ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Saturday, April 16, 2011

Umat Islam Perlu Waspada Helah Syaitan

SETIAP mukmin pasti tidak akan sunyi daripada melakukan kesalahan dan kesilapan dalam kehidupan mereka. Bagi setiap perbuatan yang dilakukan termasuk kesalahan, ada balasan menantinya dan Allah menyediakan pahala berganda untuk hamba yang melakukan kebaikan.

Ini dijelaskan Abu Hurairah dalam hadis bermaksud: “Sabda Rasul SAW: Demi Allah seluruh jiwaku dalam genggaman-Nya, jika manusia tidak melakukan dosa dan kesalahan, nescaya mereka akan binasa dan didatangkan dengan satu kaum lain yang melakukan kesalahan lalu mereka memohon keampunan dan Allah mengampunkan mereka.” (Hadis riwayat Muslim).

Sementara itu, Anas menyebut: “Setiap insan tidak sunyi daripada kesalahan dan dosa dan sebaik-baik mereka ialah yang bertaubat.” (Hadis riwayat Ahmad) Imam Masjid Nabawi Madinah, Syekh Solah Al-Badir, berkata Allah memberi banyak peluang kepada mereka yang melakukan kesalahan kembali ke pangkal jalan dengan bertaubat yang sebenar-benar taubat. Katanya, syarat taubat itu perlu disusuli beberapa perkara iaitu menyesal dan berazam meninggalkan dosa, keluar daripada kemelut dosa dengan hati tulus, terus menerus melakukan kebaikan, mengembalikan hak diambil atau menggantikannya serta memohon maaf kepada mereka yang dizalimi.

“Taubat adalah lembaran putih bersih bagi seseorang sudah kembali ke jalan yang benar walaupun dosa seseorang itu banyak sehingga tidak dapat dihitung bilangannya. Allah berfirman supaya hambanya bertaubat semoga mendapat kejayaan,” katanya. Rasul SAW bersabda bermaksud: “Jika kesalahan kamu menjangkau ke persisiran langit sekalipun lalu kamu bertaubat, nescaya Allah akan menerima taubat kaum.” (Hadis riwayat Muslim) Anas berkata beliau pernah mendengar Baginda SAW menyebut dalam hadis Qudsi: “Wahai anak Adam, kenapa kamu enggan memohon ampun sedangkan Aku Maha Pengampun dan Penyayang.

Wahai anak Adam, jika dosamu menjangkau ke pintu langit sekalipun, nescaya Aku ampunkan jika kamu datang dengan sepenuh pengharapan.” (Hadis riwayat Tirmizi)
Hadis diriwayatkan Muslim pula menyebut, Allah berfirman bermaksud: “Sesiapa yang datang kepadaku sejengkal, nescaya Aku akan datang padanya sehasta. Jika dia datang padaKu sehasta, nescaya aku akan datang padanya lebih dari itu. Jika dia datang berjalan kaki nescaya Aku datang padanya berlari-lari. Jika datang dia dengan dosa yang banyak nescaya Aku akan ampunkan mereka selagi mereka tidak menyekutukan Aku.” Lihatlah betapa hebatnya peluang terhidang bagi manusia yang melakukan dosa dan keterlanjuran.

Semuanya adalah tanda kasih pencipta terhadap hambanya di mana Allah sentiasa melebarkan peluang bertaubat di waktu siang bagi mereka yang bersalah di waktu malam dan sebaliknya.
Firman Allah bermaksud: “Sesiapa melakukan perkara buruk atau menzalimi dirinya kemudian bertaubat, nescaya dia akan mendapati Allah Maha Pengampun dan Penyayang.” (Surah An-Nisa’, ayat 110). Oleh itu, marilah bersama menyahut seruan taubat dianjurkan Allah dan sentiasa berwaspada dengan tipu daya syaitan yang sentiasa menggunakan peluang menyeru anak Adam mengulangi dosa buat kali keduanya.

Sumber: bharian.com.my

0 comments:

Post a Comment