Karya Air Mata Raja

Hayati penceritaan Tun Seri Lanang mengarang buku Sulalatus Salatin pada tahun 1612. Juga kisah hidup 23 pewaris Sultan Mahmud Shah Melaka dari tahun 1511 sehingga 2007. Sebuah naskhah terbitan DBP yang tiada yang lain seumpamanya.

Kesultanan Melayu

Sembilan buah negeri yang masih bersultan mencerminkan sebuah institusi yang terus kukuh. Sultan Melayu lambang keagungan Empayar Melayu Islam satu waktu dahulu. Sultan tonggak agama Islam buat orang Melayu.

Pelancaran Buku Air Mata Raja (Melaka)

Dilancarkan pada 17 Oktober 2011 oleh mantan Ketua Menteri Melaka YAB Datuk Seri Mohd Ali Rustam semasa berlangsungnya Seminar Melaka Merentas Zaman. Ia dianjurkan oleh IKSEP (institut Kefahaman Sejarah dan Patriotisme Malaysia) dengan kerjasama agensi kerajaan yang lain.

Pelancaran Buku Air Mata Raja (Singapura)

Dilancarkan pada 20 September 2013 oleh Encik Hawazi Daipi (Singapore Member of Parliament) di Restoran Mamanda, Sultan Gate, dalam suasana istana yang menarik, diisi dengan persembahan seni oleh para pelajar dari Politeknik Republik. Penghargaan buat Puan Masmunah dan Tuan Zulkarnine.

Anugerah Buku PNM-RTM

Buku 'Air Mata Raja' telah memenangi Anugerah Buku PNM-RTM (Perpustakaan Negara Malaysia dan Radio Televisyen Malaysia) pada 3 Oktober 2013. Ia telah disempurnakan oleh Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia di Angkasapuri, Kuala Lumpur.

ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI
Showing posts with label muar batu pahat. Show all posts
Showing posts with label muar batu pahat. Show all posts

Wednesday, January 9, 2013

Sejarah Nama Kampung Di Johor


Orang Johor mungkin tahu ada nama-nama tempat yang agak pelik seperti Gelang Patah, Tongkang Pecah, Sepah Beruang, Sg Pinggan, Sg Kuali, Sg Buntu, Sg Mati, Parit Ponorogo, Parit Botak, Sri Bunian dan lain-lain. Ada beratus-ratus lagi nama tempat yang pastinya menimbulkan tanda tanya kepada sesiapa yang pertama kali mendengarnya. 

Tempat-tempat ini mendapat namanya berdasarkan sesuatu peristiwa sejarah, mitos, atau sekadar mengambil sempena nama haiwan atau tumbuh-tumbuhan yang terdapat di situ. 

Kisah di sebalik nama beberapa tempat di Johor:

1. Gelang Patah, Johor Bahru
Nama asalnya ialah Galang Patah iaitu nama yg diberikan oleh Menteri Besar Johor Pertama, Dato' Jaafar Muhammad. Menurut cerita yg disampaikan oleh Lt Jen Dato' Jaafar Onn kepada Yayasan Warisan Johor, sewaktu Dato' Jaafar (Menteri Besar) bersama isteri dan rombongannya mengemudi sampan dengan menggunakan galang panjang ke beberapa kawasan untuk membuka petempatan baru, tiba di satu kawasan galang yg digunakan itu patah. Smpena kejadian itu, Dato' Jaafar menamakan tempat itu sebagai Galang Patah. Namun, disebabkan sebutan yg berubah-ubah di antara galang dan gelang, ia akhirnya dikenali sebagai Gelang Patah sehingga ke hari ini. 

2. Kampung Belokok, Pontian
Kampung ini diasaskan oleh Tahir Sekeruk, iaitu nama ketua kampung pertamanya. Nama belokok diberikan kepada kampung ini sempena nama ikan jemudak atau lebih dikenali sebagai ikan belokok oleh penduduk tempatan. Pada ketika itu, sungai berhampiran kampung berkenaan iaitu Sungai Pulai dikatakan terdapat banyak ikan belokok. Apabila kampung berkenaan dibuka, Tahir Sekeruk memutuskan untuk menamakan kampung itu sebagai Kampung Belokok. 

3. Kampung Seri Bunian, Pontian 
Dibuka pada tahun 1924 oleh Tuan Haji Abdul Wahab yang berasal dari Indonesia. Pada masa itu, kampung ini dipanggil Kampung Sungai Bunyi Hulu sempena nama sebatang anak sungai yang merentangi kampung ini. Terletak di bawah jajahan Mukim Rimba Terjun dalam Daerah Pontian. Mengikut sejarah ringkasnya, kampung ini awalnya dibangunkan oleh Tuan Haji Abdul Wahab dan keluarganya sebelum diteruskan oleh Tuan Haji Othman, Tuan Haji Md. Yakin, dan Tuan Haji Markom. Semasa membangunkan kampung ini, pelbagai kejadian aneh telah berlaku seperti terdengar bunyi-bunyian yang pelik dan penuh misteri oleh penduduk kampung, malah ada sesetengah penduduk yang dikatakan pernah terserempak dengan makhluk ghaib yang dipanggil orang Bunian terutamanya semasa membangunkan tapak Sekolah Kebangsaan Seri Bunian. Alkisah pada tahun 1958, sebuah filem arahan Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee yang berjudul “Sumpah Orang Minyak” sedang hangat ditayangkan dan lagu “Puteri Bunian” yang begitu merdu dan mendayu-dayu sering berkumandang di corong-corong radio pada ketika itu sehingga penduduk kampung mencadangkan agar nama kampung ditukar dari nama Kampung Sungai Bunyi Hulu kepada Kampung Seri Bunian bersempena judul lagu tersebut. Sehubungan itu, sempena Majlis Perasmian Sekolah Kebangsaan Seri Bunian pada tahun 1960 maka kampung ini diisytiharkan dengan nama Kampung Seri Bunian dan telah dirasmikan oleh Yang Mulia Ungku Mohammad Salleh, Pegawai Daerah Pontian pada ketika itu.

4. Kampung Sungai Buntu, Pengerang
Kampung yg terletak di daerah Kota Tinggi ini mendapat namanya kerana laluan air di muara sungai yg dikatakan terperangkap, kesan daripada timbunan pasir di penghujung muara sungai berkenaan. Sejak 100 tahun lalu, air sungai ini dikatakan hanya mengalir ke laut pada musim tengkujuh. Disebabkan keadaan ini, sungai berkenaan kelihatan seakan-akan buntu untuk mengalirkan airnya ke laut, sebaliknya air mengalir ke anak-anak sungai. 

5. Mukim Sungai Pinggan, Pontian 
Kawasan ini dipercayai mendapat namanya daripada mitos seorang puteri yg menjaga pinggan mangkuk untuk digunakan dalam majlis perkahwinan masyarakat bunian. Dikatakan penduduk kampung akan pergi ke sungai itu untuk meminjam pinggan mangkuk yg dijaga puteri itu. Sempena mitos itu, sungai berkenaan dinamakan Sungai Pinggan. (mitos yg sama turut dikaitkan dgn Kg Puteri Menangis, Kg Sepah Beruang di Benut)

6. Desa Temu Jodoh, Segamat
Asalnya Kampung Desa Temu Jodoh dikenali sebagai Tanah Rancangan Pemuda. Pada tahun 1977, diadakan majlis perkahwinan serentak peserta tanah rancangan berkenaan melibatkan 24 pasangan. Pada majlis itu, 24 pelamin didirikan di padang bola kampung berkenaan. Kesemua mempelai kemudian diarak menaiku kereta ke Masjid Jamek Daerah Segamat untuk dinikahkan. Majlis berkenaan ditaja oleh Menteri Besar Johor ketika itu, Tan Sri Othman Mohd Saat. Sempena peristiwa itu, kampung ini ditukar nama kepada Desa Temu Jodoh.

7. Tongkang Pecah, Batu Pahat
Nama Tongkang Pecah diberi sempena peristiwa tongkang orang Melayu Jambi yg pecah ketika melalui Sungai Sembrong, Batu Pahat. Mereka dikatakan lari dari Jambi, Indonesia untuk membuka petempatan baru di Tanah Melayu. Ketika empat buah tongkang mereka melalui sungai berkenaan, salah sebuah tongkang itu telah pecah menyebabkan mereka tidak dapat meneruskan perjalanan dengan tongkang yg lain. Kumpulan orang Melayu Jambi itu kemudian membuka petempatan di situ dan menamakan kawasan itu sebagai Tongkang Pecah. 

8. Pasir Gudang, Johor Bahru
Suatu ketika dahulu, Pasir Gudang hanyalah sebuah perkampungan nelayan. Pada tahun 1918 kawasan Pasir Gudang (dahulu disebut Kampung Pasir Udang) telah diterokai oleh seorang yang bernama Long Abu yang dipercayai berasal dari Riau, Indonesia. Apabila penduduk Kampung Pasir Udang semakin bertambah, beberapa kampung telah didirikan seperti Kampung Ulu (kini limbungan baik pulih MSE), Kampung Tengah (kini kawasan Tenaga Nasional Berhad), Kampung Hilir dan Kampung Sungai Perembi. Penduduk kampung-kampung ini terdiri dari bangsa Melayu dan sedikit Cina, kesemuanya berjumlah 83 keluarga. Mereka bekerja sebagai nelayan, petani dan buruh ladang. Pada tahun 1920, empat buah lagi kampung telah dibuka iaitu Kampung Air Biru (kini menjadi tapak pelabuhan), Kampung Pasir Merah (kini menjadi tapak pelabuhan), Kampung Pasir Puteh (masih kekal sehingga sekarang) dan Kampung Pulau Tekong (menjadi wilayah Singapura). Secara tidak langsung nama Pasir Udang mengalami perubahan menjadi Kampung Pasir Gudang oleh kerana di Kampung Ulu terdapat lombong pasir untuk dieksport ke Singapura. Pasir-pasir yang telah dikumpul akan dilonggokkan dengan banyaknya di suatu tempat. Dipercayai bersempenakan keadaan tersebut maka timbulnya nama Pasir Gudang.

9. Sungai Peradin (Parit Jerman), Pontian 
Sungai Peradin terletak di Kampung Belokok, lebih kurang 5km dari Pekan Peradin, di mana lokasinya dikeliling dengan kawasaan Hutan Paya Bakau yang luas. Pada suatu masa dahulu dikatakan di situ terletaknya penempatan satu kelompok Bangsa Jerman yg mana mereka telah mengusahakan ladang ladang pertanian di sana dan mengeluarkan hasil pertanian melalui sungai. Bagi menjelaskan kebenaran cerita kehadiran Bangsa Jerman tersebut,terdapat kesan peninggalan mereka, melalui pelbagai bentuk tiang-tiang dan lantai yang diperbuat daripada simen berkemungkinan adalah bekas gudang serta jeti. Nama Kampung Jerman juga, yang terletak tidak jauh dari situ menguatkan lagi akan penempatan bangsa Jerman di situ. 

— SUMBER : ceriteraalline.blogspot.com

Friday, September 11, 2009

KEHEBATAN SEJARAH MUAR, JOHOR









Jom lawat Muar!

(solat di Masjid Jamek dan cuba Mee Bandung Ori Muar)

PENGENALAN

Muar yang juga dikenali sebagai Bandar Maharani merupakan sebuah bandar yang padat dengan kisah sejarah yang melakarkan perbagai peristiwa yang sewajarnya dapat memberikan kita keinsafan.

"Di sini bermula dan berakhirnya Kesultanan Melayu Melaka"

Muar pernah menjadi saksi permulaan keagungan bangsa, dan Muar juga menjadi saksi kejatuhannya.

Di bumi bertuah ini juga pernah menyaksikan kehebatan wira bangsa dalam mempertahankan maruah bangsa, negara dan agamanya yang tercinta walaupun nyawa menjadi pertaruhannya. Itulah Muar yang tercinta...

Muar sebelum dikenali sebagai Bandar Maharani Muar dikatakan mempunyai beberapa nama lain, dan nama Muar itu sendiri dipercayai berasal dari perbagai sumber seperti:

SEJARAH NAMA MUAR

TELUK DALAM - Hikayat Malim Dewa-dewa Deman:
Muar dahulunya dikenali sebagai Teluk Dalam berdasarkan ayat di dalam Hikayat Malim Dewa-dewa Deman. Teluk Dalam ini mungkin berasal dari keadaan sungai Muar yang berkualakan satu muara atau teluk yang terbuka luas.

MUAR belum bernama MUAR
MUAR bernama TELUK DALAM

MUARA - Bahasa Melayu Sunda:
Nama Muar dikatakan ringkasan bagi MUARA di dalam bahasa Melayu Sunda yang bermaksud "kuala sungai yang membuka atau meneluk luas"

MUAK - Rupabentuk Sungai:
Muar bermaksud satu rupabentuk bagi perkataan "muak" maksudnya jemu berkayuh dalam sungai yang begitu besar dan berbelit-belit.

MUAR atau MUNAR - Bahasa Hindu:
Muar ialah ringkasan daripada Bahasa Hindu "Munu" yang bermaksud Tiga dan "Ar" yang bermaksud "Sungai". Nama Muar berpunca dari nama sebuah negeri besar di Selatan India pada zaman purba yang dinamakan Muar atau Munar ('Negeri Tiga Sungai' kerana negeri ini terdiri daripada tiga batang sungai penting yang bercantum menjadi satu). Apabila orang-orang Hindu purba itu datang ke negeri ini untuk mencari emas, mereka menjumpai tiga batang sungai yang bercantum iaitu Sungai Muar, Sungai Serting dan Sungai Pahang seperti Sungai Muar atau Munar di negeri mereka. Lantas mereka menamakan sungai ini sebagai Muar bersempena nama Muar atau Munar di India.

Muar atau Bandar Maharani telah dicatatkan oleh beberapa penulis dan menjadi bahan sejarah terpenting masa kini.

Antara catatan yang melakarkan coretan sejarah Muar adalah seperti berikut:


Peta lama Portugis yang menyatakan Muar sebagai Kota Ke-2 Portugis di Semenanjung Tanah Melayu se;ain dari kota Melaka. Ia dikatakan dibina pada tahun 1604 oleh Eredia dan berbentuk segi tiga. Persoalannya ialah dimanakah ia kini?

Prapanca (1361)(Syair Nagarakertagama):
Syair terkenal Nagarakertagama - hasil tulisan Prapanca pada tahun 1361 (sami Buddha dan pendita Istana Majapahit) menceritakan Muar sebagai sebahagian jajahan takluk Majapahit oleh Hayam Wuruk dan Perdana Menterinya, Gajah Mada (1350 - 1389). Kisah ini tercatat dalam majalah JMBRAS, October, 1935, Volume XIII Part 2, muka surat 15 - 16.

Barros (1553):
Barros yang menulis dalam tahun 1553 telah mengatakan bahawa Parameswara (Paramicura) yang dihalau lari dari Temasik (Singapura) setelah ia membunuh raja negeri itu, telah lari dan berhenti di Muar dan membina sebuah kota kayu di kawasan pedalaman bernama Pagoh.

Tun Sri Lanang (Sejarah Melayu) versi Shellabear:
Sejarah Melayu pula menyatakan bahawa kerajaan Temasik (Singapura) dalam zaman pemerintahan Sultan Iskandar Syah telah dikalahkan oleh Kerajaan Majapahit. Maka Sultan Iskandar Syah telah lari ke Muar dan membuka dua kawasan di tebing Sungai Muar iaitu Biawak Busuk dan membina sebuah kota yang dinamakan Kota Buruk. Selepas daripada inilah baru Sultan Iskandar Syah berpindah dan membina Melaka. Pada tahun tahun 1488, Sultan Alauddin Riayat Syah 1 telah mangkat di Pagoh , Ulu Muar dan dimakamkan di situ.

Tome Pires (Suma Oriental):
Parameswara iaitu Raja Palembang ditonjolkan sebagai tokoh yang membuka Melaka. Sumber ini menyingkap sejarah kemunculan Parameswara sebagai raja Palembang menggantikan ayahandanya Raja Sam Agi. Beliau diserang oleh Raja Jawa, Batara Tamavill akibat menggelarkan dirinya sebagai ' Mjeura' ( orang yang berani). Ekoran daripada itu, beliau melarikan diri ke Singapura.

Setelah membunuh wakil Raja Siam di Singapura, beliau menjadi pemerintah palsu tersebut selama 5 tahun. Oleh kerana bimbang diserang oleh Raja Siam, beliau dengan 1,000 orang pengikut melarikan diri ke Muar. Beliau menetap di sana selama 6 tahun iaitu ketika itu orang-orang Seletar mendiami Melaka.

Ortelius (1584)(Peta Lama):
Peta-peta lama seperti Peta Ortelius A.D. 1584 menunjukkan "MUAR" sebagai sebuah bandar terletak ke arah Selatan Melaka.

Linschoten (1595)(Peta Lama):
Peta Linschoten A.D. 1595 pula menunjukkan "MUAR" sebagai sebuah bandar yang berhampiran dengan negeri Melaka.

MUAR DAN SEJARAH KOMODITI

Muar di dalam sejarah Kerajaan Melayu Melaka mendapat perhatian Belanda dan Portugis kerana emas yang boleh didapati di lereng Gunung Ledang (Emas ini mengikut lagenda merupakan hantaran jambatan emas oleh Sultan Melaka untuk meminang Puteri Gunung Ledang). Muar juga suatu ketika dahulu merupakan pengeluar lada hitam dan gambir yang utama. Belanda dan Portugis menjadikan Sungai Kesang hingga ke Sungai Ledang sebagai laluan utama pengangkutan barang dagangan.

Sungai Muar di zaman dahulu telah menjadi laluan utama untuk ke Pahang kerana hulunya dikatakan terletak di Tasik Bera, Pahang. Antara lagenda yang dikaitkan dengan Sungai Muar ialah ia pernah disusuri oleh Malim Deman untuk mencari Puteri Bongsu yang dikatakan menyorok di Panchur.

MUAR SAKSI KEJATUHAN KESULTANAN MELAYU MELAKA

Sungai Muar pernah menjadi saksi kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka di tangan Portugis pimpinan Alfonso D'Albuquere pada tahun 24 Ogos 1511. Di sungai inilah angkatan Sultan Mahmud Shah mengundur diri daripada serangan Portugis. Baginda membina kubu pertahanan di Bentayan (kini tapak kubu itu dijadikan Stesen Bas Ekspress Bentayan (Bas Ekspress/Bas Pagoh) dan teksi) tetapi pihak Portugis berjaya mengesannya. Baginda dan pengikutnya melarikan diri ke Kota Biawak Busuk dan seterusnya ke Kota Pagoh (Kuala Pagoh). Kota Pagoh dikatakan antara kota yang menarik kerana diperbuat daripada tanah liat. Kesannya masih boleh dilihat sehingga kini walaupun telah terhakis ditelan zaman.

Di zaman kekuasaan Bugis (terkenal dengan lima bersaudara), Daeng Marewah, Daeng Parani, Daeng Celak, Daeng Manambun dan Daeng Kenasi dikatakan telah datang ke Muar dan menetap di Liang Batu, Lenga.

SULTAN MANGKAT DI MUAR

Sultan Alaudin Riayat Shah 1 yang pernah memerintah Melaka dikatakan telah mangkat di Pagoh, Muar. Kematiannya menjadi misteri dan lagenda. Ada yang mengatakan baginda meninggal dunia semasa datang untuk bersiar-siar manakala ada pula yang menyatakan beliau mati tercucuk daun. Beliau juga dikatakan berdarah putih dan mempunyai kaitan dengan Mahsuri di Langkawi. Bagaimanapun kesahihannya masih belum dipastikan oleh pengkaji sejarah.

'PERANG SAUDARA DI MUAR'


Daeng Ibrahim (Anakmuar)

Pertikaian antara putera Sultan Hussein iaitu Tengku Ali dan Daeng Ibrahim menghasilkan pemerintahan wilayah Muar (yang terletak di antara Sungai Kesang dan Sungai Muar) oleh Tengku Ali pada 10 Mac 1855. Ia merupakan hasil Perjanjian Persetiaan dan Persefahaman antara Tengku Ali dan Daeng Ibrahim. Perjanjian itu mengiktiraf Tengku Ali sebagai Sultan tetapi mensyaratkan gelaran itu tidak boleh diperturunkan kepada warisnya.

Tengku Ali atau Sultan Ali yang menjadi sultan Muar untuk satu generasi sahaja

'Perang Saudara di Muar' merupakan pertikaian antara Sultan Ali dan Maharaja Abu Bakar mengenai takhta kerajaan Johor dalam tahun 1870'an. British telah menyokong Abu Bakar dan berusaha mendapatkan sokongan Penghulu di kawasan Kesang. Sultan Ali bertindak balas dengan melancarkan serangan ke atas pos pertahanan Abu Bakar seperti di Lenga dan Jementah. Kekalahan Sultan Ali menyebabkan daerah Kesang dimasukkan dalam wilayah pemerintah Johor seperti yang ada pada hari.

PERASMIAN BANDAR MAHARANI MUAR

Bandar Maharani Muar Moden telah dibuka oleh Muhammad Salleh bin Perang atau lebih dikenali sebagai Datuk Bentara Luar pada tahun 1885. Ia dirasmikan oleh baginda Maharaja Abu Bakar pada tahun 1887.


Maharaja Abu Bakar: Bapa Pembangunan Johor Moden – mendapat gelaran Maharaja dari Raja Victoria pada 1868.

Bandar Muar diberi nama Bandar Maharani yang bermaksud BANDAR ISTERI MAHARAJA. Istiadat perasmian pembukaannya dilakukan oleh Maharaja Abu Bakar pada 1887 dengan upacara menanam "Azimat" di suatu tempat yang kemudiannya dikenali sebagai Tangga Batu (sekarang menjadi restoran makanan laut Muara yang terletak di tebing sungai Muar iaitu di Perhentian Bas Muar/Melaka/BatuPahat).


Tangga batu' merupakan Pengkalan feri Muar-Tg.Agas pada 1967. Kini ia telah tiada apabila projek Kompleks Perhentian Bas Maharani siap dibina.

Bandar Maharani telah berkembang dengan pesat dengan adanya sebuah pelabuhan kecil di Kuala Muar. Ia merupakan ibu negeri bagi negeri Muar (Muar ketika itu diberi taraf negeri di bawah kerajaan Maharaja Sultan Abu Bakar).


Masjid Jamek Muar - merupakan masjid pertama di Muar. Di buka sekitar tahun 1890

PENGASAS BANDAR MAHARANI MUAR

DATUK BENTARA LUAR - MUHAMMAD SALLEH BIN PERANG

Muhammad Salleh bin Perang atau lebih dikenali sebagai Datuk Bentara Luar dilahirkan di Teluk Belanga, Singapura dan mendapat pendidikan di sekolah Melayu, sekolah agama dan sekolah Inggeris. Antara jawatan yang pernah disandang oleh beliau dari tahun 1856-1912 ialah:
- guru
- jurutulis kepada Sultan Abu Bakar (1857)
- Pesuruhjaya Polis Negeri Johor di Jabatan Polis (1868)
- Pejabat Hasil Dalam Negeri
- Ketua Jabatan Tanah dan Ukur
- Mahkamah

Antara sumbangan berharga beliau di dalam pembangunan Johor termasuk Muar adalah seperti berikut:
- Peta lengkap bagi negeri Johor (peta lengkap negeri di Semenanjung Tanah Melayu yang pertama)
- Menggalakkan permainan ghazal.
- Menggalakkan orang Melayu memainkan Tarian Naga.
- Menggalakkan orang Melayu menggali parit dan tali air supaya tanah sesuai untuk pertanian.
- Menghapuskan lanun-lanun di Muar pada akhir kurun Masihi ke-19.
- Membuka Bandar Maharani Muar (1885) dan Bandar Penggaram Batu Pahat (1893).

Menjelang tahun 1890 Bandar Maharani telah menjadi sebuah pusat aktiviti pentadbiran dan perniagan yang terbesar di kawasan pantai barat negeri Johor. Seorang pelancong Inggeris, Florence Caddy, pernah mencatatkan:

" Bandar Maharani merupakan bandar yang cantik dengan penduduk-penduduknya seramai 5000 orang terdiri dari orang Melayu yang mendiami kampung-kampung di keliling bandar tersebut, dan orang Cina dan sedikit orang India yang berkedai dalam bandar itu sendiri. Bahawa bandar ini mempunyai beberapa buah bangunan-bangunan serta kilang papan dan sebuah bengkel pembuat batu bata".

Perdagangan utama di pelabuhan Bandar Maharani waktu itu ialah gambir, lada hitam, pinang kering, kelapa kering, kopi, sagu ubi dan buah-buahan. Tetapi gambir dan buah-buahan merupakan perdagangan paling utama. Menurut Laporan Tahunan Kerajaan Johor 1911 daerah Muar merupakan pengeluar hasil gambir yang terbesar sekali di seluruh negeri Johor diantara 1887 dan 1911.

Manakala pada musim buah-buahan (1911) sebanyak kira-kira tiga-suku juta buah durian, 29000 tong buah duku dan 23000 tong buah manggis telah di ekspot melalui pelabuhan Bandar Maharani. Pada masa ini setiap kapal yang keluar dari pelabuhan Muar adalah bermuatan kira-kira 25,000 biji buah durian dan bilangan kapal-kapal yang masuk itupun bertambah menjadi lima ke enam buah sehari.

MUAR - KUBU TERAKHIR SERANGAN JEPUN

11 Januari 1942

Tanggal 11 Januari 1942 menyaksikan Muar diserang dan dibom oleh tentera udara Jepun.

Serangan udara oleh Jepun (Anakmuar)

Pengeboman bandar Muar itu menandakan saat-saat terakhir kejatuhan Tanah Melayu ke tangan Jepun oleh kerana kedudukan Muar dan Johor yang strategik bagi pertahanan di Selatan Tanah Melayu. Di samping itu Muar dianggap sebagai kubu kedua selepas Kedah.

Akibat serangan ini Jepun kemudiannya telah menguasai tebing utara Sungai Muar. Sungai Muar merupakan halangan terakhir di Tanah Melayu sebelum mereka sampai di Johor Bahru.

Serangan-serangan udara tentera Jepun ini telah dibantu pula oleh kemaraan pasukan ke-15 tentera berjalan kaki Jepun yang diketuai oleh jeneral Nizhimura. Mereka melakukan serangan daripada tiga penjuru, dan terus bergerak menyusur pantai dari muara Sungai Muar menuju Muara Sungai Kesang.

16 Januari 1942

Dengan menggunakan jambatan-jambatan yang dibina di atas perahu-perahu, pasukan tentera berjalan kaki dan kereta-kereta kebal Jepun kemudiannya menyeberang Sungai Muar dan pada 16 Januari 1942 berjaya menguasai Sungai Muar sepenuhnya.

Peta lama milik askar Australia yang menunjukkan pertempuran antara askar Australia dan Jepun pada 19 Januari 1942 (Foto: www.mccallum-collection.org)

Untuk mempertahankan Muar, Inggeris telah menghantar pasukan 'Brigade ke-45 Infantry India,' dan pasukan 'Australian Imperial Force' di bawah arahan Leftenan General Bennets. Pasukan Brigade ke-45 'Infantry India' yang baru tiba dan tidak mempunyai pengalaman perang ini telah menyebabkan pasukan Jepun dapat menawan bandar Muar dengan mudah. Ini merupakan satu kelemahan Inggeris yang nyata sekali.

Rejimen ke-4 Anti Kereta Kebal Division Ke-8 Tentera Australia cuba mempertahankan kemaraan tentera Jepun di Bakri. Gambar di atas diambil pada tarikh 18 Januari 1942 (Sumber foto oleh Australian War Memorial).

Inggeris terpaksa berundur dan cuba menyerang balas di Bakri 3 , tetapi gagal. Pada 20 Januari 1942 askar yang bertahan di Bakri telah diarahkan berundur apabila suasana di Muar semakin membimbangkan. Tentera-tentera Jepun terus mara dan menawan Batu Pahat, Kluang dan Ayer Hitam.

Menyedari suasana bahaya sekiranya mereka terus bertahan di Johor, pihak Inggeris selepas bersidang di 'Pejabat Third Indian Corporations' telah mengambil keputusan untuk berundur dari Johor mulai 28 Januari 1942 atau selewat-lewatnya pada 31 Januari 1942.

Dengan pengunduran ini maka berakhirlah pertahanan British di Tanah Melayu. Kejatuhan Muar ke tangan Jepun telah mematikan harapan mereka untuk menyekat kemaraan Jepun. Malah tidak keterlaluan kalau dikatakan dengan kejatuhan Muar, pintu bagi penguasaan seluruh Tanah Melayu telah terbuka. Jepun hanya menunggu masa untuk terus mara ke Singapura.



Ihsan /research by (c) 2009 http://www.anakmuar.com/v1/sejarah.htm

also : http://sejarahmuar.blogdrive.com/