Karya Air Mata Raja

Hayati penceritaan Tun Seri Lanang mengarang buku Sulalatus Salatin pada tahun 1612. Juga kisah hidup 23 pewaris Sultan Mahmud Shah Melaka dari tahun 1511 sehingga 2007. Sebuah naskhah terbitan DBP yang tiada yang lain seumpamanya.

Kesultanan Melayu

Sembilan buah negeri yang masih bersultan mencerminkan sebuah institusi yang terus kukuh. Sultan Melayu lambang keagungan Empayar Melayu Islam satu waktu dahulu. Sultan tonggak agama Islam buat orang Melayu.

Pelancaran Buku Air Mata Raja (Melaka)

Dilancarkan pada 17 Oktober 2011 oleh mantan Ketua Menteri Melaka YAB Datuk Seri Mohd Ali Rustam semasa berlangsungnya Seminar Melaka Merentas Zaman. Ia dianjurkan oleh IKSEP (institut Kefahaman Sejarah dan Patriotisme Malaysia) dengan kerjasama agensi kerajaan yang lain.

Pelancaran Buku Air Mata Raja (Singapura)

Dilancarkan pada 20 September 2013 oleh Encik Hawazi Daipi (Singapore Member of Parliament) di Restoran Mamanda, Sultan Gate, dalam suasana istana yang menarik, diisi dengan persembahan seni oleh para pelajar dari Politeknik Republik. Penghargaan buat Puan Masmunah dan Tuan Zulkarnine.

Anugerah Buku PNM-RTM

Buku 'Air Mata Raja' telah memenangi Anugerah Buku PNM-RTM (Perpustakaan Negara Malaysia dan Radio Televisyen Malaysia) pada 3 Oktober 2013. Ia telah disempurnakan oleh Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia di Angkasapuri, Kuala Lumpur.

ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Monday, November 17, 2008

Dinasti Terakhir China

Asas Dinasti Ching adalah di Utara China iaitu Manchuria. Jadi, Dinasti Qing bermula dari 56 Kumpulan Etnik Minoriti, sama seperti Yuan Dinasti (terdahulu). Dinasti Yuan berasal dari Kumpulan Nomad Mongolia (disatukan oleh Genghis Khan). Dinasti Ming yang menghapuskan Yuan adalah berasal dari Dinasti Han.


Manchu Ching yang menggulingkan Han Ming adalah orang-orang Tungusic yang menguasai seluruh Negara China serta mewarisi budayanya. Sebagaimana sejarah China, pemerintah akan mengambil alih sebahagian besar wilayah. Kemudian, dari situ, akan cuba menakluk seluruh negara China. Begitu jugalah yang dilakukan oleh Putera-putera Ching dari Utara.


Mula-mula menguasai ibu negara di Shenyang (Manchuria), mereka menakluk Shandong dan bahagian pedalaman Mongolia. Setelah menakluk Utara China dan menewaskan Dinasti Ming yang semakin lemah, peluang terakhir Ching tiba bila Maharaja Ming yang terakhir, Chong Zhen membunuh dirinya di Jingshan. Bila negara dalam kacau bilau, orang-orang Manchurian merampas kuasa untuk mewujudkan empayar yang bertahan sehingga 455 tahun (sebanyak 11 Maharaja).


Dinasti Ching berakhir dengan Revolusi 1911-12 dan penubuhan Republik China diketuai oleh Dr. Sun Yat Sen. Beliau memberikan beberapa keistimewaan kepada Maharaja terakhir Ching, Pu Yi. Antaranya, baginda masih boleh tinggal di Istana Imperial (Gugong) selama hayatnya. Pegawai Republik China akan tinggal di bahagian hadapan istana tersebut.


Maharaja Pu Yi tinggal di istana tersebut sehingga 1926, dengan harapan dapat mengembalikan Dinasti Ching kepada zaman kegemilangannya. Namun baginda hidup dalam keadaan tertekan dan ketakutan sekiranya dibunuh oleh general republik. Baginda meninggalkan istana pada 1924 dan berlindung di Kedutaan Jepun (berhampiran Qianmen) kerana tiada kedutaan yang mahu menerima baginda.


Sejak itu baginda menjadi tawanan Jepun (secara paksa). Baginda dijanjikan oleh Jepun untuk ditabalkan di Utara China. (Pemerintah yang sedia ada diculik oleh Jepun). Namun begitu, Pu Yi tidak ditabalkan tetapi menjadi Presiden Republik Manchukuo (hanya sebagai boneka, tanpa kuasa sehingga akhir Perang Dunia 2).


Selepas kekalahan Jepun, Pu Yi ditangkap oleh askar Rusia di Shenyang semasa melarikan diri ke Korea. Selepas beberapa tahun dipenjarakan di Rusia, Pu Yi dihantar semula ke China pada 1950 dan dijatuhkan hukuman kerana kekejaman ketika menjadi ‘boneka’ Jepun. Selepas pengakuan terhadap semua Jenayah Peperangan, Pu Yi akhirnya dibebaskan oleh Kongres Parti Komunis pada 1965.


Baginda menjadi rakyat biasa tetapi berkahwin (kali ini atas dasar cinta). Baginda tidak mempunyai anak lelaki dan kematiannya pada 16 Oktober 1967 mengakhiri Dinasti Ching. Namun begitu baginda sempat merekodkan pengalaman perihal Dinasti Ching (Pencapaian Seni, Sastera dan Budaya).


Foto: Maharaja Pu Yi berusia 8 atau 9 tahun
Dipetik dari:
http://drben.net/ChinaReport/Sources?history/Qing/Descendancy_
Summary_Qing_Dynasty_1644-1911AD.html


Wednesday, November 12, 2008

Sultanah Helen Ibrahim

Sultanah Helen Ibrahim (nama asal, Helen Bartholomew) adalah isteri ketiga Sultan Sir Ibrahim Iskandar Al-Masyhur ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar, sultan kedua bagi Johor moden. Baginda merupakan salah seorang yang terkaya di dunia ketika itu.

Helen Bartholomew dilahirkan di Glasgow, Scotland pada bulan September 1889. Suami pertama beliau, William Wilson (dilahirkan di Malaya) merupakan doktor peribadi kepada Sultan Ibrahim. Setelah William meninggal dunia, Helen pulang semula ke Britain.

Sultan Ibrahim sangat pemurah. Baginda pernah menghadiahkan sepasang Malay tigers kepada Edinburgh Zoo dan memberikan hadiah berupa wang tunai yang banyak ketika King George V menyambut perayaan Jubli. Bila Sultan Ibrahim menghantar dua orang anakanda baginda untuk belajar di Britain, baginda meminta jasabaik Helen untuk sama-sama 'mengawasi' mereka. Baginda sering juga melawat mereka dan perhubungan baginda dengan Helen semakin mesra. Mereka berkahwin di Masjid Surrey pada 1930. Semenjak itu, Helan memakai gelaran Her Highness Sultanah Helen Ibrahim.

Sebagai hadiah ulangtahun perkahwinan mereka yang kelima, wajah Sultan Ibrahim dan Sultanah Helen diabadikan di atas stem kenang-kenangan. Perkahwinan itu berakhir dalam keadaan baik setelah berlangsung selama 10 tahun. Malah sultan ada menghadiahkan permata zamrud pada hari lahirnya dan berlian pada ulangtahun perkahwinan mereka. Dikatakan bahawa koleksi barang kemas Sultanah Helen adalah yang terbaik di dunia.

Helen kembali ke Scotland dan tinggal di Cambuslang sebelum berpindah ke London. Sekitar 1960an, dia dilihat turun dari sebuah Rolls Royce di Sauchiehall Street. Selepas itu tiada sesiapa tahu apa yang telah berlaku kepadanya. Namun pada tahun 1980an, sebuah akhbar di Glasgow cuba menyelongkar kembali kisah hidupnya.

Walaupun begitu, tidak banyak yang diketahui kecuali penemuan beberapa buah foto sewaktu dia masih bekerja di Glasgow dan ketika dia menjadi Sultanah Johor. Penyelidikan selanjutnya mendapati bahawa dia meninggal dunia pada 13 Ogos 1977 ketika berusia 88 tahun di sebuah rumah jagaan (nursing home) di Surrey.


Sultan Ibrahim (tengah, berkot) ketika melawat Malayan Victory Contingent di London pada tahun 1946.


Perarakan diadakan di Muar sempena Hari Keputeraan Sultan Ibrahim yang ke-50 pada 17 September, 1923.

Foto dari Malaysia : A Pictorial History 1400-2004
Wendy Khadijah Moore

Tuesday, November 11, 2008

Hang Li Po

Hang Li Po ialah salah seorang permaisuri kepada Sultan Mansur Shah (Sultan Melaka, 1456 - 1477). Walaupun kita menerima hakikat bahawa beliau merupakan puteri kepada Maharaja Yong Le, maharaja Dinasti Ming di China, namun tidak terdapat sebarang rujukan (di dalam sejarah Istana China) bahawa beliau adalah puteri dalam Dinasti tersebut.



Sesetengah catatan sejarah (Ming Chronicles), bahawa 'Su-tan Wang-Su-Sha' (Sultan Mansur Shah) telah mengirimkan rombongan ke China dan Maharaja T'ien-shun (1457-1464) yang menabalkan baginda sebagai sultan pada 1459 (bukan Maharaja Yong Le). Di dalam buku 'Sejarah Melayu', karya Tun Seri Lanang, hanya dicatatkan 'Raja Cina' (tiada nama khusus).



Apabila Sultan Mansur Shah hendak menjalin hubungan diplomatik dengan China, baginda menghantar Tun Perpatih Putih sebagai utusannya, dengan sepucuk surat untuk Maharaja China. Tun Perpatih berjaya menarik hati Maharaja tersebut dengan kemasyhuran dan kegemilangan Kesultanan Melaka sehingga Maharaja menghadiahkan puterinya, Li Po (dikenali juga sebagai Hang Liu), untuk dijadikan isteri Sultan.



Ada kemungkinan Li Po hanyalah anak perempuan salah seorang pegawai Istana China. Menurut sejarawan Cina, ini untuk memberikan imej yang tinggi kepada sultan kerana kesudian Maharaja itu memberikan puterinya. Mereka berpendapat, Maharaja China yang konservatif berkemungkinan besar tidak akan memberikan puterinya kepada seorang pemerintah di tempat yang jauh.



Sebagai contoh, orang Tibet menyangka raja mereka, King Sonten Gampo 'memaksa' Maharaja China menghadiahkan puterinya semata-mata untuk mewujudkan keamanan antara kedua negara. Cerita dari pihak China pula mengatakan bahawa 'puteri' yang dikatakan itu cuma seorang dayang di istana (diplomatic trick). Jadi, tidak mustahil sekiranya helah yang sama digunakan terhadap Sultan Mansur Shah. Ia juga mungkin sebagai tipudaya dalam usaha untuk menghalang Raja-Raja Siam menyerang wilayah takluk Melaka. Siam tentu tidak berani kerana Sultan Melaka ketika itu adalah menantu Maharaja China yang memiliki empayar luas!

Namun begitu, semuanya adalah spekulasi semata-mata. Tiada rekod (dalam Sejarah Dinasti) yang boleh dirujuk bagi mengiyakan atau menidakkan kenyataan ini.



Li Po datang ke Melaka bersama-sama 500 orang pengiring perempuan dan selepas memeluk agama Islam, berkahwin dengan Sultan Mansur Shah. Selepas perkahwinan mereka, Sultan Mansur Shah membina sebuah istana untuk Li Po, dengan pengiring-pengiringnya diberikan tempat tinggal yang tetap di Bukit Cina. Pengiring-pengiring Li Po kemudian berkahwin dengan pegawai-pegawai Sultan Mansur Shah. Dari sinilah berkembangnya golongan ‘baba’ dan ‘nyonya’. Li Po kemudian dikenali sebagai Hang Li Po selepas dianugerahkan dengan gelaran "Hang" oleh Sultan Mansur Shah.



Perkahwinan Hang Li Po dengan Sultan Mansur Shah dikurniakan seorang anak lelaki yang bernama Paduka Mimat. Ada sejarah mengatakan Paduka Mimat telah meninggal dunia dalam satu kejadian amuk di pekan. Ada pula catatan bahawa Paduka Mimat mempunyai putera, Paduka Ahmad iaitu ayahanda kepada Paduka Isap. Ada pula pandangan bahawa generasi berikutnya mempunyai kaitan rapat dengan golongan kerabat Diraja Selangor.

Friday, November 7, 2008

Sumpah Alam Melayu

SUMPAH ALAM MELAYU

Akan patik gadaikan
nyawa dan raga
tanda taat setia seorang Melayu
yang dahagakan perlindungan Tuanku
dalam arus tak menentu
di Tanah Melayu

Adapun patek yang lemah bermohon
dibukalah pintu istana Rajaku
dikerahlah segala yang ada
agar penawar masuk ke kalbuku
di berikan seteguk air sakti
agar lenyap bisa dihujung hati
melihat terkubur Melayu jati
fakirlah patek sekalian ini
di tanah tumpah darah sendiri...

Tuesday, November 4, 2008

Catatan Norzailina...

Ketari, Bentong, Pahang. Tahun 1944. Kerana isterinya ditimpa penyakit selepas melahirkan, Ho Wah menyerahkan bayi perempuan itu kepada seorang bidan Melayu, Bah bt Itam. Bayi itu adalah ibu saya, Norlia bt Abdullah. Kini pada usia 63, dia dipertemukan kembali dengan kakaknya, Ho Ah Yook, 75, setelah terpisah selama hampir 58 tahun!



Pertemuan bersejarah diadakan di rumah kenalan Ah Yook di Ketari jam 10.00 pagi, 17 Nov 2007. Tiada air mata dititiskan, hanya senyuman gembira dan rasa puas hati dapat berdakapan setelah sekian lama terpisah oleh jarak dan waktu.



Semuanya bermula kerana Ah Yook cuba menjejaki ibu melalui rakan2nya (Kam Moi & Ah Mooi) yg masih tinggal di Ketari. Meskipun Ah Yook tidak fasih berbahasa Malaysia, perbualan kami (yg dialih bahasa oleh Ah Mooi) sungguh mesra dan menghiburkan.



Kata Ah Yook, wajah ibu saya mirip mendiang ayah mereka, Ho Wah (yg telah meninggal dunia di Ampang, rumah anak sulongnya, Ho Yin Fatt, 80). Banyak kisah keluarga ibu yang masih diingati oleh Ah Yook kerana usianya 12 tahun ketika ibu dilahirkan.



Waktu itu memang sukar kerana askar-askarJepun membunuh ramai orang-orang Cina. Ibu juga mempunyai seorang lagi kakak yg telah diserahkan kepada sebuah keluarga Cina (kini tidak tahu di mana dia berada). Sungguh sayu melihat dua orang wanita berpegangan tangan setelah sekian lama tidak bersua. Amat tersentuh melihat dua org wanita berlainan agama berdakapan kerana mereka lahir dari ayah dan ibu yg sama!



Setiap gerak geri ibu dengan kakaknya hampir serupa. Malah cara mereka senyum pun sama. Meskipun mereka dibesarkan dalam keluarga berbeza, pertalian darah itu tetap ada. Dan buat pertama kalinya, saya dapat memanggil 'Tai Yee' (mak cik) pada ibu saudara Cina saya!







Wednesday, October 29, 2008

Masjid Sultan Abu Bakar



















Masjid Sultan Abu Bakar terletak di Jalan Skudai, Johor Bahru merupakan masjid negeri. Ia dibina di antara 1892 hingga 1900. Ketika itu Johor di bawah pemerintahan Sultan Abu Bakar. Senibina masjid berdasarkan ciri-ciri keindahan Moorish dengan beberapa aspek pembinaan berpengaruh Melayu.

Almarhum Paduka Sri Sultan Sir Abu Bakar ibn Almarhum Dato Temenggong Sri Maharaja Ibrahim (3 Feb 1833-4 Jun 1895) adalah sultan pertama bagi Johor moden. Baginda juga dikenali sebagai 'Bapa Pemodenan Johor'. Mula memerintah pada 1862, baginda dianugerahkan gelaran Maharaja pada 1868 dan Sultan pada 1886.

Sultan Abu Bakar diputerakan pada 3 Feb 1833 di Teluk Belanga, Singapura. Baginda adalah keturunan Temenggong Daeng Ibrahim dan Sultan Abdul Jalil Shah IV, berbangsa Bugis. Sejak kecil, baginda didedahkan dengan cara pemerintahan negara Barat. Baginda seringkali berkunjung ke Eropah (terutama England), untuk mempelajari cara pemerintahan yg terbaik. Sejajar dengan itu, baginda mewujudkan Undang-undang Tubuh Negeri Johor yg menjadikan Johor negeri pertama di Malaysia menggunakan sistem constitutional monarchy.

Tuesday, October 28, 2008

Institusi Raja Melayu jamin masa depan negara

Masa depan negara dan orang Melayu bergantung kepada keberkesanan peranan institusi raja dalam membendung kesukaran hubungan antara pelbagai kaum di negara ini. Pengerusi Pusat Pengajian Media dan Komunikasi UKM, Prof.Dr.Mohd.Safar Hasim berkata, ia terbukti apabila Majlis Raja-raja mengeluarkan kenyataan berhubung ketuanan Melayu baru-baru ini yg berjaya menenangkan ketegangan hubungan itu.

"Apa yg kita lihat ialah selepas kenyataan dikeluarkan oleh raja-raka, kita mendapati masa depan negara ini dan Melayu masih bergantung kepada raja. Kalau institusi raja tidak ada, mungkin akan menyukarkan hubungan kaum dan masalah-masalah berkaitan dengan negara ini," katanya ketika membincangkan karya Thock Ker Pong, Ketuanan Politik Melayu: Pandangan Kaum Cina di Rumah Gapena.

Mohd.Safar berkata, orang Melayu mungkin terjejas ekoran kehilangan kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam menjamin pengesahan undang-undang iaitu tanpa tandatangan Baginda, rang undang-undang yg diluluskan di Parlimen tetap sah selepas tempoh 30 hari.

Beliau berkata, keadaan itu boleh digunakan oleh parti pemerintah untuk mewujudkan undang-undang yg mengetepikan hak orang Melayu atau menjejaskan kepentingan kaum bumiputera. "Pada 1994, Tun Dr.Mahathir menghapuskan satu daripada kuasa raja iaitu Perkara 81 tentang kekebalan raja. Akibatnya rang undang-undang di Parlimen tidak perlu ditandatangan oleh Yang di-Pertuan Agong."

Oleh itu, beliau melihat apabila Raja-raja Melayu memutuskan untuk mengeluarkan kenyataan itu, ia memberi kepercayaan kepada orang Melayu bahawa mereka boleh mengharapkan raja sebagai institusi yg masih berguna dan terpakai, mungkin untuk selama-lamanya.

Pengarah Institut Pemikiran Tun Dr.Mahathir, UUM, Prof.Dr. Abdul Rahman Aziz berkata, melalui karya Ker Pong, beliau mendapati orang Cina amat konsisten dalam tuntutan mereka. Katanya, tujuh tuntutan yg dikemukakan oleh bekas Presiden MCA baru-baru ini adalah sama dengan tuntutan yg dibuat oleh kaum Cina sebelum kemerdekaan lagi.

"Ketika orang Melayu menentang Malayan Union, orang Cina dalam keadaan hendak menyokong dan ketika inilah timbul tuntutan-tuntutan iaitu kerakyatan secara 'jus soli' dan kerakyatan selepas lima tahun, persamaan hak dan tugasan serta pengiktirafan Bahasa Melayu, Cina dan Tamil sebagai bahasa kebangsaan."

Beliau berkata, buku tersebut memberi pendedahan berhubung peranan persatuan orang Cina sejak 1801 sehinggalah zaman selepas merdeka dalam menentukan hala tuju parti-parti politik MCA, DAP dan Gerakan. Selain itu, ia juga menerangkan proses perubahan strategi persatuan -persatuan itu dalam menentang perjuangan UMNO yg memfokuskan kepada kepentingan orang Melayu. "Kalau dulu, mereka guna teknik penentangan atau konfrontasi tetapi mulai 1991-1999, dia rasa konfrontasi tak jalan sebab UMNO semakin ditentang, semakin kuat dan banyak strategi," jelasnya.

oleh Nor Zainah Nordin
Mingguan Malaysia, 26 Okt 08


Sunday, October 19, 2008

Raja Melayu bersuara sudah! Ingat!


Daulat Tuanku! Sembah patek mohon diampun.

Maka memang cocoklah Rajamenangis memapar, mempustaka dan mengabadikan titah Baginda Sultan-Sultan Melayu di— Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang ke-215 bertempat di KUALA TERENGGANU 16 Okt. 2008.


“Kenyataan Akhbar Yang Dikeluarkan Oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Mengenai Peranan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu berhubung dengan hak-hak keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-raja Melayu, agama Islam, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut Perlembagan Persekutuan"


“Raja-raja Melayu yang menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja telah berunding mengeluarkan kenyataan akhbar khas bersama pada hari ini."

“Raja-raja Melayu mempunyai peranan perlembagaan untuk melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-raja Melayu, melindungi Agama Islam, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia.

“Tindakan pihak-pihak tertentu mempertikai dan mempersoalkan perkara-perkara tersebut yang menjadi asas utama pembentukan negara Malaysia dan termasuk dalam Perlembagaan Persekutuan telah menimbulkan kegusaran dan keresahan di kalangan rakyat. Sebagai tindakbalas, beberapa pihak terutama pemimpin-pemimpin Melayu sama ada yang berada dalam kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan telah menyuarakan rasa tidak puas hati dan marah terhadap pihak yang membuat kenyataan dan laporan dan menganjurkan forum-forum berkenaan."

“Antara sebab-sebab yang dikenalpasti berlakunya perkara ini ialah kedangkalan pengetahuan pihak berkenaan terhadap latar belakang sejarah mengapa peruntukan-peruntukan tersebut dimaktubkan dalam Perlembangaan Persekutuan dan pengaruh prinsip-prinsip kesaksamaan dan keadilan yang cuba diimplikasikan di negara ini tanpa berjunjungkan latar belakang sejarah dan keadaan sosial negara ini. Kepentingan politik sempit juga merupakan penyebab berlakunya perkara ini."

“Gejala ini jika tidak ditangani dengan segera boleh menyebabkan negara terjebak dalam kancah perpecahan dan persengketaan antara kaum yang boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan yang selama ini telah membawa kemajuan, pembangunan dan kejayaan kepada negara.

“Justeru, adalah perlu Majlis Raja-Raja menegaskan dan memperingatkan semua pihak tentang peruntukan-peruntukan perlembagaan tersebut di samping memberi penekanan tentang jaminan perlindungan hak-hak sah kaum lain. Perlu ditegaskan bahawa setiap peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan telah melalui proses perbincangan, pertimbangan, konsultansi, pengorbanan dan sifat tolak ansur yang sangat tinggi nilainya bagi apa yang telah diperjuangkan, diperbincangkan, dipertimbangkan, dimanfaatkan serta dipersetujui oleh semua pihak yang terlibat, sehingga wujudnya peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang dikenali sebagai Kontrak Sosial.

Kontrak Sosial ini tidak wajar dipertikai dan dipersoalkan lebih-lebih lagi disemak semula atau diubah kerana ia adalah merupakan asas utama pembentukan negara Malaysia. Untuk itu Raja-raja Melayu wajar memperingatkan supaya isu berkaitan Kontrak Sosial tidak sekali-kali cuba diuji dan dicabar.


“Raja-raja Melayu telah dibawa bersama semasa rundingan menuntut kemerdekaan. Institusi raja dikekalkan dan dimaktubkan secara perundangan dalam Perlembagaan Malaysia Merdeka. Institusi raja diberikan kemuliaan, ditempatkan di puncak kerajaan, sebagai Ketua Negara dan Ketua Negeri, laksana payung pelindung, menjamin berlakunya kesaksamaan di kalangan warga. Institusi raja berperanan sebagai faktor penyemak dan pengimbang, untuk merungkai sebarang kekusutan, sekiranya berlaku.

“Raja-raja Melayu juga membuat seruan kepada orang Melayu supaya bersatu-padu untuk mempertahankan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-raja Melayu, melindungi agama Islam, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Penekanan juga perlu dibuat bahawa agenda ini adalah lebih penting dan utama dari kepentingan politik atau kelompok.


PERINTAH DIJUNJUNG TUANKU!

Monday, October 13, 2008

Warkah untuk Bonda di Aidilfitri



Kedaulatan Melayu hadir daripada berdaulatnya Agama Allah yang mengalir dalam darah mereka, diserikan dengan adat budaya yang amat halus dan indah dan cantik. Di Aidilfitri, berpantang Melayu tidak memohon maaf daripada Bonda dan Ayahanda. Saya amat berterima kasih kepada Zai yang telah menukilkan deraf warkah saya kepada Ibu yang tercinta di Aidilfitri tahun ini. Kandungannya seolah terasa, isinya menusuk jiwa dan benar, dan seperti sepucuk warkah kepada sekian kaum Ibu di nusantara Melayu. Terima kasih Norzailina, penulis kreatif wanita Melayu yang disegani kerana sudi mengukir ucapan kasih kepada seorang ibu. Warkah ini adalah warkah sebenar saya kepada Ibu tercinta, di ambang Hari Raya 2008.


Wahai bonda tercinta…
dengarlah akan kata kata ini.
Dan hayatilah dengan perlahan membaca agar terperilah maksudnya.
Adapun sempena lebaran yang mulia, sudilah kiranya bonda mendengarkan luahan rasa anakanda yang dizahirkan seikhlas hati ini.
Kecuali Tuhanku dan Rasulnya maka tiadalah yang menyamai
kasih terhadap bonda dengan kasih yang lain, tiadalah serupa
sayang terhadap dirimu bonda, dengan sayang yang lain.

Bondalah dambaan seluruh jiwa raga. Bondalah lambang kasih abadi sezaman.
Aduhai bonda, selagi anakanda bernafas, anankanda menyanjung tinggi setiap pengorbanan yang telah dicurahkan bonda dalam susah dan senang.
Setiap titisan susu bonda yang mengalir di tubuh anakanda
tiada nilainya dengan segunung intan berlian. Harumnya budimu bonda, bak
wanginya selautan kasturi. Dan curahan kasih mu tak mengenal masa dan cuaca.
Penat lelahmu tidak dikira, bagi memberikan anakanda yang sebaiknya.

Sedetik bonda berduka, hati anakanda lara berduka, dan tangisan anakanda tidaklah bonda ketahui. Sesaat bonda bermuram durja, jiwa anakanda merana sayu. Segenap naluri anakanda, seluruhperhatian anakanda, sesungguhnya tinggi buat bonda sentiasa. Untuk bonda, anakanda mendoakan keberkatan rahmat dan cahaya Allah mencurah sebesar langit.

Adapun bonda tersayang, tiada duanya ibuku di dunia ini. Tiada yang sama
dengan jasa bonda membesarkan anakanda. Tiada yang serupa dengan
keluhuran bonda membelai anakanda sepanjang usia. Kasihmu bonda tetap
kekal menyerikan dan mencerahkan hidup anakanda yang tidak seberapa.
Kasih anakanda tiadalah berkurang dari saat anakanda dilahirkan sehingga kini dan hingga ke akhir nanti.

Maka datangnya warkah ini
Sempena kehadiran cahaya Aidilfitri di Oktober 2008
Apa yang anakanda tidak terkata dimulut, maka puaslah rasanya dengan tulisan ini
Selagi hayat dikandung badan, kasih anakanda menemani doa mustajab untuk bonda
agar terbela hidup kita di dunia fana ini dan selepasnya
agar kata-kata ini sentiasa dijadikan azimat bonda
Lambang mercu kasih anakanda
Selamat Hari Raya Adilfitri bonda
Salam salawat kepada baginda Rasul, kekasih Tuhan Maha Esa, penyeri hidup kita,
terpancarlah ampunan Allah kepada kita sentiasa
Maka ampunkanlah Bonda akan dosa anakanda
di Aidilfitri yang mulia...

Anakanda,

Shali

Saturday, October 11, 2008

Asal Melayu

Dalam Shoutmix pada 23 September 08, jam 19:06, forumer : bocor telah bertanya: Di manakah bermulanya Melayu kita?

Saya petik beberapa perenggan dari buku karya K.G.Tregonning, seorang pakar kaji tumbuhan berbangsa Perancis. Dia telah menulis buku SEJARAH DUNIA bagi Orang-orang Malaya (Zaman Awal hingga 1511). Buku itu dialihbahasa dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1970, berharga $2.80 (ketika itu).

Sebelum Zaman Ais berakhir dan sebelum salji beransur cair itu menaikkan paras laut dalam dunia ini sehingga beberapa ratus kaki, Sumatera, Jawa, Borneo kesemuanya adalah bersambung dengan Malaya, dan dalam kawasan yg luas ini orang2 purba itu mengembara sebagai pemburu yg bergantung pada alam semulajadi.

Di Malaya perubahan Zaman Paleolitik (Zaman Batu Awal) hingga Zaman Batu Baru (peradaban) berlaku dalam dua peringkat dengan adanya pertembungan dari luar. Pertama, bangsa manusia yg mengembara ke selatan dari utara. Mereka tinggal di Semenanjung Tanah Melayu untuk beberapa ribu tahun. Mereka dianggap sebagai nenek moyang orang2 Melanesia di Pasifik, di mana mereka kemudiannya berpindah. Mereka juga dikenali sebagai orang2 Hoabinhian (satu nama tempat di Indo-China) dan tinggal dalam gua, menjadi pemburu yg cekap dan cara hidup yg lebih maju.

Orang Mesolitik ini hidup di gua kerana keadaan masih sejuk. Antara tempatnya di Bkt Chuping (Perlis), Kedah, 4 buah gua (Perak), 2 (Kelantan) dan 3 (Pahang). Hampir 8,000 tahun kemudian (tahun 2000 sebelum Masehi), mereka meninggalkan gua dan berpindah. Nenek moyang orang2 Melayu moden telah datang dari utara (Zaman Batu Baru atau Zaman Neolitik) dan menghalau atau mengahwini gadis2 mereka. Dari sinilah peradaban mulai berkembang dengan kedatangan mubaligh dan pedagang India, Arab, China dsbnya.

Penyelidikan ke dalam sejarah Asia Tenggara sebelum kedatangan Islam telah bermula dengan Henri Mouhot pada 1860. Sejumlah besar daripada tulisan2 sejarah sekarang adalah didasarkan pada penemuan itu. Pada 1918 terbukti satu empayar besar bernama SriVijaya (yg mana Malaya termasuk sebahagiannya) telah wujud, tetapi kita masih mencari ibu negaranya. Punca-punca dari Negara China ada menyebutkan tentang suatu negeri besar di Malaya bernama Langkasuka yg hidup selama 1000 tahun, dan Ptolemy menceritakan berkenaan suatu pelabuhan yg besar di Semenanjung Tanah Melayu atau di Semenanjung Kra yg bernama Takola. Satupun daripada kedua-dua tempat ini belum dijumpai lagi.

Orang2 yg menerima pengaruh mubaligh dan ahli2 perniagaan terbahagi kepada 2 kumpulan besar - orang2 Mon-Khmer dan orang2 'Malayo-Polonesia'. Kumpulan yg pertama memenuhi kawasan tengah tanah besar Asia Tenggara, dari selatan Burma ke selatan Indo-China. Ke utara daripada mereka adalah orang2 Tibet dan orang2 China. Di selatan mereka, meliputi seluruh Malaya dan terus ke pulau2 iaitu orang 'Malayo-Polonesia. Kumpulan bangsa ini tinggal tetap dalam sejarah sebagai orang2 Melayu dan Indonesia moden; kumpulan Mon-Khmer sudah hampir dilenyakan sama sekali, sungguhpun di Burma masih ada masyarakat kecil yg terdiri daripada orang2 Mon.

Keterangan paling awal tentang Semenanjung Tanah Melayu telah dilakukan oleh Ptolemy dan Alexandria (TM 150). Sejak Zaman Han orang2 China telah tahu tentang Asia Tenggara. Ketika itu wujud 30 negeri di Semenanjung Tanah Melayu. Di Tun Sun (kota purba di Utara semenanjung) pada kurun ketiga (TM 400), ada 500 ahli2 perniagaan India dan lebih 1000 orang Brahman.

Sunday, October 5, 2008

Salam Syawal

Kalau dilipat sebesar kuku, kalau dibentang sebesar alam, jikalau hilang dicari, jikalau hanyut dipintas, jikalau tenggelam diselam, datang biarlah nampak muka, jikalau pergi biarlah nampak belakang, jauh dihimbau, dekat digamit, seuntai salam sejambak kata,
degup bicara mengusik rasa, jikalau menghidang samalah merasa,
jikalau haus samalah menghirup,
rindu dikirim di angin lalu, resah diusir di bayu semilir.
Salam dihulur, maaf dipinta..semoga bahagia di Hari Raya.

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

drpd kami berdua
MAAF ZAHIR BATIN