ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Wednesday, January 8, 2014

Amal Rosak Kerana Riak

ALLAH berfirman, “Sesiapa yang ingin bertemu Allah, hendaklah dia beramal soleh. Dan dalam amal solehnya itu janganlah dia mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun." (Surah al-Kahfi 18 :110)
Beribadat dan beramal soleh merupakan tuntutan daripada Allah kepada hamba-hambanya, kerana tujuan kita diciptakan di atas muka bumi ini adalah kerana ingin beribadat kepada Allah. Tetapi syarat supaya sesuatu amalan itu diterima ialah tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu.
Amal ibadat akan berubah menjadi cacat sekiranya dicemari dengan dua jenis virus iaitu sifat riak dan sum‘ah. Allah berfirman dalam hadis Qudsi: “Aku paling tidak memerlukan sesuatu. Sesiapa yang mengerjakan suatu amal yang dicampuri dengan perbuatan syirik kepada-Ku, maka Aku tiada kaitan dengannya dan membiarkannya dengan orang yang dia sekutukan." (Riwayat Muslim)
Jenis riak
Apakah itu riak? Istilah riak berasal daripada kata akar “lihat". Orang yang riak ingin “memperlihatkan" ibadatnya kepada orang untuk mendapat sanjungan, pujian dan penghargaan. Dalam erti kata lain, riak ialah sifat “menduakan" Allah dalam melakukan kebaikan.
Imam al-Ghazali berkata: " Riak ialah mencari kedudukan pada hati manusia dengan memperlihatkan kepada mereka hal-hal kebaikan."
Imam Habib Abdullah al-Haddad pula berkata: “Riak ialah menuntut kedudukan atau minta dihormati orang ramai dengan amalan yang ditujukan untuk akhirat."
Menurut pandangan ulama, berikut merupakan dua jenis riak:
1- Riak Akbar (Riak Besar) : Seseorang yang melakukan ibadat semata-mata untuk mendapat sanjungan manusia dan bukanlah untuk mendapat keredaan Allah. Riak jenis ini adalah berpaling secara keseluruhan daripada Allah. Riak beginilah yang paling buruk, jika tidak kerana manusia, maka dia tidak akan beramal.
2- Riak Asgar (Riak Kecil) : Tujuan dia melakukan ibadat bercampur-campur antara tujuan mendapat keredaan Allah dan juga penghargaan manusia. Riak jenis ini adalah lebih ringan daripada riak akbar kerana masih mengharap keredaan Allah tetapi pada masa yang sama mengharap juga penghargaan dari manusia.
Risiko penyakit riak
Ramai yang tidak menyedari bahawa riak hakikatnya cuba menipu Allah. Percubaan menipu Allah tidak akan berjaya bahkan mengundang bahaya yang paling besar. Malahan al-Quran dan hadis banyak sekali memuatkan ancaman riak. Riak bukan sekadar dosa kecil, bahkan termasuk dalam dosa-dosa besar. Berikut antara bahaya riak yang dinyatakan oleh al-Quran dan hadis:
n Riyak lebih bahaya dari fitnah dajal. Rasulullah bersabda: “Mahukah aku khabarkan kepada kalian sesuatu yang lebih aku takutkan terhadap kalian daripada kedatangan dajal?" “Bahkan, kami mahu!", jawab para sahabat. Maka Rasulullah bersabda, “Syirik khafi; iaitu seseorang solat, lalu menghiasi solat, kerana seseorang yang memperhatikan solatnya." (Riwayat Ibnu Majah)
n Amal tidak akan berkesan. Allah berfirman: “Maka celakalah bagi orang yang solat, iaitu orang yang lalai daripada solatnya, orang yang berbuat riak dan mencegah iaitu menolong dengan barang yang berguna." (Surah al-Ma‘un 107: 4-7)
n Riyak akan menghapus dan membatalkan amalan. Allah berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan menyebut-nyebut dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak) dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu pahala pun dari apa yang mereka usahakan. Dan ingatlah, Allah tidak akan memberi pertunjuk kepada orang kafir." (Surah al-Baqarah : 264)
Penawar Riak
Jadi bagaimana mahu mengatasi rasa riak ini? Adakah orang yang riak ini akan berterusan tenggelam dan syok sendiri dengan amalannya yang tidak membuahkan hasil? Sudah tentu sekali tidak. Maka riak dapat ditangani sekiranya mereka beringat bahawa apa yang dicari pada manusia akan punah, dan yang kekal hanyalah Allah. Firman Allah: “Apa yang ada di sisi Allah jua yang kekal." (Surah an-Nahl :96)
Yakinilah bahawa riak hanya akan membawa kepada kehinaan, dan amalan orang yang riak ini langsung tidak akan mendapat ganjaran di akhirat. Tanya diri kita, mahukah kita berpenat lelah mengerjakan segala amal kebajikan di atas dunia ini, lantas di akhirat kita hanya menjadi seorang yang papa kedana? Fikirkan juga betapa riak akan menghapuskan pahala dan menambah dosa. Pada hari kiamat kelak Allah akan berfirman: " Pergilah kepada mereka yang kamu perlihatkan amalan untuknya. Tengoklah adakah pahala pada mereka? " (Riwayat Ahmad)
Apabila terdetik sahaja rasa riak, segeralah ingat kepada Allah dan berlindung daripada godaan syaitan. Hadapkan hati dan wajah kepada Allah dengan mengenangkan segala sifat keampunan dan kasih sayang dari-Nya, dan bayangkan aib diri akan didedahkan kepada seluruh manusia sekiranya kita beribadat hanya mengharap pujian manusia.

0 comments:

Post a Comment