memenangi Anugerah Buku PNM-RTM (Perpustakaan Negara Malaysia dan Radio Televisyen Malaysia) pada 3 Oktober 2013. Ia telah disempurnakan oleh Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia di Angkasapuri, Kuala Lumpur.

ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Tuesday, April 13, 2010

KENYATAAN RAJAMENANGIS TENTANG PENUBUHAN BADAN ANTARA AGAMA

Kumpulan Rajamenangis bersetuju dengan pandangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (PERKASA) bahawa Jawatankuasa Khas Untuk Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Agama yang ditubuhkan oleh kerajaan wajar difikirkan dengan lebih teliti.

Kami juga bersependapat dengan PERKASA bahawa isu penubuhan Jawatankuasa tersebut hendaklah mendapat perkenan Raja-Raja Melayu terlebih dahulu kerana ia melibatkan isu-isu Islam sebagai agama rasmi negara dan banyak perkara sensitif akan berbangkit. Jika hal ini tidak ditangani dengan sewajarnya, kami bimbang bahawa ia mungkin mencetuskan isu-isu yang kurang disenangi oleh alim ulama di Malaysia termasuklah Raja-Raja Melayu yang menjadi ketua agama Islam di negeri masing-masing dan Yang Dipertuan Agong bagi negeri-negeri lain.

Sehubungan dengan itu juga, Kumpulan Rajamenangis berasa khuatir kerana sejak kebelakangan ini, pendapat atau pandangan Raja-Raja Melayu tidak dipinta apabila kerajaan mencadangkan sesuatu inisiatif yang menyentuh orang-orang Melayu, agama Islam dan ekonomi mereka. Dalam jangkamasa panjang, ini boleh melemahkan peranan Yang Dipertuan Agong dan Raja-Raja Melayu dalam menjalankan kewajipan mereka memelihara kepentingan orang-orang Melayu, agama Islam dan seterusnya ekonomi mereka.


Sunday, April 11, 2010

TUJUH WASIAT RAJA RAJA MELAYU

Teks titah Raja Muda Perak, RAJA DR. NAZRIN SHAH di Seminar Antarabangsa Legasi Pemikiran syed Hussein Alatas di Dewan Pemikiran Syed Hussein Alatas di Dewan Bahasa dan Pustaka (petikan Utusan Malaysia).

BETA bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin dan rahmat dari-Nya juga, Beta dapat berangkat untuk menzahirkan titah sempena Seminar Antarabangsa Legasi Pemikiran Syed Hussein Alatas seterusnya menyempurnakan pelancaran karya-karya terpilih tulisan Allahyarham yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dan dicetak buat kali ketiga.

Tiga karya tersebut adalah pemerhatian dan kupasan Allahyarham yang menyentuh Mitos Peribumi Malas, Intelektual Masyarakat Membangun dan Rasuah, Sifat, Sebab dan Fungsi. Seminar ini berlangsung dalam dua persekitaran yang sangat signifikan

Persekitaran pertama: Persekitaran masa bahawa seminar ini diadakan dalam suasana negara akan menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-52. "Kemerdekaan" itu mempunyai pelbagai erti dan terdedah kepada pelbagai fahaman.

Zurinah Hassan dalam puisi beliau berjudul Kemerdekaan mengingatkan bahawa 'kemerdekaan' bukan sekadar gegak gempita menurunkan Union Jack atau setiap 31 Ogos dengan perbarisan raksasa dan kibaran bendera pada tiang tertinggi di dunia.

`Kemerdekaan' itu sewajarya mengingatkan warga kepada nama-nama Dol Said, Maharaja Lela, Pandak Endut, Dato' Sagor, Ngah Jabur, Bahaman, Tuk Gajah, Mat Kilau, Tuk Janggut, Tunku Kudin dan ratusan patriot tak bernama, bermandi darah bergadai nyawa untuk membayar harga yang termahal, harga kemerdekaan negara.

`Kemerdekaan' itu sangat besar pengertiannya dalam pemikiran, pendirian dan amalan harian Syed Hussein Alatas kerana Syed Hussein itu sendiri adalah nama atas batang tubuh yang berumahkan jiwa merdeka.

Jiwa merdeka yang memiliki minda yang teguh berpegang kepada prinsip kebebasan berfikir. Prinsip kebebasan berfikir yang dijadikan kompas penting memandu arah kehidupan beliau di samping berusaha untuk menjadi nakhoda membantu pemikiran bangsanya dalam melayari lautan hidup yang penuh gelora.
Gelombang perjuangan kemerdekaan senantiasa berombak di dadanya, demi memastikan terbinanya warga merdeka -- bangsa merdeka di atas bumi yang telah diisytiharkan sebagai sebuah negara merdeka.

Jiwa merdeka dan minda merdekanya berlabuh dengan identiti bangsa -- bersauh dengan syariat agama, terus menuntut kepada keadilan sosial, supaya kemerdekaan itu dapat diterjemahkan kepada kemakmuran serta kebahagiaan agar bangsanya tidak tertindas lagi dalam bentuk perhambaan baru.
Dalam persekitaran menyambut ulang tahun kemerdekaan negara bangsa, sewajarnyalah fakta-fakta utama dalam perjalanan menuju kemerdekaan itu dipastikan tidak terpadam daripada sejarah.

Sesungguhnya tarikh 5 Ogos yang berlalu semalam, tarikh berlangsungnya seminar ini adalah tarikh keramat, tarikh yang amat penting dalam sejarah kemerdekaan negara bangsa di tanah dan air yang bernama Tanah Melayu.
Hubaya-hubaya bangsa, bahawa pada tarikh 5 Ogos 1957, Duli-Duli Yang Maha Mulia sembilan Raja-Raja Melayu sebagai Raja Pemerintah dari empat 'Negeri Melayu Bersekutu' dan lima 'Negeri Melayu Tidak Bersekutu' telah memberikan perkenan menurunkan tanda tangan persetujuan kepada pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dengan memahat Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu yang berbunyi:

Wasiat Raja-Raja Melayu tersebut disampaikan sebelum Merdeka kepada rakyat Melayu yang merupakan rakyat asal dan subjek Raja-Raja Melayu adalah seperti berikut:
"Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami tujuh perkara yang mans jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan aman dan damai dan selamat sejahtera."

TUJUH PERKARA ITU ADALAH:
Pertama:
Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumf yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung PERSEKUTUAN TANAH MELAYU (sekarang dikenali dengan nama MALAYSIA).

Kedua:
Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, TANAH SIM-PANAN MELAYU sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.

Ketiga:
Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kami serta harta hak milik kamu, kami tubuhkan REJIMEN ASKAR MELAYU selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara.

Keempat:
Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan RAJA-RAJA MELAYU memerintah negara ini.

Kelima:
Kami isytiharkan ISLAM adalah Agama Persekutuan.

Keenam:
Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah BAHASA MELAYU.

Ketujuh:
Kami amanahkan dan kami pertanggung-jawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi KEDUDUKAN ISTIMEWA ORANG MELAYU dan KEPENTINGAN SAH KAUM-KAUM LAIN. (Kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).

Wasiat ini dihasilkan atas kehendak Raja-Raja Melayu untuk mengekalkan kesinambungan sejarah, kedaulatan dan kuasa politik Melayu (yang terletak pada Raja-Raja Melayu) kepada kesinambungan kedaulatan negara yang terletak kepada Raja-Raja Melayu serta mendapat penerimaan rakyat (consensus) melalui wakil-wakil sah yang mempunyai locus standi, maka Perlembagaan Persekutuan mempunyai fasal-fasal tertentu.

SILA BACA SEPENUHNYA DI SINI

Raja perlu tidak memihak, berpartisan dan berkepentingan

Raja, sebagai Ketua Negeri dan Negara, perlu bersifat tidak memihak, berpartisan dan berkepentingan bagi menjamin berlakunya keadilan di kalangan rakyat, titah Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah. Titah baginda: “Selaku Ketua Negeri di peringkat negeri dan Ketua Negara di peringkat nasional, Raja berperanan sebagai tonggak kestabilan, sumber keadilan, teras perpaduan (dan) payung penyatuan, lapor Bernama.

“Kehadiran Raja membantu keberkesanan mekanisme semak dan imbang, sekaligus memperkukuhkan institusi-institusi perundangan, eksekutif dan kehakiman yang diwujudkan di negara ini, lantas meningkatkan tahap keyakinan rakyat kepada sistem berkerajaan dan sistem bernegara berteraskan amalan demokrasi, dan berakarkan doktrin pengasingan kuasa,” titah baginda.

Raja Nazrin Shah bertitah demikian pada istiadat menghadap sembah taat setia dan penganugerahan khas Darjah Kebesaran Jubli Perak pemerintahan Sultan Azlan Shah sebagai Sultan Perak yang ke 34 di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar hari ini.

Pada istiadat hari ini, seramai 25 individu yang telah banyak berjasa dan memberi khidmat setia kepada Sultan Perak menerima darjah khas, Darjah Kebesaran Dato’ Seri Azlanii (D.S.A) yang membawa gelaran Datuk Seri, yang diwujudkan sempena 25 tahun pemerintahan Sultan Azlan Shah sebagai Sultan Perak.

Turut berangkat ke istiadat itu Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun. Raja Nazrin bertitah sebagai ketua negeri dan negara, seseorang raja itu perlu sentiasa memastikan agar kata dan laku baginda tidak disalah tafsir dan tidak disalah lihat.

Baginda juga bertitah kuasa yang diamanahkan oleh Allah s.w.t itu perlu disertai dengan tanggungjawab kerana ia akan dinilai pada hari kebangkitan. “Oleh itu kuasa hendaklah digunakan untuk melaksanakan amalan-amalan yang baik. Bahawa kemuliaan dan kehormatan, darjat dan daulat seseorang Raja itu tidakkan pipis datang melayang, tidakkan bulat datang menggolek,” titah baginda.

Titah baginda kemuliaan yang sejati itu lahir daripada rasa hormat yang tulen, yang terpancar daripada rasa kasih yang suci, atas sifat keperibadian murni seseorang insan dan bukannya terletak pada pangkat, jawatan, gelaran mahupun takhta.

Menyentuh Ayahanda baginda, Sultan Azlan Shah, Raja Nazrin bertitah ayahanda baginda nyata memahami “denyut nadi dan jantung rakyatnya yang terdiri daripada pelbagai agama, kaum dan budaya, yang berada di bawah payung naungan pemerintahan baginda.”

“Ketinggian takhta tidak pernah memisahkan ingatan Paduka Seri Ayahanda akan nasib rakyat bawahan; pagar istana tidak pernah menghalang pandangan Paduka Seri Ayahanda melihat realiti yang berlaku di serata negeri.

“Sepanjang tempoh pemerintahan, Paduka Seri Ayahanda senantiasa berpegang kepada prinsip keadilan berlandaskan kedaulatan undang-undang, mementingkan perpaduan – mementingkan kerjasama, mengutamakan permuafakatan – mengutamakan perundingan,” titah baginda.

Raja Nazrin bertitah sepanjang tempoh 25 tahun berada di takhta pemerintahan, Sultan Azlan Shah tidak sekadar mewarisi institusi kesultanan dan budaya berkerajaan di bumi ini, malah telah memberikan dimensi yang dinamik akan relevansi kewujudannya dalam era moden dunia semasa.

“Paduka Seri Ayahanda telah membuktikan bahawa institusi Raja yang terus dikekalkan, pada mulanya di Persekutuan Tanah Melayu, kemudiannya di bumi Malaysia merdeka, bukan sekadar untuk meneruskan kesinambungan tamadun, bukan sekadar untuk melengkapkan nilai sejarah dan bukan sekadar untuk memenuhi nilai sentimental bangsa, malah institusi Raja itu berupaya menyuntik roh, membentuk wajah, meletakkan identiti, terutamanya, lambang mengekalkan warisan sejarah kerajaan Melayu di bumi ini, ” titah baginda.

Raja Nazrin bertitah sepanjang tempoh 471 tahun sejarah Kesultanan Perak yang bermula dengan Paduka Seri Sultan Muzaffar Shah I pada tahun 1528, Sultan Azlan Shah merupakan Sultan Perak keempat, yang bersemayam di takhta pemerintahan, melepasi tempoh 25 tahun.

“Sebelum ini, Sultan Perak kedua, Paduka Seri Sultan Mansur Shah I, bersemayam di takhta Kerajaan selama 28 tahun (1549 – 1577), Sultan Perak ke 11, Paduka Seri Sultan Mahmud Iskandar Shah bersemayam di takhta Kerajaan selama 67 tahun (1653 – 1720) dan Sultan Perak ke 29, Paduka Seri Sultan Idris Murshidul ‘Adzam Shah I, bersemayam di takhta pemerintahan selama 29 tahun (1887 – 1916),” titah baginda.

Sumber : malaysiakini.com

SULTAN MELAYU & UNDANG-UNDANG

UNDANG-UNDANG tidak tertulis merupakan sumber utama bagi penguasa-penguasa negeri seperti sultan, pembesar, orang yang mendapat gelaran dari sultan dan orang kenamaan. Konsep yang berkaitan dengan sultan merupakan perkara penting bagi menaikkan status seorang sultan. Perkataan-perkataan dalam penggunaan bahasa yang menjadi landasan kepada pelaksanaan undang-undang adalah seperti titah, daulat, patik, murka, kurnia, anugerah, mangkat, nobat, beta dan sebagainya. Kata-kata seperti ini menunjukkan status sultan itu terletak lebih ke atas dan tinggi daripada rakyat biasa, sebab itu perkataan-perkataan ini tidak boleh dan dilarang untuk digunakan rakyat.

Seorang sultan tidak boleh melakukan sesuatu sewenang-wenang kepada rakyatnya. Pada adat Melayu, seorang rakyat pantang diberi malu dan dinista dan rakyat pula tidak boleh durhaka pada sultannya. Dari sumpah setia yang termaktub antara Demang Lebar Daun dan Sang Sapurba dalam Sejarah Melayu seolah-olah merupakan undang-undang yang pertama dijelmakan yaitu undang-undang tentang hubungan di antara seorang yang memerintah dengan rakyat yang diperintahnya. Barang siapa pihak yang melanggar semacam undang-undang hubungan sultan dengan rakyat dan sipelanggarnya akan menerima balasan yang setimpal.

Adapun isi sumpah setia tersebut adalah:
Adapun tuanku segala anak cucu patik sedia kan jadi hamba ke bawah Duli Yang Dipertuan; hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu tuanku. Dan jika ia berdosa sebesar-besar dosanya pun jangan difadhiahatkan, dinista dengan kata-kata yang jahat; jikalau besar dosanya dibunuh itupun jikalau berlaku pada hukum Shara.

Konsep daulat dan durhaka sangat kuat mempengaruhi masyarakat Melayu tradisional. Kedaulatan seorang sultan Melayu itu bukanlah semata-mata suatu konsep undang-undang tetapi mencakupi konsep budaya dan agama sekaligus. Jadi undang-undang itu terletak pada diri dan kepribadian sultan sendiri.

Daulat pula memberikan kepadanya banyak hak dan keistimewaan, meletakkannya ke taraf yang tertinggi dalam masyarakat tanpa boleh dicela atau kritik. Daulat itu juga menuntut taat setia yang tidak boleh dipersoalkan lagi dari rakyatnya yang terletak di bawah pemerintahan sultan.

Durhaka ialah konsep yang berkaitan dengan daulat. Secara mudah durhaka diartikan sebagai enggan menurut perintah walaupun durhaka mempunyai pengertian yang lebih luas. Sekiranya seseorang itu enggan menurut perintah, dia boleh dianggap durhaka atau sekiranya bapak seorang itu telah dihukum bunuh oleh sultan atas sebab-sebab yang tidak adil dan seseorang itu masih lagi dianggap durhaka sekiranya dia coba menyelamatkan bapaknya itu dari hukuman.

Peristiwa seperti ini digambarkan pada bagian ceritera ke-21 Sejarah Melayu. Seorang Menteri Sultan Mahmud yang bernama Tun Perpatih Hitam telah dicerca oleh Bendahara di hadapanLaksamana dan Temenggung. Oleh karena biadabnya perbuatan Tun Perpatih Hitam yang menguiskan tikar alas duduk Bendahara dengan kakinya, ia telah dibunuh oleh Laksamana dengan pedangnya, Lakiwa sebab telah diadatkan di Malaka tugas Laksamana ialah menghukum orang yang coba berlaku biadab terhadap Bendahara.

Memandangkan peristiwa tragis ini anak Tun Perpatih Hitam coba menuntut bela dengan menghunuskan kerisnya tetapi tuntutan yang sah dari segi kemanusiaan seperti ini dianggap salah di sisi undang-undang adat Malaka karena perbuatan menuntut darah terhadap sultan ataupun pegawai-pegawainya dianggap durhaka.

Seseorang yang melakukan kesalahan terhadap golongan atas akan dijatuhkan hukuman yang lebih berat jika dibandingkan dengan kesalahan yang sama kepada masyarakat lain yang sederajat. Misalnya, seseorang yang memaki pembesar akan dikenakan hukuman yang lebih daripada memaki orang biasa. Menteri Sultan Pahang, Tun Perpatih Hitam yang mencerca Bendahara Malaka telah dibunuh oleh Laksamana Malaka. Pada masa itu Pahang terletak di bawah takluk Malaka. Berkaitan dengan perkara ini terdapat kata-kata yang boleh dianggap sebagai undang-undang Sejarah Melayu menyebut:

Jika ada orang biadab pada bendahara, laksamana membunuh dia; jika yang patut ditangkap dan dipasung, Temenggung menangkap dia, demikianlah adat zaman dahulu kala.

Didapati pula Sultan Mansyur Syah murka kepada Bendahara karena enggan merajakan Sultan Zainul Abidin di Pasai. Selama tiga hari Sultan tidak menegur Bendahara. Begitu ringan sekali hukuman kepada orang yang statusnya agak tinggi. Dapat diperkirakan bagaimana sekiranya keengganan itu dilakukan oleh Sultan, Bendahara dan Laksamana berkuasa tidak membenarkan Raja Tua (nenda Sultan Mahmud) menziarahi Sultan Mahmud yang sedang gering. Sejarah Melayu menyebutkan;

Telah Raja Tua datang, maka tiada diberi hampir oleh Bendahara Paduka Raja katanya: Jangan tuanku hamper pada cunda. Sebagaimana telah menjadi tradisi yang telah menjadi hak istimewa golongan kerabat, Raja Tua coba menggunakan alasan hendak mendurhaka. Lalu katanya: Maka kata Raja Tua, Syabaslah, anak Melayu hendak durhaka, tetapi bagi Bendahara hak mutlak undang-undang tentang durhaka ini cuma ada pada tangan sultan, bukan pada tangan sebarang kerabat diraja; Melayu bernama durhaka, jika tuanku hendak bergagah juga mendekati paduka cunda saja patik amuk (Shellabear, 1985).

Keyakinan untuk mengatakan bahwa bentuk-bentuk kesalahan dan hukuman yang terdapat dalam Sejarah Melayu ini sebagai undang-undang karena di Malaka sendiri terdapat undang-undangnya yang pada akhir-akhir pemerintahan sultan Malaka, dituliskan. Sumber undang-undang ini adalah Hukum Kanun Malaka atau Undang-undang Malaka dan dapat diperkuatkan juga dengan adanya buku Undang-undang Laut Malaka. Besar kemungkinan bahwa teks sastra lama yang bercorak undang-undang ini terutama Hukum Kanun Malaka muncul berikut dari sasaran-sasaran yang terdapat dalam bagian-bagian awal Sejarah Melayu. Cuma bedanya terletak pada siapakah yang mengasaskan dalam konteks peraturan dan adat istiadat ini. Sejarah Melayu sendiri menyebut Sultan Muhammad Syah, Sultan Malaka yang pertama memeluk Islam sebagai peletak dasarnya, bila pengarang Sejarah Melayu mengatakan, maka Sultan Muhammad Syah pun mengatur Kesultanan Baginda.

Pada tahun 1883 diungkapkan suatu ketentuan tentang jabatan Riau Lingga disebut: Undang-undang Jabatan Riau-Lingga. Undang-undang ini antara lain menentukan jabatan pegawai yang dikuasakan melakukan keadilan. Undang-undang lima pasal dari Riau, undang-undang ini mungkin dikeluarkan pada masa Sultan Machmud Muzafarsyah (1841-1857). Undang-undang ini memuat antara lain:

a. Asal Raja yang Mukhtasar
- Raja-raja yang memerintah
- Jabatan Yang Dipertuan Muda Riau
- Jabatan-jabatan Bendahara Riau
- Jabatan-jabatan Temenggung Riau
b. Adat Istiadat Sultan-sultan Melayu
- Sumpah setia
- Peraturan kenaikan pangkat dikalangan pembesar
- Pelantikan berdasarkan keturunan
- Pemberian gelaran dan lantikan.
c. Pembagian Kuasa dan Hak memerintah
d. Perbincangan mengenai bahasa diraja dan nobat
e. Wakil mutlak (Hadi, 1986).

Jelaslah sebagaimana yang digambarkan dalam Sejarah Melayu, semakin rendah kedudukan social seseorang itu, semakin berat hukuman yang mungkin diterimanya apabila ia membuat kesalahan dan melanggar undang-undang. Hukuman itu digunakan untuk menghukum orang biasa atau golongan bawahan. Semua itu adalah untuk kepentingan golongan bangsawan atau golongan pemerintah. Pendek kata, undang-undang itu disesuaikan daripada kacamata dan kehendak golongan pemerintah untuk menjaga status quo social ataupun politik. Ini menyebabkan semakin tinggi kedudukan social seseorang itu, semakin besar kemungkinan ia terlepas dari hukuman sekiranya ia melanggar undang-undang karena ia berdamping rapat dengan sultan dan sultan itu sendirilah sebenarnya undang-undang (Hashim dan Kaeh, 1994).

Ketaatan kepada sultan sebagai pemimpin orang Melayu sangat dipegang teguh oleh masyarakat. Dalam kesusasteraan Melayu lama banyak cerita-cerita yang mengisahkan bagaimana rakyat dalam sebuah negeri sanggup berperang mati-matian di samping sultan mereka selagi sultan mereka itu belum tewas atau terkorban di medan peperangan. Karena ketaatan orang Melayu kepada sultan amat dititikberatkan maka lahirlah peribahasa “Pantang Melayu Mendurhaka Kepada Sultan”. Mematuhi adat dan mematuhi sultan pada dasarnya atau dalam bentuk yang ideal adalah nilai positif. Tetapi dalam praktikal sudah menjadi rugi dan konservatif.

Sumber : www.sagangonline.com

Menghayati Maksud Raja Berperlembagaan

Dalam tahun 1980, Sultan Azlan Shah, ketika itu Ketua Hakim Negara, telah mengingatkan bahawa ‘mahkota’ akan hanya mendapat tempat di muzium kalau institusi raja terkandas dalam menjalankan tugasnya yang sebenar. Seri Paduka Baginda melunaskan pendapat itu dalam titah ucapan di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Baru-baru ini Raja Dr. Nazrin Shah, putera baginda yang juga Raja Muda Perak, sekali lagi menekankan dalam nada yang seakan-akan sama, bahawa banyak berlaku dalam sejarah, institusi raja tumpas apabila ia tidak direstui oleh rakyat. Dalam senario tindakan rakyat, tidak ada yang lebih penting daripada melakukan pemilihan wakil rakyat dan kerajaan rakyat dalam pilihan raya.


Inilah aktiviti kemuncak dalam amalan demokrasi. Apabila rakyat telah membuat pilihan, maka pilihan itulah yang menjadi restu rakyat. Tidak ada pihak sewajarnya menafikan restu mereka. Memandangkan institusi raja di Malaysia kini diasaskan pada institusi Raja Berperlembagaan seperti yang diamalkan di Wesminster, London, maka apa yang berlaku kepada institusi ini di United Kingdom (UK) adalah amat relevan untuk dihayati.

Dalam sejarah Raja Berperlembagaan di UK, tidak pernah berlaku sebarang pelantikan yang dibuat oleh parti yang menang dalam pilihan raya dinafikan oleh raja, baik bergelar king mahupun queen. Raja Berperlembagaan di UK telah banyak melalui pengalaman yang luas dalam sejarah.
Antara episod terpenting dalam sejarah institusi raja UK berlaku pada tahun 1587 apabila Queen Mary dihukum pancung kepala dan tahun 1649 apabila Oliver Cromwell menjadi Lord Protector setelah King Charles I juga mengalami nasib yang sama.

Menurut Richard Buskin, pengarang buku British Royalty, sebab utama pemberontakan Cromwell yang disokong oleh 15,000 orang soldadu ialah semaraknya kemarahan rakyat akibat keengganan King Charles I mengadakan persidangan Parlimen kerana bimbang akan terjejasnya kuasa.


Sumber : zahirzainudin.blogspot.com

KEBANGKITAN INSTITUSI RAJA

KIRA-KIRA enam ratus tahun lalu, institusi beraja pernah berada di puncak kemasyhuran pada era Kesultanan Melayu Melaka. Bermula dari detik Parameswara membuka Melaka, sebuah perkampungan nelayan pada 1400 sehingga menjadi sebuah empayar besar pada era Sultan Mansur Shah, raja bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kemajuan dan kesejahteraan rakyat.

Berabad lamanya sultan memiliki kuasa penuh mentadbir jajahan takluknya sehingga pengaruh itu terhakis sedikit demi sedikit akibat penjajahan kuasa asing. Biarpun ketika ini institusi kesultanan berpandukan sistem Raja Berpelembagaan, tanda kebangkitannya kian terserlah terutama selepas Pilihan Raya Umum ke-12, Mac lalu.

Pihak istana tidak lagi sekadar mengiakan setiap cadangan pihak eksekutif, sebaliknya berani membuat keputusan yang dirasakan sesuai dan tepat demi kesejahteraan rakyat seperti terbukti ketika kontroversi pelantikan Menteri Besar di Perak, Selangor, Terengganu dan Perlis, selain Johor sebelum proses penamaan calon.

Seperkara menarik, hubungan antara istana dan rakyat kini makin rapat apabila keluarga diraja kerap turun padang mendampingi rakyat. Sebagai contoh, program Kembara Mahkota Johor (KMJ) ke-10 dari 24 hingga 27 Julai (esok) menyaksikan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail menjelajah ke 10 daerah di Johor untuk berdampingan dengan rakyat.

Mengikut program yang diatur, Tunku Ibrahim berkenan menyertai sukan rakyat, menyampaikan sumbangan kepada keluarga miskin, menziarahi rumah anak yatim, selain bermalam di sebuah rumah di kawasan dilawati. Lebih menarik, program itu turut membabitkan kerajaan negeri apabila Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, barisan Exco, ketua jabatan turut serta untuk berdamping dan menyelesaikan masalah rakyat setiap tahun.

Kerjasama erat antara pihak istana dengan kerajaan Johor boleh dijadikan contoh kepada negeri lain kerana secara tidak langsung rakyat mendapat faedah. Seperti yang pernah dititahkan Tunku Ibrahim, baginda tidak pernah meminta layanan diraja kerana matlamat utama mahu berdamping dengan rakyat, namun kerana statusnya sebagai pewaris sultan, ia tidak boleh dielak.

Ini kerana sejak zaman berzaman orang Melayu sentiasa menghormati institusi beraja yang dianggap payung negeri. Justeru, jika ada pihak mengubahsuai atau menambah baik rumah mereka bagi membolehkan Tunku Mahkota bermalam dengan selesa, pihak yang bakal mendapat faedah jangka panjang ialah tuan rumah itu sendiri.

Atau dalam konteks lebih luas, jika sesebuah kawasan itu dilawati rombongan KMJ, sudah pasti kawasan terbabit bakal mendapat manfaat seperti jalan diperbaiki dan pelbagai kemudahan lain ditambah baik.

Seperti dititahkan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah baru-baru ini, raja sebagai sebahagian daripada institusi negara berasa peranan mereka tidak sekadar pelengkap kepada adat kerana raja bukan daripada kalangan insan yang buta, pekak dan bisu.

Baginda bertitah, pandangan berterus-terang raja dalam perkara berkaitan perpaduan rakyat, peranan agama, kebebasan kehakiman, rasuah dan penyalahgunaan kuasa adalah kerana hasrat untuk memastikan negara terus kukuh dan aman dengan rakyat sejahtera dan makmur.

“Raja tidak daripada kalangan insan yang buta penglihatan, pekak pendengaran dan bisu pertuturan mereka. Segala perkara yang berlaku adalah dalam ruang penglihatan, pendengaran dan pertuturan mereka. Biar apapun sistem raja itu dilandaskan, peranan raja bukan sekadar menjadi simbol untuk melaksanakan tugas keraian dan istiadat semata-mata. Raja bukan monumen hiasan yang kaku - tanpa nyawa, tanpa jiwa,” titahnya ketika menyampaikan titah syarahan bertajuk ‘Institusi Beraja’ pada majlis Intan Premier Talk di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan), Bukit Kiara.

Untuk memastikan takhta kekal dihormati, baginda bertitah, raja wajib bersifat berkecuali dengan memisahkan diri daripada terbabit dalam sebarang kancah pertelingkahan politik kepartian serta menjauhkan diri daripada dijadikan instrumen mana-mana pihak dalam persaingan mendapatkan kuasa politik.

“Raja hendaklah berada di atas segala urusan politik dan urusan pentadbiran harian yang membabitkan banyak kerenah dan pelbagai kontroversi. Dengan berada di takhta yang lebih tinggi, raja hanya terbabit pada waktu dan ketika yang diperlukan,” titah baginda.

Bersesuaian dengan konsep Yang di-Pertuan Agong sebagai payung negara, Tuanku Mizan Sultan Zainal Abidin contoh terbaik raja berjiwa rakyat. Baginda boleh memilih hidup selesa di istana tetapi prinsip seperti itu tiada dalam kamus Tuanku Mizan sejak zaman remajanya. Justeru, tidak mengejutkan baginda mempunyai kebolehan hebat dalam beberapa sukan terutama ekuestrian apabila tersohor sebagai ekuin bertaraf antarabangsa.

Jika Tuanku Mizan meminati ekuestrian, keluarga diraja Pahang dan Selangor tidak boleh dipisahkan dengan bola sepak. Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah masih memegang tampuk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) manakala anakandanya, Tengku Abdullah yang juga Tengku Mahkota Pahang bekas timbalannya sebelum meletak jawatan.

Seorang lagi anakandanya, Tengku Abdul Rahman yang juga Raja Muda Pahang mempunyai minat mendalam terhadap sukan dan ini terbukti menerusi penganjuran Fiesta Media Idola setiap tahun. Minat sama turut dikongsi Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang memberi perkenan untuk penganjuran perlawanan bola sepak persahabatan tahunan antara Selangor dengan Singapura.

Keluarga diraja Perak dan Johor pula mempunyai pengaruh kuat dalam hoki. Sultan Perak, Sultan Azlan Shah ialah bekas Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (MHF) - jawatan yang kini disandang Tunku Bendahara Johor, Tunku Majid. Minat dalam sukan contoh mudah betapa rakyat Malaysia sebenarnya bertuah mempunyai ramai raja berjiwa rakyat, selain boleh bertindak membataskan kuasa eksekutif jika dirasakan ada keperluan demi kesejahteraan rakyat.

Seperti aur dengan tebing atau isi dengan kuku, raja dan rakyat tidak dapat dipisahkan. Andai dipisahkan, rosaklah lagu, sumbanglah irama.

Sumber : Harian Metro

Friday, April 9, 2010

Islam kekal agama Persekutuan ke Kiamat


KUALA LUMPUR 8 April – Persatuan Peguam Muslim Malaysia mahu kerajaan memastikan peranan jawatankuasa khas berhubung isu antara agama yang diumumkan penubuhannya kelmarin mengambil kira Islam sebagai agama Persekutuan.


Presidennya, Zainul Rijal Abu Bakar berkata, justeru pihak yang terlibat dalam jawatankuasa itu tidak boleh sesekali mahu menyamakan hak semua agama kerana Islam punya kedudukan istimewa di sisi Perlembagaan. Kata beliau, ini supaya jawatankuasa tersebut tidak menjadi jalan keluar kepada kegagalan menubuhkan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) yang ditolak kerajaan dan umat Islam sebelum ini.
‘‘Bagaimanapun umat Islam tidak menolak sebarang dialog bagi memupuk persefahaman dan keharmonian antara agama yang ada di negara ini.
‘‘Namun yang menjadi masalah ialah usaha dialog seumpama itu disalah guna bagi mencampuri urusan agama lain seperti IFC dan ini perlu dipastikan kerajaan tidak berlaku pada jawatankuasa tersebut,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.


Zainul juga berharap jawatankuasa itu akan menjadi dialog yang mampu mengukuhkan perpaduan seluruh rakyat negara ini.
Justeru katanya, untuk mencapai hasrat tersebut, jawatankuasa berkenaan harus dipastikan bergerak dalam landasan menghormati kedudukan istimewa Islam sebagai agama Persekutuan.
'Kita tolak IFC sebab ia usaha untuk ubah dialog ‘inter agama’ kepada ‘intra agama’. Itu yang umat Islam tak boleh terima,’katanya.

Tambahnya, dialog antara agama bukanlah sesuatu yang baru kepada umat Islam sebaliknya ia telah lama wujud di negara yang berbilang kaum. Sementara itu, Penasihat Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Datuk Muhamad Burok berkata, sekiranya jawatankuasa khas itu berjaya diadakan, ia mestilah bersifat bebas tanpa perlu wujud campur tangan pihak tertentu khususnya daripada parti politik.

Sehubungan itu katanya, jawatankuasa itu perlu dipimpin oleh mereka yang benar-benar pakar agar kredibiliti dan peranannya sebagai badan yang mewujudkan persefahaman di antara agama-agama diyakini dan diiktiraf oleh rakyat. Dalam pada itu, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Muhamad Isa Abdul Ralip berkata, jawatankuasa itu wajar diwujudkan untuk menyelesaikan masalah berkaitan agama namun ia perlu dilarang sama sekali mempertikaikan kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan. Justeru katanya, jawatankuasa itu perlu dipantau agar tujuan penubuhannya tidak lari daripada landasan yang ditetapkan.
“Sekadar dialog tiada masalah namun sekiranya ia dijadikan medan untuk memperjuangkan kesamarataan antara agama, ini yang perlu dihalang,” katanya.
(c) 2010 Utusan Malaysia

Thursday, April 8, 2010

SULTAN KELANTAN SEMAKIN PULIH

KOTA BHARU 7 April – Buat pertama kali setelah hampir setahun gering, Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra berkenan bertemu rakyat, dalam keadaan baginda yang seringkali tersenyum dan semakin sihat, pada satu majlis di Istana Mahkota di sini hari ini.

Sultan Kelantan yang berpakaian kemeja batik hitam bercorak bunga putih, berkenan untuk bertemu rakyat jelata pada 5.20 petang dengan menaiki kerusi roda dan diiringi Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid pada majlis meraikan lebih 100 anak yatim dan pemberian sumbangan zakat.
Tetamu yang hadir turut mengambil peluang itu untuk menegur dan bertanya khabar baginda.

“Alhamdulillah sihat. Terima kasih kerana datang,” titah baginda dalam suara yang tersekat-sekat kepada seorang Imam Masjid Kampung Sireh yang bertanya khabar baginda. Tuanku Ismail Petra juga sempat berseloroh apabila Tengku Anis bergurau meminta baginda menyanyikan sebuah lagu.

“Dok (tidak)... tak nak, payah....” titah baginda sambil tersenyum.
Pada majlis itu juga jelas kelihatan kemesraan baginda dan Tengku Anis yang menyuapkan makanan sambil sesekali mengelap peluh baginda. Baginda dan Tengku Anis turut berkaraoke bersama-sama beberapa kakitangan yang merawatnya dengan menyanyikan lagu Kemesraan, Menghitung Hari dan My Heart Will Go On.

Walaupun suara baginda tidak begitu jelas menyanyikan lagu tersebut, Sultan Kelantan kelihatan gembira dan ceria sepanjang sesi karaoke itu yang turut disaksikan tetamu. Pergerakan bibir baginda menunjukkan Sultan Kelantan menghafal dan menggemari lagu tersebut.

Antara yang hadir pada majlis itu ialah Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra dan bekas Pengerusi Majlis Perajaan Negeri (MPN), Tengku Abdul Aziz Tengku Hamzah dan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Hashim Wan Daud yang juga ‘Setiausaha Sulit’.
Pada majlis itu, Tengku Anis memberikan bantuan kepada anak-anak yatim dari beberapa buah sekolah termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Mas, SMK Putri dan SMK Zainab II.

Sumber : www.utusan.com.my

Tuesday, April 6, 2010

Sultan Pahang berhak buat keputusan

KUALA LUMPUR 5 April - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan hukuman yang wajar kepada Kartika Sari Dewi Shukarno.

Katanya, sebagai ketua agama negeri, keputusan Sultan Pahang itu tidak sepatutnya dipertikaikan. "Sultan adalah pemerintah tertinggi dalam bidang agama Islam. Baginda boleh menentukan apa saja hukuman berdasarkan kepada kepentingan orang awam. Baginda telah melaksanakan apa yang betul," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Persatuan Peguam Syarie Malaysa (PGSM) sebelum ini yang mempertikai keputusan Sultan Pahang menarik balik hukuman sebat yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan ke atas Kartika baru-baru ini dan diganti dengan khidmat masyarakat selama tiga minggu.

Kartika dijatuhi hukuman enam sebatan dan denda RM5,000 pada Julai tahun lalu selepas didapati bersalah minum arak di khalayak ramai di sebuah resort di Cherating, Pahang. Pada 24 Ogos, 2009, dia sepatutnya dibawa ke Penjara Kajang selama seminggu bagi menjalani hukuman sebatan yang dijatuhkan itu sebelum ia dibatalkan pada saat-saat akhir.

Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pihaknya hanya mempunyai kuasa dan soal pengkuatkuasaan terhadap keputusan Sultan Pahang itu. "Keputusan itu sudah jelas dan pihak kementerian hanya menguatkuasakan apa yang sudah diputuskan. Tuan punya badan (Kartika) sendiripun sudah terimanya, jadi kita bertanggungjawab dalam bidang kuasa kita sahaja," katanya.

Petikan www.utusan.com.my

Sunday, April 4, 2010

70% Melayu sokong Perkasa?


70% Melayu sokong Perkasa

KUALA LUMPUR 3 April - Tinjauan yang dilakukan oleh Merdeka Centre menunjukkan hampir 70 peratus pengundi Melayu di Semenanjung menyokong tuntutan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) agar kerajaan tidak membuka kuota dan perlindungan ekonomi orang Melayu.

Ketua Merdeka Centre, Ibrahim Suffian berkata, hasil tinjauan pihaknya juga mendapati sebahagian besar yang menyokong tuntutan Perkasa itu terdiri daripada ahli-ahli UMNO.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang dipetik daripada The Malaysian Insider.

Merdeka Centre telah melakukan tinjauan pada 11 hingga 27 Mac lalu melibatkan 883 pengundi berdaftar di Semenanjung bagi memperoleh maklum balas rakyat terhadap tuntutan Perkasa.

Ibrahim berkata, hasil tinjauan itu turut mendapati 61 peratus orang Melayu bersetuju bahawa Perkasa boleh membantu Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya akan datang.

"Sokongan yang tinggi ini meletakkan Perkasa sebagai kumpulan yang mampu mendesak kerajaan pimpinan Perdana Menteri dalam memperjuangkan isu berkaitan Melayu.

"Ini juga merupakan amaran kepada semua parti politik agar tidak memusuhi pertubuhan tersebut jika hendak memperoleh sokongan orang Melayu pada pilihan raya akan datang,'' katanya.

Beliau berkata, hasil tinjauan terhadap isu 'kaum Cina akan merampas negara' mendapati hanya 44 peratus orang Melayu bersetuju dengan kenyataan tersebut.

"Ini menunjukkan orang Melayu hanya menyokong Perkasa atas perjuangannya terhadap hak-hak Melayu dan tidak kepada isu selain daripada itu,'' jelasnya.

Sementara itu, Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, hasil sokongan itu Perkasa akan terus cergas berjuang membela orang Melayu.

Menurutnya, beliau cukup terharu dengan sokongan itu dan mahu orang Melayu sedar dan bangkit untuk mempertahankan hak dan kepentingan sendiri.

"Orang Melayu harus sedar ini bukan soal perjuangan Perkasa tetapi mengenai hak yang perlu dipertahankan," katanya.

Melayu tak sedar diri

Melayu tak sedar diri

Tulisan Awang yang menyokong Perkasa dalam ruangan ini minggu lalu terus dibidas oleh beberapa pemimpin pembangkang termasuk Zaid Ibrahim.

Beliau berkongsi sentimen dengan pihak-pihak tertentu terutama DAP bagi menentang Perkasa. Mereka khuatir kebangkitan NGO Melayu walaupun dalam konteks mempertahankan Perlembagaan dan asas kenegaraan. Lebih-lebih lagi sokongan masyarakat Melayu terhadap Perkasa kian melonjak. Ada kajian mendapati hampir 70 peratus orang Melayu menyokong pendirian Perkasa dalam banyak isu kritikal. Awang ingin bertanya Zaid, apa salahnya orang Melayu di tanah air ini menyokong Perkasa?

Selain itu, beliau mempersoalkan Awang dengan menyatakan sebenarnya tiada pihak yang menghina dan mencabar kedudukan raja-raja Melayu? Sekali lagi Zaid buat-buat lupa tentang beberapa peristiwa menghina Sultan Perak tahun lalu, yang didalangi pembangkang. Kita masih ingat bagaimana rakyat dan pelbagai pihak marah terhadap cubaan mencabar institusi raja, yang terburuk dalam sejarah moden tanah air. Malah bara penghinaan itu masih belum padam sehingga hari ini. Jika Zaid anggap ia tidak berlaku, memang beliau tebal ego dan hipokrit. Awang ingin bertanya ketika institusi raja diasak teruk ketika itu, mengapa PKR lama berdiam dan tiada pendirian apatah lagi untuk mengeluarkan kenyataan keras mempertahankan institusi berkenaan? Awang juga ingin mencabar Zaid agar mengisytiharkan bahawa PKR menjunjung sepenuhnya Perlembagaan negara dan mempertahankannya dalam apa keadaan sekalipun.

Dalam pada itu, Zaid mempersalahkan pemimpin UMNO dan mantan Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad terhadap beberapa perkara termasuk kegagalan Melayu, Awang tidak terkejut. Perspektif yang beliau beri kabur seperti orang dalam ketagihan. Itu memang perangai Zaid, hanya nampak dirinya betul dan pihak lain salah. Pada Awang, orang seperti Zaid turut menyumbang kepada kegagalan Melayu. Beliau adalah Melayu yang tidak sedar diri. Ramai yang tahu siapa Zaid dan juga kontrak-kontrak yang pernah diterima daripada kerajaan. Apakah semuanya atas asas merit? Awang tidak pasti tetapi ia menjadi perbualan bahawa beliau banyak mendapat faedah ekonomi atas kapasitinya sebagai peguam dan usahawan Melayu? Persoalannya lagi, sejauh manakah faedah yang beliau peroleh dimanfaatkan bagi membantu semaksimum mungkin usahawan Melayu yang baru bertatih?

Berkaitan integriti, Zaid sudah hilang itu semua. Banyak kenyataan beliau mengundang kemarahan ramai. Salah satunya, Awang masih ingat bagaimana Zaid pernah menggesa Yang di-Pertuan Agong campur tangan dengan tidak melantik Mohd. Najib Tun Razak (ketika itu Timbalan Perdana Menteri) sebagai Perdana Menteri. Sekiranya Zaid mendokong demokrasi seperti dilaung-laungkan, beliau tidak sepatutnya berbuat demikian.

Kini Zaid menjadi hulubalang kepada ketua pembangkang Anwar Ibrahim yang berdepan dengan satu lagi kes liwat, isu campur tangan asing dan pembohongan yang serius. Anwar diketahui ghairah mendapatkan sokongan bukan Melayu dengan cara menggugat struktur politik Melayu, yang menjadi tunjang selama ini. Zaid nampaknya gembira untuk berada dalam sistem seperti itu. Awang tidak kisah kalau beliau dalam golongan Melayu liberal dan mengamalkan gaya hidup tersendiri tetapi janganlah musnahkan Melayu kerana politik. Jika Zaid bijaksana, mengapa tidak memperbetulkan banyak kepincangan dalam pembangkang terutama PKR. Mengapa beliau boleh menerima pemimpin bermasalah besar seperti Anwar sedangkan puluhan pemimpin PKR sudah meninggalkannya atas prinsip kebenaran? Pemimpin diangkat dan diikut atas akhlak dan kebolehannya. Lalu Awang boleh mengerti mengapa Zaid tidak mendapat sokongan akar umbi termasuk ketika berada bersama UMNO. Memang beliau pemimpin yang bermasalah. Celaru identiti dan celaru jiwa.



Ihsan - (c) 2010 Utusan

Wednesday, March 31, 2010

Tengku Faris Petra fail saman pemula terhadap Tengku Aziz

KUALA LUMPUR 31 Mac – Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra memfailkan saman pemula semalam bagi memohon deklarasi bahawa pelantikan Tengku Abdul Aziz Tengku Mohd. Hamzah selaku pemangku raja adalah tidak sah dan terbatal.

Institusi diraja Kelantan berada di tengah-tengah konflik keluarga istana sehingga Pengerusi Majlis Perajaan Negeri (MPN) Kelantan, Tengku Abdul Aziz dipecat pada 26 Mac lalu.

Ini ekoran perisytiharan yang dibuat oleh beliau secara persendirian pada 25 Mac lalu berhubung penamatan pelantikan Tengku Muhammad Faris sebagai Pemangku Raja yang didakwa dilakukan atas titah Sultan pada 24 Mac.

Sehubungan itu juga pada keesokannya, Setiausaha MPN, Datuk Mohd. Aiseri Alias telah mengumumkan pelantikan Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Abdul Halim Almarhum Sultan Ibrahim mengisi tempat tersebut.

- www.utusan.com.my