KUANTAN: Keadaan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang gering akibat mengalami demam kembali pulih. Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah, bertitah ayahandanya mengalami demam pada Hari Raya pertama menyebabkan Sultan Ahmad Shah tidak dapat bersama rakyat menyambut Aidilfitri.
Bagaimanapun, Tengku Abdullah bertitah ayahandanya kini sembuh namun masih perlu berehat. Baginda bertitah demikian selepas melawat mangsa kebakaran dalam tragedi yang memusnahkan enam buah rumah era lombong bijih timah di Kampung Baru Seberang, Sungai Lembing dekat sini, Selasa lalu.
Hadir sama, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar dan Anggota Parlimen Paya Besar Datuk Abdul Manan Ismail. Tengku Abdullah yang melahirkan rasa simpati terhadap mangsa kejadian itu mengumumkan bantuan berjumlah RM100,000 melalui peruntukan Parlimen Paya Besar untuk membina semula enam rumah yang musnah selain baginda juga menyampaikan sumbangan peribadi kepada mangsa.
Sementara itu, baginda juga menyarankan supaya Jabatan Bomba Dan Penyelamat dapat menubuhkan satu unit bomba tetap berbanding bomba sukarela sedia ada untuk beroperasi di sekitar Sungai Lembing. Dalam kejadian pada jam 5.45 petang Selasa lalu, enam keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka yang dibina syarikat perlombongan lebih 50 tahun lalu musnah dalam kebakaran itu. - BERNAMA
0 comments:
Post a Comment