Karya Air Mata Raja

Hayati penceritaan Tun Seri Lanang mengarang buku Sulalatus Salatin pada tahun 1612. Juga kisah hidup 23 pewaris Sultan Mahmud Shah Melaka dari tahun 1511 sehingga 2007. Sebuah naskhah terbitan DBP yang tiada yang lain seumpamanya.

Kesultanan Melayu

Sembilan buah negeri yang masih bersultan mencerminkan sebuah institusi yang terus kukuh. Sultan Melayu lambang keagungan Empayar Melayu Islam satu waktu dahulu. Sultan tonggak agama Islam buat orang Melayu.

Pelancaran Buku Air Mata Raja (Melaka)

Dilancarkan pada 17 Oktober 2011 oleh mantan Ketua Menteri Melaka YAB Datuk Seri Mohd Ali Rustam semasa berlangsungnya Seminar Melaka Merentas Zaman. Ia dianjurkan oleh IKSEP (institut Kefahaman Sejarah dan Patriotisme Malaysia) dengan kerjasama agensi kerajaan yang lain.

Pelancaran Buku Air Mata Raja (Singapura)

Dilancarkan pada 20 September 2013 oleh Encik Hawazi Daipi (Singapore Member of Parliament) di Restoran Mamanda, Sultan Gate, dalam suasana istana yang menarik, diisi dengan persembahan seni oleh para pelajar dari Politeknik Republik. Penghargaan buat Puan Masmunah dan Tuan Zulkarnine.

Anugerah Buku PNM-RTM

Buku 'Air Mata Raja' telah memenangi Anugerah Buku PNM-RTM (Perpustakaan Negara Malaysia dan Radio Televisyen Malaysia) pada 3 Oktober 2013. Ia telah disempurnakan oleh Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia di Angkasapuri, Kuala Lumpur.

ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI
Showing posts with label peradaban. Show all posts
Showing posts with label peradaban. Show all posts

Saturday, July 4, 2015

Amalan Raya Cara Islam dan Kesilapan Semasa Raya

Di hari mulia Syawal ini pula, umat Islam adalah amat digalakkan untuk :-
1) Mandi sunat hari raya sebelum keluar menunaikan solat sunat idil fitri .
Ulama besar Tabien Said Bin Jubayr berkata : "Tiga perkara sunnah di hari raya iaitu antaranya : mandi sunat sebelum keluar solat hari raya".

2) Menjamah makanan sebelum keluar.
Ia berdasarkan hadith dari Anas Bin Malik yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari yang menyebut : "Nabi SAW tidak keluar di pagi hari raya idil fitri sehinggalah Nabi SAW menjamah beberapa biji kurma..."

3) Memperbanyakkan Takbir dan bukan memperbanyakkan menonton TV dan bermain mercun ;
Seharusnya umat Islam jangan terlalu di sibukkan dengan aktiviti persiapan raya sehingga meninggalkan peluang takbir ini. Ini adalah penting bagi syiar Islam selain kalimah Takbir yang dibenci oleh Syaitan. Ad-Dar Qutni melaporkan bahawa apabila Ibn Umar r.a keluar di hari raya Idul Fitri, beliau akan berterusan bertakbir sehinggalah imam keluar untuk mengimamkan solat hari raya.

4) Mengucapkan selamat dan mendoakan antara satu sama lain ;
Tiada masalah untuk menggunakan apa jua kalimah, asalkan ianya mempunyai maksud yang sama. Bagaimanapun, kalimah yang digunakan di zaman baginda SAW adalah "Taqabbalahhu minna wa minkum" ertinya : Semoga Allah menerima amalan ( amalan dan ibadat di Ramadhan) kami dan kamu".

Disebut dalam sebuah riwayat :
قال واثلة لقيت رسول الله يوم عيد فقلت تقبل الله منا ومنك قال نعم تقبل الله منا ومنك
Ertinya : Berkata Wathilah, Aku bertemu Rasulullah s.a.w pada hari raya dan aku katakan pada baginda "taqabballahu minna wa minka", baginda menjawab : Ya, taqabballahu minna wa minka" ( Al-Baihaqi, rujuk perbincangan di Fath Al-Bari, 2/446 )
5) Memakai pakaian terbaik yang ada ;
Walaupun demikian, perlulah mengikut kemampuan dan tiada pembaziran dibenarkan.
Tidak dibenarkan untuk menghina pakaian orang lain yang kurang indah dan mahal (kecuali pakaian seksi dan tidak menutup aurat memang di haramkan di dalam Islam).

6) Menukar jalan ke tempat solat (balik dan pergi) ;
Ia berdasarkan hadith dari Jabir r.a yang menyebut bahawa Nabi SAW biasanya menukar atau berbeza jalan pergi dan pulang apabila di hari raya" (Riwayat Al-Bukhari)

7) Berziarah dan merapatkan hubungan baik sesama Muslim sempena musim cuti yang diperolehi.

RINGKASAN KESILAPAN DI HARI RAYA
Dalam pada masa yang sama, secara amat ringkas saya sertakan beberapa kesilapan kesilapan kerap di musim perayaan :-
1) Sentuhan ; Berjabat tangan di antara lelaki dan wanita secara meluas ketika berziarah rumah jiran dan rakan. Walaupun terdapat perbezaan pendapat para ulama dalam bab ini. Ia lebih baik dijauhi terutama apabila melibatkan pemuda dan pemudi.

2) Aurat & Ipar ; Ipar duai yang tidak menjaga aurat di antara satu sama lain ketika berada di dalam rumah. Seperti adik ipar perempuan tidak menutup aurat di rumah sedangkan abang iparnya berada di rumah. Termasuk juga, tidur secara terbuka di ruang tamu tanpa menutup aurat, sehingga membolehkan abang ipar atau adik ipar lelaki melihat aurat yang terdedah.

3) Wangian Wanita ; Kaum wanita memakai wangian dan solekan ala artis di musim perayaan lalu keluar dari rumah mendedahkan diri mereka kepada lelaki bukan mahram.

4) Pakaian Wanita ; Pakaian yang mendedahkan susuk tubuh dengan sempit dan nipisnya lalu bertandang ke khalayak ramai.

5) Kubur ; Berkumpul beramai-ramai di kubur hingga duduk di atas kubur orang lain dengan alasan untuk membaca Yasin yang agak panjang dan meletihkan jika berdiri. Larangan ini disebut jelas di dalam mazhab Syafie sebagai dihurai oleh Imam Khatib As-Syarbini, malah bersandar kepadanya juga dilarang ( Mughni Al-Muhtaj, 1/354 ; Minhaj at-Tolibin)

6) Meninggalkan solat ; kerana terlalu sibuk beraya di sana sini.

7) Dosa Bertempoh ; Kembali melakukan dosa yang ditinggalkan di bulan Ramadhan. Malah memang sebahagiannya diniatkan untuk disambung selepas Ramadhan. Sebagai contoh, ada yang menangguhkan pergaduhan di Ramadhan, maka syawal bolehlah bergaduh kembali. Syawal dijadikan tempat lambakan maksiat berdating, bersyahwat melalui telefon dan 'chat', berjalan jauh berdua-duaan dengan teman wanita dan lain-lain. Hancurlah seluruh kebaikan yang baru hendak sebati dengan hati, sudah dibuangnya jauh-jauh.

Terlalu banyak lagi senarainya, bagaimanapun cukuplah terlebih dahulu apa yang dicatatkan. Semoga ada manfaat.
OLEH : Ust Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman


Wednesday, April 2, 2014

Yayasan Warisan Negara Jalin Kerjasama

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Yayasan Warisan Negara akan bekerjasama dengan Universiti Leiden, Belanda bagi mengenal pasti bahan koleksi warisan Melayu dan foto lama dalam bentuk salinan pendigitalan yang boleh dibawa balik ke Malaysia.

Penasihat Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan Tan Sri Dr Rais Yatim berkata antara bahan peninggalan zaman penjajah yang masih terdapat di universiti itu termasuklah manuskrip lama Melayu dalam bentuk persuratan, teks agama, sastera, warkah dan bahan berkaitan kehidupan harian masyarakat terdahulu dan dokumen-dokumen lain yang berkaitan.

"Antara bahan atau koleksi dokumen penyelidikan Belanda yang terdapat di Universiti Leiden ini adalah manuskrip adat pepatih, adat temenggung, sejarah raja-raja Melayu dan Misa Melayu," katanya dalam kenyataan yang dihantar kepada Bernama Selasa selepas berkunjung dan mendengar taklimat di Perpustakaan Universiti Leiden dalam rangka lawatan kerja ke Belanda mulai Isnin lalu.

Selain Universiti Leiden yang diwujudkan pada tahun 1575, rangka lawatan kerja itu meliputi kunjungan ke Institut Diraja Belanda bagi Pengajian Asia Tenggara dan Caribbean (KITLV), yang merupakan badan penyelidikan berkaitan ilmu dan kepakaran dalam bidang kerjasama antara budaya dan antarabangsa.

KITLV yang kini diletakkan di bawah Akademi Sains Diraja Belanda berperanan menjalankan kajian mendalam menerusi antropologi, linguistik, sains sosial dan sejarah Asia Tenggara, rantau Pasifik dan Caribbean.

Turut serta dalam lawatan kerja itu ialah Ketua Pusat Dokumentasi Melayu, Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) Datuk Poziah Abdul Rahman yang juga pegawai khas Yayasan Warisan Negara.

Di samping itu, delegasi tersebut turut melawat Muzium Etnologi Belanda, di Leiden yang menyimpan koleksi artifak pelbagai budaya nusantara termasuk Asia Tenggara.

Rais yang juga pengasas Yayasan Warisan Negara berkata tidak kurang daripada 14,000 tajuk manuskrip lama masih terdapat dalam himpunan koleksi di perpustakaan Universiti Leiden dan itu tidak termasuk di institusi-institusi penyelidikan lain di Belanda.

Menurut beliau, bahan berkenaan sedang dirancang untuk disalin dalam bentuk digital supaya koleksi manuskrip ini akan dijadikan khazanah dan sumber penyelidikan bagi institusi-institusi tanah air yang berminat dengan warisan.

"Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) juga bercadang menjalin kerjasama dengan Universiti Leiden khusus dalam hal pengajian Melayu lama dan penyelidikan tentang pengembangan ilmu serta penyebaran Islam di rantau nusantara ini," kata Rais yang juga Presiden UIAM.

-- BERNAMA

Sunday, September 29, 2013

Mengiktiraf pengetahuan Islamik tamadun lain

Keterbukaan ajaran Islam menerima kepelbagaian yang positif daripada sumber luar tergambar dalam pengiktirafan agama terhadap apa juga pengetahuan yang memiliki ciri-ciri Islamik daripada tamadun lain sebagai sebahagian daripada aspek ketamadunannya. Sikap pengiktirafan itu kini diseragamkan pemahamannya menerusi istilah yang disebut Islamikasian. Istilah ini berasal daripada perkataan Islamik iaitu kata sifat bagi menunjukkan sesuatu pengetahuan, nilai, sikap, amalan dan fenomena yang mengandungi ciri-ciri keislaman atau sesuatu yang tidak bertentangan dengan prinsip agama Islam. 

Sesuatu yang bersifat Islamik boleh muncul daripada dua sumber. Pertama, ia terbit daripada sumber ketamadunan agama Islam secara langsung. Apabila seseorang menghasilkan idea dan menunjukkan perbuatan yang didasarkan kepada ajaran serta nilai keagamaan Islam atau sejajar dengan kerangka falsafah tauhid, maka idea dan amalan perbuatan itu secara langsung digelar sebagai Islamik. 

Begitu juga sebaliknya. Kedua, sesuatu yang bersifat Islamik juga boleh terbit daripada ketamadunan di luar peradaban keagamaan Islam. Kebiasaannya, ia bersandarkan pengalaman turun-temurun, berkembang atas asas keluhuran cita-cita dan fitrah kemanusiaan bagi menjayakan kesejahteraan kehidupan seluruh makhluk. 

Pengetahuan, amalan dan nilai yang terbit daripada asas dan dasar yang luhur ini serta sejajar pula dengan prinsip dan cita-cita keagamaan Islam, walaupun berpunca daripada sumber luar, ia boleh diiktiraf sebagai Islamik. Rasulullah terima amalan Islamik Pengiktirafan terhadap pengetahuan dan amal perbuatan Islamik yang terbit daripada sumber ketamadunan yang berada di luar lingkungan keagamaan Islam bukan sesuatu yang baru. 

Sikap penerimaan dan pengiktirafan ini ditunjukkan Nabi Muhammad SAW ketika Baginda mengenang peristiwa pembabitannya dalam pertemuan pemuafakatan dengan ketua kabilah Makkah yang dicatat dalam teks sirah sebagai Hilf al-Fudul. Pertemuan itu diatur bagi mengukuhkan piagam etika perniagaan di bandar Makkah supaya jaminan keadilan terpelihara dan penganiayaan terhadap peniaga dan pedagang dapat ditegah. 

Amalan penganjuran perikatan bagi menegakkan keadilan dan menegah kezaliman terhadap peniaga serta pedagang perbuatan bersifat Islamik kerana ia memenuhi aspirasi dan cita-cita keagamaan Islam yang sentiasa menganjurkan perbuatan adil dan saksama antara manusia. Dalam satu riwayat, Nabi SAW pernah berkata, Baginda tidak akan menolak kehadirannya jika mendapat jemputan yang bertujuan sama pada masa depan. 

Perbuatan menerima dan mengiktiraf pertemuan yang dianjurkan antara ketua kabilah Makkah itu dikenali sebagai proses Islamicization dalam wacana kesarjanaan Islam hari ini. Pembangunan istilah ini berasaskan kesedaran dan kefahaman hakikat pengetahuan sebagai hikmah yang luhur berkembang di mana saja kerana ia adalah anugerah Allah yang dikurnia kepada sesiapa saja. 

Pengiktirafan sumber ilmu bersifat Islamik walaupun ia berpunca sumber ketamadunan luar penting dalam menyumbang ke arah memperkayakan khazanah pengetahuan Islam. Dalam kata lain, pengiktirafan ini secara langsung menunjukkan perkembangan pengetahuan Islam tidak lagi hanya terikat dalam kerangka atau sumber dalaman peradaban Islam, malah ia juga boleh disumbangkan menerusi pengalaman luhur kemanusiaan yang luas dan pelbagai.

Sejajar cita-cita pengetahuan Islam Dalam ucapan sambutan perasmian Kongres Pertama Integrasi dan Islamikasian Ilmu Kemanusiaan 2013 yang lalu, Prof Dr Mohd Kamal Hassan memberikan beberapa contoh lain pengetahuan manusia semasa yang berciri Islamik yang boleh diiktiraf sebagai pengetahuan Islam. Antaranya pengetahuan ilmu akupuntur yang menjadi amalan meluas masyarakat Cina, ilmu teknologi penjernihan air sungai yang oleh masyarakat Jepun, malah disiplin sivil masyarakat Jepun apabila berdepan malapetaka. 

Semua contoh pengetahuan, kaedah dan amalan yang berkembang luas dalam peradaban luar ini bersifat Islamik dan boleh diiktiraf sebagai aspek yang sejajar dengan cita-cita pengetahuan Islam. Pada perspektif Prof Kamal, contoh pengetahuan ini tidak perlu diislamkan lagi atau harus menjalani proses Islamisasi. Pengetahuan dan amalan itu sudah pun bercirikan Islam dan peranan Muslim ialah menerima dan mengiktirafnya sebagai sebahagian daripada pengetahuan Islam. 

Menerusi penerimaan dan pengiktirafan ini, kefahaman dan peranan Islamisasi kini bersifat lebih khusus dan tepat. Islamisasi sebagai proses membabitkan agenda pengislaman pengetahuan manusia yang bersifat anti-Islam terutama yang dikembangkan oleh tamadun luar. Proses pengislaman harus terus dijalankan sarjana Muslim. Namun, kita harus memahami iaitu, tidak semua pengetahuan yang berkembang dalam pengalaman tamadun luar bersifat anti-Islam yang perlu diawasi dan diislamisasikan. 

Penulis ialah pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, UKM
sumber : bharian.com.my

Tuesday, July 30, 2013

Iman+Taqwa+ Ilmu+Tazkirah = Kunci Kejayaan

Apakah penanda aras bagi kejayaan?
Mari kita rehat sejenak daripada melakukan kerja-kerja harian. Kita fikir dan zikir kepada Allah untuk diri, kita fikir tentang diri, bagaimana mahu jadi insan sempurna, bagaimana mahu mencapai kejayaan yang hakiki. Ramai orang ingin berjaya tetapi tidak ramai yang mengetahui kunci utama menuju kejayaan. Kita kata mahu jadi manusia yang berjaya, tetapi bagaimana cara hendak berjaya? Kita  kata mahu jadi manusia yang cemerlang tetapi bagaimana mengikut acuan Islam yang benar? Jika diberi pilihan antara ’gagal’ dan ’berjaya’, yang mana satu pilihan kita? Satu dalam sepuluh yang memilih ’gagal’ dan kemungkinan yang memilih ’gagal’ itu mempunyai masalah dalam berfikir.
Tidak keterlaluan jika dikatakan terdapat sebahagian orang yang meletakkan kekayaan wang ringgit, harta benda dan pangkat yang dimiliki sebagai ukuran kejayaan. Dialog biasa yang menjadi halwa telinga bila kita dianggap telah melepasi tahap penilaian kejayaan mengikut ukuran masyarakat sekeliling adalah antaranya seperti berikut, ”Kau tak apalah berjawatan besar, rumah besar, kereta besar dan....” kita bangga bila dikatakan begitu. Pernahkah kita berusaha untuk menafikan sebenarnya kita belum berjaya dalam hidup ini, yang ada itu hanyalah pinjaman, yang dilihat itu adalah pada pandangan manusia, bukan pandangan Allah. Yang  kita ingin, yang kita mahu, yang perlu kita usahakan adalah untuk mencapai pandangan Allah, redha Allah dan kejayaan utama di sisi Allah, bukan kejayaan di sisi masyarakat sekeliling sahaja. Dalam hal ini Allah SWT telah memberi pelbagai gambaran yang meletakkan asas terhadap keinginan seseorang itu untuk berjaya dalam kehidupan. Antaranya melalui  peningkatan iman, taqwa, ilmu dan tazkiah  diri.
Sila baca lagi di sini.

Friday, March 15, 2013

Perspektif Sejarah Tuntutan Terhadap Sabah

KUALA LUMPUR: Peristiwa pertempuran di Lahad Datu telah mencetuskan pelbagai persoalan di minda orang ramai terutamanya tentang sejarah Kesultanan Sulu dan tuntutannya ke atas Sabah.

Dalam diskusi menarik di Analisis Awani, bertajuk ‘Perspektif sejarah tuntutan terhadap Sabah’, Profesor Emeritus Dr Ranjit Singh dari Universiti Utara Malaysia menerangkan apa sebenarnya cara Kesultanan Sulu dahulu bergerak dan kenapa mereka lihat perspektif sekarang dalam perangkap pandangan dahulu.

Ikuti penjelasan beliau.

Wednesday, August 18, 2010

ISTANA KURUN 16: YANG MANA SATU HEBAT?



DI KURUN KE 16 ISTANA DIKATAKAN LAMBANG PERADABAN, SASTERA DAN PENCAPAIAN BANGSA DAN BAHASA. BELEK LAH.