Pemerintah sama ada raja atau sultan tidak seharusnya mencampuri urusan pentadbiran kerajaan dengan memberi pandangan secara terbuka, terutama membabitkan soal dasar dan polisi kerajaan, kata pakar perlembagaan, Dr Aziz Bari.
Aziz berkata, pemerintah bagaimanapun boleh menggunakan platform Majlis Raja-Raja sekiranya ingin menyuarakan pendapat mereka, tetapi bukan menggunakan laman media sosial seperti Facebook atau sebagainya.
"Orang sudah tidak nampak apa kerja dia, kita dalam sistem yang hancur sekarang, bukan kerja dia berjuang untuk rakyat.
"Boleh jika ingin melakukannya, tapi dalam platform Majlis Raja-Raja, bukan di Facebook," kata Aziz, dalam forum siri pendidikan demokrasi akademi politik anjuran Institut Darul Ehsan di Shah Alam, hari ini.
Baru-baru ini, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menggunakan Facebook Johor Southern Tigers untuk mengkritik pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, selepas beliau gagal menghadiri dialog "Nothing to Hide" anjuran SukaGuam.
Tindakan Tunku Ismail itu bagaimanapun diselar Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz, yang berpendapat kerabat diraja tidak seharusnya mencampuri politik.
Aziz yang merupakan pensyarah Universiti Selangor itu berkata, tindakan sedemikian oleh mana-mana raja atau sultan akan memalukan kerajaan pemerintah yang membentuk dasar dan polisi tersebut.
"Memang raja berhak memberi pandangan, tetapi dengan kehadiran perdana menteri atau menteri besar, di luar tidak boleh," katanya.
Beliau turut mempersoalkan sekiranya pandangan yang diutarakan raja atau sultan memberi kesan negatif dan sama ada mereka ingin bertanggungjawab terhadap tindakan tersebut.
Aziz berkata, rakyat pelbagai lapisan, termasuk raja dan sultan, mempunyai hak dan peranan mereka dari aspek perlembagaan.
"Semua orang termasuk raja ada hak mereka dalam Perlembagaan dan terpulang kepada mereka untuk menggunakannya," kata Aziz. – 4 Julai, 2015.
sumber : themalaysianinsider.com
0 comments:
Post a Comment